Musim Baru Bermula Dengan Kemenangan

Musim 2014/2015 telahpun bermula! Liverpool bertemu Southampton di Anfield untuk perlawanan pertama liga musim ini. Sama seperti musim lepas, Liverpool menempah kemenangan melalui perlawanan yang agak sukar...

Nota Penulis: Liverpool, Malaysia, Imej Baharu

Sedikit catatan buat pembaca dari meja penulis.

Apologis untuk Brendan

Beri masa kepada Brendan Rodgers.

Apologis untuk Brendan

Beri masa kepada Brendan Rodgers.

Archive for March 2014

Liverpool Terajui Liga

Barclays Premier League - Perlawanan ke-32
Liverpool 4-0 Tottenham Hotspur

Kaboul (o.g) 1', Suarez 25', Coutinho 55', Henderson 75'
30 Mac 2014. Anfield

Dua pencabar utama kejuaraan liga, Chelsea dan Man City masing-masing gagal mendapat kemenangan sebelum Liverpool berdepan dengan Tottenham di Anfield. Chelsea kalah mengejut kepada Crystal Palace manakala Man City pula hanya seri menentang Arsenal. Kemenangan bermakna Liverpool mendahului liga 1 mata di hadapan Chelsea.

Brendan Rodgers menyenaraikan formasi 4-3-3 dan barisan pemain yang positif dan bersifat menyerang. Philippe Coutinho dan Raheem Sterling disenaraikan dalam kesebelasan utama, meletakkan Joe Allen di bangku simpanan. Rodgers dan kesemua pemain sedar betapa pentingnya untuk Liverpool mengambil peluang daripada kegagalan Chelsea dan Man City mengutip 3 mata penuh. Luis Suarez dan Daniel Sturridge bertukar-tukar posisi dan sekali-sekala juga Sterling turut berada di sayap kiri. Kebebasan bergerak dan bertukar posisi bukanlah perkara asing untuk 3 penyerang dalam sistem 4-3-3 Rodgers. 

Kesebelasan utama. Formasi 4-3-3

Sebelum perlawanan, rekod di atas kertas menunjukkan Liverpool memang patut memenangi perlawanan ini. Tottenham hanya mendapat 1 mata daripada 21 mata menentang pasukan top 4 (Chelsea, Man City, Liverpool, dan Arsenal) musim ini. Tottenham juga kurang tajam di hadapan gol dengan hanya 40 gol berjaya dijaringkan berbanding Liverpool dengan 84 gol (sebelum perlawanan). Walaupun Tottenham mempunyai rekod di tempat lawan yang baik setelah mendapat 29 mata (ke-3 terbaik liga), perlu diingatkan bahawa Liverpool juga sangat kebal di Anfield. Liverpool telah memenangi 14 daripada 16 perlawanan di tempat sendiri. Satu lagi faktor yang bukan faktor teknikal, tetapi lebih kepada mentaliti, ialah pertahan Tottenham gentar akan Suarez. Mereka jelas tidak gemar dan kelihatan gugup sekali sekala berdepan dengan penyerang dari Uruguay itu. 

Liverpool bermain dengan penuh keazaman dan keyakinan. Antara 20 ke 30 minit pertama, Liverpool membuat tekanan di tempat lawan (high-pressing) secara konsisten. Antara kelemahan Tottenham ialah mereka cenderung membuat kesalahan individu di kawasan sendiri yang selalunya menghadiahkan peluang kepada pasukan lawan. High-pressing yang dilakukan Liverpool ini memaksa dan mengakibatkan pemain Tottenham banyak melakukan kesalahan individu. Dua daripada kesalahan tersebut telah memberi peluang kepada Liverpool menjaringkan 2 gol di separuh masa pertama. Ada juga satu kesalahan berjaya dibaca oleh Sterling yang membuat hantaran lintang kepada Suarez. Suarez hampir menjadikan kedudukan 3-0 tetapi tandukannya ditepis dengan hebatnya oleh hugo Lloris. Gol kedua Liverpool juga berpunca daripada kesalahan individu dilakukan Michael Dawson. Pujian juga harus diberikan kepada Suarez yang tidak pernah penat mengejar bola di kawasan lawan. Hasilnya, dia berjaya merebut loose ball yang turut dikejar Younes Kaboul. Penyudah Suarez pula sangat hebat. Dari jarak yang agak sukar, dengan menggunakan kaki kiri, dia berjaya meletakkan bola tepat di penjuru bawah gol melepasi jangkauan Lloris. Penyudah yang mengingatkan kita kepada Robbie Fowler, yang pernah memegang rekod penjaring liga terbanyak dalam satu musim untuk Liverpool dengan 28 gol. Gol Suarez itu telah memecahkan rekod Fowler kerana itu ialah gol ke-29 Suarez dalam liga musim ini. 

