Liverpool Kuasai Merseyside

Barclays Premier League - Perlawanan ke-23
Liverpool 4-0 Everton

Gerrard 21', Sturridge 33', Sturridge 36', Suarez 50'
28 Januari 2014. Anfield

Menang 4 gol tanpa balas - kesudahan perlawanan Merseyside Derby ke-222 Selasa lepas. Tiada siapa pun realistiknya menjangkakan jaringan sebanyak itu. Perlawanan dijangka sengit dan salah satu pasukan akan membawa pulang 3 mata dengan kemenangan tipis. Mungkin juga perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri memandangkan kekuatan dan prestasi pasukan secara kesuluruhan yang hampir sama. Juga, local pride menjadi pertaruhan, seperti mana perlawanan-perlawanan derby di Liga Inggeris. Liverpool berjaya menidakkan sebarang statistik dan tekaan bahawa Everton akan memberi tentangan hebat.

Perlawanan liga sebelum perlawanan ini menyaksikan Liverpool menggunakan formasi 4-3-3 dimana Gerrard bermain sebagai defensive-midfielder. Dalam perlawanan ini, Rodgers mempertaruhkan formasi yang sama, tetapi sedikit berbeza dari segi taktikal dan mentaliti permainan. Sterling dan Flanagan kembali dalam kesebelasan utama menggantikan Moses dan Kelly selepas direhatkan ketika perlawanan Piala FA berberapa hari lepas. Tiada perubahan untuk posisi lain dan Coutinho sekali lagi diberi kepercayaan bermain di bahagian tengah dan bertindak sebagai perancang. Sturridge dan Suarez seperti biasa saling bertukar-tukar posisi, supaya Liverpool dapat mengekalkan bentuk formasi 4-3-3 sepanjang perlawanan.

Keesebelasan utama.
Formasi 4-3-3

Perlu juga ditekankan, kedua-dua pasukan mengalami krisis kecederaan. Liverpool masih belum lagi dapat menggunakan khidmat pemain-pemain utama; Agger, Sakho, Enrique, Lucas, dan Johnson. Manakala musuh ketat Liverpool, Everton, ini pula kehilangan dua pertahanan utama mereka, Distin dan Coleman. Barkley dan Piennar yang baru sembuh daripada kecederaan pula tetap diturunkan untuk perlawanan ini. Dapat dilihat bahawa kedua-dua pasukan tiba untuk perlawanan ini dengan prestasi dan persediaan yang hampir sama. Hanya apa yang berlaku di atas padang sahaja dapat membezakan kekuatan kelab-kelab Merseyside ini.

Seperti yang dikatakan, taktikal dan mentaliti permainan Liverpool sedikit berbeza berbanding menentang Aston Villa walaupun menggunakan formasi yang sama. Everton dibawah kendalian Martinez memang terkenal dengan possession football mereka. Seperti falsafah bola sepak Rodgers, Martinez juga gemar pasukannya mempunyai kawalan bola yang lama, membuat hantaran-hantaran pendek, dan membuat pressing awal di kawasan lawan. Tetapi, perlawanan ini menterjemahkan satu lagi kunci kekuatan Liverpool pada musim ini - serangan balas (counter-attack).


Sama seperti perlawanan di Goodison Park pada awal musim, mutu permainan kedua-dua pasukan adalah sangat bagus dan dimainkan dengan intensiti yang tinggi. 17 minit yang pertama sahaja sudah menyaksikan 9 percubaan ke arah gol dilakukan - 7 oleh Liverpool dan 2 oleh Everton. Liverpool mempunyai peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan selepas kawalan dan lorongan bola bijak oleh Sturridge kepada Sterling yang dimana percubaannya diselamatkan Howard. Gol pertama dijaringkan oleh Gerrard yang menanduk masuk melalui sepakan sudut Suarez pada minit ke-21. Gol itu adalah gol ke-6 nya musim ini.