Team spirit yang semakin kuat. (liverpoolfc.tv)
Penyudah tajam Suarez. (liverpoolfc.tv)

Kemenangan Tipis Berharga

Barclays Premier League - Perlawanan ke-31
Liverpool 2-1 Sunderland

Gerrard 39', Sturridge 48', Ki 76'
26 Mac 2014. Anfield

Liverpool kembali ke Anfield dan kembali ke tangga ke-2 liga selepas menewaskan Sunderland 2-1 semalam. Kemenangan ini juga bermakna Liverpool telah memenangi 7 perlawanan liga beruturut-turut dan masih tidak pernah tewas dalam liga untuk tahun 2014.

Formasi 4-4-2 diamond dan kesebelasan utama menentang Cardiff City Sabtu lepas dikekalkan untuk perlawanan ini. Steven Gerrard tetap dimainkan walaupun berisiko untuk digantung 2 perlawanan jika mendapat kad kuning - kad kuning kesepuluh di kempen domestik sebelum 12 April 2014.

Kesebalasan utama. Formasi 4-4-2 diamond.

Boleh dikatakan rata-rata penyokong dan sesiapapun yang menonton perlawanan ini menjangkakan jaringan gol yang banyak, terutama untuk Liverpool. Mengapa tidak. Sebelum perlawanan, Liverpool sudahpun menjaringkan 82 gol dan gandingan SAS sendiri memperoleh 47 gol diantara mereka. Namun, keputusan berakhir tidak seperti yang diharapkan. Ternyata perlawanan ini lebih sukar berbanding di atas kertas.

Sunderland dibawah kendalian Gus Poyet meletakkan 5 pertahanan untuk perlawanan ini. Poyet memastikan pasukannya padat di hadapan gol dan tidak mudah untuk ditembusi. Strategi ini ternyata berhasil. Liverpool tampak sukar untuk memecahkan kebuntuan apabila pemain Sunderland berkumpul di kawasan kotak penalti.

Pada masa yang sama, serangan Liverpool juga agak gopoh. Walaupun pergerakkan pemain sangat bagus dan sentiasa bergerak pantas, bola terakhir (final ball) Liverpool kurang menjadi. Corak permainan pantas ini memang menarik dan seronok untuk ditonton. Tetapi, tidak semestinya membuahkan hasil. Liverpool sepatutnya perlu lebih sabar ketika membina permainan. Luis Suarez, Daniel Sturridge, dan Philippe Coutinho terutamanya terlalu 'eager' untuk membuat percubaan yang kadang-kala dari sudut yang sukar. Mungkin juga penyokong menjadi faktor kepantasan corak permainan Liverpool. Sudah satu bulan Liverpool tidak bermain di Anfield. Penyokong juga makin teruja dan bersemangat dengan prestasi Liverpool. Sorakan dan sokongan padu menaikkan semangat pasukan yang jelas tidak sabar-sabar untuk membuat serangan. Bukanlah ia sesuatu yang negatif. Malah, ia sangat membantu. Namun, oleh kerana Sunderland terlalu kental di bahagian pertahanan, Liverpool perlu lebih bijak dan tenang membuat serangan, hingga pertahanan Sunderland menjadi leka dan meninggalkan posisi-posisi mereka. Kesemua 8 percubaan Liverpool pada separuh masa pertama adalah dari luar kotak penalti. Permainan lebih terbuka di separuh kedua dan barulah Liverpool dapat memasukki kotak penalti dengan lebih kerap.

8 percubaan.di separuh masa pertama Liverpool dari luar kotak.
(liverpoolfc.tv - Opta)
Percubaan di separuh masa kedua.
(liverpoolfc.tv - Opta)

6 Gol di Wales

Barclays Premier League - Perlawanan ke-30
Cardiff City 3-6 Liverpool

Mutch 9', Suarez 16', Campbell 25', Skrtel 41', Skrtel 54', Suarez 60',
Sturridge 75', Mutch 88', Suarez 90'

22 Mac 2014. Cardiff City Stadium

Minggu ini menyaksikan 3 kelab teratas liga membelasah lawan masing-masing. Chelsea membuat kejutan besar dengan mengalahkan Arsenal 6-0 di Stamford Bridge (kad merah Kieran Gibbs menjadi faktor). Man City pula meratah Fulham 5-0 juga di laman sendiri, di mana Yaya Toure menjaringkan hat-trick pertamanya bersama Man City. Liverpool tidak ketinggalan menyertai minggu 'goals galore' Liga Perdana Barclays. Pasukan dari Wales, Cardiff City yang dimiliki oleh usahawan Malaysia, Vincent Tan, ditewaskan Liverpool 3-6.