Gol kedua memperagakan kehebatan Liverpool menyerang balas. Coutinho yang diberi kebebasan untuk bergerak di belakang barisan hadapan mendapat ruang dari sebelah kanan. Lorongannya tepat dan memudahkan untuk Sturridge mengawal bola tersebut. Dengan tenang dia menjaringkan gol kedua perlawanan. Pergerakan dan larian-larian bijak pemain barisan hadapan menyukarkan tugas pertahanan Everton yang ternyata beraksi teruk, terutama tanpa kelibat Distin dan Coleman.

Sturridge bijak melambungkan bola melangkaui Howard.

Everton ternyata tidak mahu mengaku kalah terlalu awal. Mereka terus mengawal permainan, bertukar-tukar hantaran di kawasan Liverpool, dan mencari ruang untuk membuat gerakkan. Mereka hampir mendapat gol apabila percubaan Jagielka diselamatkan Mignolet pada minit ke-30. Tepisan daripada Mignolet itu adalah kerana kebijaksanaannya sendiri untuk berada di posisi yang betul sebelum Jagielka membuat percubaan. Dia lebih bersedia, bergerak berberapa langkah kehadapan sekaligus menutup ruang gol, dan membolehkannya membuat tepisan. Percubaan itu memberi amaran kepada Liverpool bahawa Everton sememangnya tidak mahu dimalukan dalam perlawanan derby kali ini. Namun, Sturridge menghancurkan segala harapan untuk Everton bangkit pada separuh masa pertama dengan gol ketiga perlawanan. Toure membuat satu hantaran jauh dari kawasannya terus ke arah Sturridge. Penyerang England ini bijak melambungkan bola melepasi Howard yang terburu-buru mara ke hadapan cuba mendapatkan bola sebelum Sturridge. Satu gol yang agak berbeza kerana permainan yang lebih direct ditunjukkan Liverpool untuk gol ini. 3-0 pada separuh masa pertama dan tiada jalan kembali untuk Everton.

Percaturan kedua-dua pasukan kekal sama pada separuh masa kedua. Everton terus mengawal posesi bola dan Liverpool kebal dikubu sendiri sambil menunggu peluang untuk membuat serangan balas. Serangan balas jugalah yang menghasilkan gol keempat perlawanan. Bermula dari percubaan Osman yang ditepis Mignolet, Sturridge kemudiannya memberi tekanan kepada pemain Everton yang akhirnya terlepas bola kepada Suarez lebih kurang 60 meter dari gol sendiri. Ya, 60 meter dari gol Everton! Itulah jarak larian Suarez secara solo untuk gol keempat. Gol yang seolah-olah ditiru daripada permainan video! Jelas kawalan bola Suarez yang sangat bagus dan langsung tidak dapat dicabar Jagielka yang mengejarnya. Ada 40 minit lagi masa perlawanan untuk dimainkan selepas gol Suarez ini.

Larian solo Suarez menghasilkan gol keempat.

Minit ke-54, sekali lagi hasil serangan balas, Liverpool mendapat penalti apabila Sterling dijatuhkan Howard dalam kotak penalti. Peluang untuk Sturridge menempah nama menjaringkan hatrik dalam perlawanan Merseyside Derby. Malangnya, dia terlalu yakin dan merembat bola deras melepasi palang. Tidak selesai disitu, Sturridge yang mengkagumkan pada 45 minit pertama, sekali lagi mengecewakan penonton dan rakan sepasukan. Kali ini serangan balas 3 menentang 2 yang sepatutnya mudah disempurnakan, dibazirkan kerana Sturridge menunjukkan sikap tamaknya. Coutinho dan Suarez yang berada di posisi sangat baik untuk menyudahkan serangan tidak langsung dipedulikan Sturridge. Kedua-dua rakan sepasukannya ini jelas tidak puas hati dan berang dengan tindakkannya. Rodgers bertindak mengeluarkan Sturridge dan menggantikannya dengan Allen tidak lama selepas itu. Sturridge tampak bengang dengan keputusan itu tetapi Rodgers membuat tindakan yang tepat. Moses yang masuk pada lewat permainan turut menunjukkan sikap yang sama. Dia mengendahkan Sterling yang hanya menunggu bola untuk menampan mudah gol kelima. Apa yang penting ialah pasukan dan bukannya pencapaian individu. Rodgers perlu dan sudah pasti akan menekankan prinsip ini kepada pemain-pemain selepas perlawanan. Mungkin insiden-insiden ini adalah hanya perkara kecil yang membuatkan pasukan dan penyokong sedikit terkilan. Tetapi secara keseluruhan, persembahan Liverpool sangat membanggakan. Liverpool mendominasi Merseyside Derby musim ini. Merseyside is red!