Brendan Rodgers mengekalkan formasi yang sama seperti menentang Man Utd lepas. Hanya satu perubahan dilakukan iaitu Philippe Coutinho disenaraikan dalam kesebelasan utama menggantikan Raheem Sterling. John Flanagan kekal sebagai pertahanan kiri dan Glen Johnson berada di sebelah kanan.

Kesebelasan utama. Formasi 4-4-2 diamond.

Luis Suarez berjaya meledak hat-trick ketiganya musim ini - 28 gol liga setakat ini. Bek tengah, Martin Skrtel pula menjaringkan gol keenamnya musim ini dan ini adalah kali kedua dia menjaringkan 2 gol dalam satu perlawanan. Daniel Sturridge turut berada dalam senarai penjaring dengan 1 gol.

Seperti biasa, gandingan Suarez dan Sturridge menunjukkan taring mereka. Setakat ini bagi tahun 2014, gandingan SAS terlibat sebagai penjaring gol dalam kesemua perlawanan liga. Salah seorang daripada mereka pasti menjaringkan sekurang-kurangnya 1 gol. Stoke City, Everton, dan Cardiff City adalah tiga pasukan lawan yang menyaksikan kedua-dua mereka menjaringkan gol tahun ini. Suarez dan Sturridge bergandingan baik dalam perlawanan iini dengan menjaringkan gol dan melakukan assist sesama mereka. Tidak boleh dinafikan lagi betapa hebatnya gandingan ini dan pentingnya mereka kepada pasukan.

Suarez melengkapkan hat-trick di babak akhir perlawanan.
(liverpoolfc.tv)

Man Utd dimalukan Liverpool di Old Trafford

Barclays Premier League - Perlawanan ke-29
Man Utd 0-3 Liverpool

Gerrard 34' (pen), Gerrard 46' (pen), Suarez 84'
16 Mac 2014. Old Trafford

What a win! Liverpool berjaya meratah Man Utd 3 gol tanpa balas di laman mereka. Ini bermakna, peluang Liverpool untuk ke Liga Juara-juara Eropah musim depan semakin cerah dan saingan kejuaraan liga makin terbuka.

Liverpool mempunyai banyak masa untuk rehat dan persediaan menghadapi hari besar ini selepas rehat dua minggu tanpa sebarang perlawanan. Dengan itu, Brendan Rodgers mempunyai banyak masa untuk menerapkan taktikalnya dalam pasukan.

Kesebelasan utama yang dipilih hampir sama dengan yang menentang Southampton awal bulan lalu. Hanya satu perbuahan, Raheem Sterling dimasukkan menggantikan Philippe Coutinho. Formasi yang digunakan ialah 4-4-2 diamond atau mungkin juga boleh dikatakan sebagai 4-1-2-1-2. Percaturan taktikal Rodgers untuk perlawanan ini adalah sangat tepat dan membuahkan hasil.

Kesebelasan utama. Formasi 4-4-2 diamond.

Pertama sekali, Sterling dipilih untuk bermain di belakang dua penyerang utama. Sterling berada dalam prestasi terbaik sementara Coutinho menurun sedikit baru-baru ini. Pada masa yang sama, fungsi Sterling di posisi itu berbeza dengan kebiasaan.Dia bermain sebagai penyerang ke-3 dalam pasukan dan bukannya sebagai perancang (number 10 playmaker). Tugas Sterling ialah membuat larian ke hadapan (kotak penalti atau channel) dan bukannya merancang permainan melalui hantaran dan through-ball. Rodgers mahu menggunakan kepantasan Sterling untuk melepasi pertahanan Man Utd - releasing the 3rd man. Ini bermakna, pemain tengah Man Utd, Michael Carrick dan Marouane Fellaini, tidak dapat bergerak terlalu ke hadapan supaya dapat memastikan Sterling sentiasa dalam pandangan mereka. Sterling berberapa kali berjaya membuat larian dan berada di kawasan sayap (channel) terutama di sebelah kanan. Ada satu ketika, dia berjaya membuat larian ke dalam kotak penalti melepasi celah dua pemain. Sedikit sebanyak, taktikal ini dapat menjana berberapa pergerakan bahaya Liverpool ketika menyerang.

Di bahagian tengah pula, Rodgers memilih untuk menggunakan formasi diamond. Sterling membuat tekanan di tengah-tengah padang, Steven Gerrard bertindak sebagai holding-midfielder, sementara Joe Allen dan Jordan Henderson membuat tekanan di bahagian masing-masing. Rodgers mahu bahagian tengah Liverpool lebih padat (compact) dan tersusun. Sebab itulah trio Gerrard, Allen, dan Henderson di kekalkan. Sama seperti dalam perlawanan menentang Southampton, Henderson dan Allen ditugaskan membantu Glen Johnson dan Jon Flanagan ketika bertahan. Ketika menyerang, mereka turut bergerak ke hadapan membantu rakan sepasukan. Ternyata Rodgers mahu menggunakan sepenuhnya tenaga dan mobility yang ada pada mereka. Sekali lagi, taktikal ini membuahkan hasil kerana Liverpool dapat mengawal pergerakan pemain Man Utd. Hanya satu percubaan ke arah gol dilepaskan Liverpool sepanjang perlawanan.

Kembali kepada Sterling tadi, pergerakkannya agak terhad bermain di posisi itu. Dia bukanlah secara semula jadinya seorang pemain tengah. Kekuatannya tertumpu kepada kepantasan dan kebolehan menggelecek. Jadi, dia berfungsi dengan lebih bagus di bahagian sayap. Dapat kita lihat, banyak masa Sterling dalam perlawanan ini di habiskan di kawasan sendiri membantu rakan sepasukan bertahan. Apabila Liverpool sudah selesa dihadapan, barulah Coutinho dimasukkan bagi memastikan bola dapat dikawal dengan lebih baik. Walaupun begitu, kerana kerajinan dan kepantasannya, Sterling turut mara ke hadapan ke kawasan lawan dan melibatkan diri apabila Liverpool menyerang.

Peratusan kedudukan Sterling dalam padang.

Sasaran 70 Gol

Artikel lepas, 'SAS & Gol - Faktor Penting Juarai Liga', ada menyatakan bahawa Liverpool memerlukan sekurang-kurangya 70 gol untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah (UCL). Analisis tersebut sebenarnya dinyatakan sendiri oleh Brendan Rodgers ketika menjawab pertanyaan temuramah bersama peminat pada hujung tahun 2012 yang lepas.


Secara ringkasnya, Rodgers menyatakan bahawa lebih kurang 70 gol perlu dijaringkan Liverpool untuk mencabar kedudukan empat terbaik liga. Ini berdasarkan bilangan gol yang dijaringkan pasukan-pasukan yang layak ke UCL musim-musim sebelumnya. Contohnya musim 2011-2012; Man City (93 gol), Man Utd (89), Arsenal (74), dan Tottenham Hotspur (66). Begitu juga kalau dilihat berberapa musim kebelakangannya. Walaupun bukanlah menjadi kemestian atau menjamin tempat ke UCL, ia sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan tentang kaitan diantara kedudukan liga dan bilangan gol.

Rodgers mencadangkan bahawa Suarez boleh menjaringkan 40 gol atau lebih. Manakala 30 gol yang lain disumbangkan oleh pemain lain. 40 gol daripada Suarez seorang ialah satu sasaran yang agak tinggi dan agak sukar untuk dicapai. Tetapi, Rodgers sudah pasti hanya memberi gambaran kebolehan dan kepentingan Suarez dalam skuad Liverpool. Setakat ini, Suarez dan Sturridge sudahpun menjaringkan 42 gol dan 31 gol lagi disumbangkan pemain-pemain lain. Sasaran 70 gol sudahpun tercapai.

Mungkin apa yang diutarakan bukanlah satu-satunya faktor bagaimana Liverpool akan layak ke UCL. Ada banyak lagi sebab-sebab lain. Tambah lagi, buat masa ini pasukan yang berada di kedudukan pertama hingga keempat tidak jauh berbeza. Empat pasukan ini hanya dipisahkan dengan berberapa mata.

Andaian Rodgers yang disebut awal tadi boleh dikatakan hampir tepat. Ketika artikel ini ditulis, Liverpool berada di tempat ke-3, 6 mata dihadapan Tottenham Hotspur ditempat ke-5. Liverpool hanya perlu mengekalkan persembahan yang konsisten dan tidak membuang mata, terutama dalam perlawanan-perlawanan yang mudah (Cardiff City, Crystal Palace, Norwich, dll). Kelayakan ke UCL tampak tidak begitu jauh dah hampir pasti buat Liverpool.