Persembahan setiap pemain Liverpool cukup bagus. Pujian harus diberikan kepada Cissokho yang bermain dengan baik walaupun tidak memukau. Lebih-lebih lagi dia berdepan dengan Mirallas. Pada masa yang sama, pemain yang membantunya ketika bertahan di sebelah kiri ialah samada Suarez dan Sturridge. Kedua-dua pemain ini bukanlah wide-player semulajadi yang perlu mempunyai displin tinggi turn ke bawah untuk membantu full-back ketika bertahan (contohnya Sterling yang gigih membantu Flanagan di bahagian kanan). Daripada pandangan kasar, Sturridge dan Suarez hampir sama bagus ketika membantu pemain pertahanan. Ada masa Suarez leka dan membiarkan Cissokho keseorangan dan Sturridge juga bersalah membuat clearance liar memberikan bola kepada Everton. Tetapi pujian tetap diberikan kerana kesungguhan mereka membantu pertahanan. Malah, gol keempat juga terhasil apabila Sturridge membuat tekanan ketika Liverpool bertahan. Sterling seperti biasa menunjukkan displin dan kesungguhan yang tinggi samada menyerang dan bertahan. Satu sikap yang cukup digemari mana-mana jurulatih pasukan bola sepak.

Semangat sepasukan yang semakin kuat.

Percaturan taktikal Rodgers kali ini berkesan dan membuahkan hasil. Liverpool bergantung kepada serangan balas dan tekanan yang konsisten. Dalam taktikal seperti ini, displin pemain amatlah diperlukan. Pemain tidak boleh leka membiarkan pemain lawan bergerak bebas. Secara keseluruhan, Everton mengawal pegangan bola dan permainan. Everton mempunyai kawalan bola sebanyak 60.6% dan membuat 519 hantaran sepanjang perlawanan - 180 hantaran lebih banyak daripada Liverpool. Everton juga berjaya membuat 23 hantaran lintang (crosses) berbanding Liverpool dengan hanya 5. Tetapi apa yang penting ialah percubaan kearah gol yang hampir seimbang untuk kedua-dua pasukan - 20 untuk Liverpool, 19 untuk Everton. Jelas dengan 4 gol tanpa balas, kebolehan untuk menjaringkan gol Liverpool lebih baik berbanding Everton dimana ini menjadi perbezaan kekuatan antara dua pasukan ini.

Statistik penggunaan bola yang jelas dikuasai Everton.
(fourfourtwo.com)

Persembahan Coutinho bermain di tengah sambil dibantu Henderson dan Gerrard juga sangat baik. Pada awalnya, dengan taktikal ini Liverpool mungkin lebih terdedah kepada serangan Everton dari tengah memandangkan Coutinho bukanlah pemain tengah yang secara semulajadi gemar untuk turun membantu pasukan ketika diserang. Tetapi dia menjalankan tugas yang baik terutama membantu Sterling dan Flanagan di sebelah kanan. Tambah lagi, corak permainan serang balas Liverpool membolehkannya bergerak dengan lebih bebas untuk membuat hantaran dan lorongan-lorongan kreatif. Sepanjang permainan, dia berjaya membuat 4 hantaran penting dan 1 daripadanya ialah bantuan gol kepada Sturridge. Dia mengawal bola dengan baik dan hanya dirampas sekali sahaja. Tugasnya ketika bertahan juga sangat memuaskan. Coutinho membuat 3 bentesan dan mengambil semula bola sebanyak 9 kali (di kawasan Liverpool).

Statistik Coutinho. (Opta)

Kemenangan ini sudah tentu membangkitkan semangat pasukan untuk terus memburu sekurang-kurangnya tempat ke-4 dalam liga. Selain itu, bragging right juga berpihak kepada bahagian merah Merseyside kali ini.

Sumber gambar: liverpoolfc.tv