Nota:
Video temuramah tersebut dirakamkan oleh The Redmen TV. Ada berberapa video temuramah panjang lain yang banyak memberi informasi tentang idea dan rancangan Rodgers. Sebagai contoh, Rodgers menerangkan bagaimana trio midfield Liverpool berfungsi, mengapa Allen menjadi pilihannya, bagaimana pemain sayap dapat membantu penyerang utama, dan lain-lain. Strategi pembelian pemain, mentaliti dan hala tuju kelab turut diterangkan dalam temuramah tersebut.

The Redmen TV ialah satu rancangan (di Youtube) oleh peminat Liverpool di sana sendiri. Mereka menyediakan video analisis/pendapat sebelum dan selepas perlawanan, temuramah, komedi, dan sebagainnya. Ikuti mereka di Youtube, Twitter, Facebook, dan laman web rasmi.

SAS & Gol - Faktor Penting Juarai Liga

Setakat ini untuk 28 perlawanan, gandingan digeruni ramai, Suarez dan Sturridge telah berjaya menjaringkan 42 gol keseluruhan. Jumlah gol yang sangat banyak dan membanggakan. Ini kerana, musuh ketat Liverpool, Man Utd, hanya mampu menjaringkan 46 gol setakat ini. Ya, Man Utd, seluruh pasukan, hanya mampu melebihi 4 gol berbanding gol gandingan SAS. Liverpool secara keseluruhan pula telah menghasilkan 73 gol - terbanyak dalam liga setakat ini.

Ia menjadi salah satu faktor besar kemaraan Liverpool di saingan liga musim ini. Walaupun banyak sebab-sebab lain, faktor ini adalah yang paling jelas. Lazimnya, apabila satu pasukan itu mempunyai gandingan yang mantap, ia memberi gambaran pasukan tersebut mempunyai peluang yang cerah untuk menjuari liga.

Tetapi, adakah mempunyai gandingan serangan hebat benar-benar menjanjikan kejuaraan liga? Ataupun sekadar berpotensi untuk membantu pasukan menjuarainya?


Seperti yang dapat dilihat, walaupun masih berbaki 10 perlawanan untuk Liverpool, gandingan SAS sudahpun berada tempat ke-7 dalam ranking 'duo' terbaik Liga Perdana Inggeris. Mereka berkongsi kedudukan dengan gandingan Robbie Fowler dan Stan Collymore, juga daripada Liverpool.

Perlawanan Amal Ulangtahun ke-25 Hillsborough

Satu perlawanan amal akan diadakan di Anfield sempena ulangtahun ke-25 Hillsborough. Perlawanan akan diadakan pada 21 April 2014 dan diberi nama 'Celebration of the 96'.

Dua bekas pengurus Liverpool, Kenny Dalglish dan Gerard Houllier bakal mengurus setiap pasukan masing-masing. Dalglish mengendali pasukan yang akan diwakili lagenda tempatan Liverpool manakala Houllier pula pasukan yang bakal diwakili lagenda antarabangsa Liverpool.

Antara pemain yang sudahpun bersetuju untuk menyertai perlawanan amal ini: David James, Jamie Carragher, Gary McAllister, Ray Houghton, Ian Rush, Robbie Fowler, Steve McManaman, Peter Beardsley, John Barnes, Luis Garcia, Markus Babbel, Jan Molby, Stephane Henchoz, Stig Inge Bjornebye, Dietmar Hamann, dan Vladimir Smicer. Pasti anda ingat bekas pemain-pemain Liverpool ini, bukan?

Pada 2009, perlawanan amal seperti ini juga pernah diadakan sempena ulangtahun ke-20 Hillsborough. Acara-acara bersama komuniti yang disertai pemain-pemain skuad utama, akademik, dan wanita, turut akan diadakan sebelum sepak mula perlawanan amal.

Perlwanan amal yang diadakan pada May 2009.
(liverpoolecho.co.uk)

Kesemua hasil kutipan penjualan tiket dan lain-lain akan disumbangkan kepada Hillsborough Family Support Group dan Liverpool FC Foundation.

Berita penuh dan laporan berita terkini mengenai Hillsborough boleh dibaca di Liverpool Echo.

Mignolet atau Reina?

Minggu ini, banyak laporan-laporan media mengatakan bahawa Pepe Reina bakal meninggalkan Liverpool selepas tamat musim kelak. Reina musim ini dipinjampkan ke Napoli di liga Itali. Pada masa yang sama, ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa Reina mahu kekal di Liverpool. Katanya, Reina bersedia untuk bersaing dengan Mignolet yang ketika ini beraksi sangat baik. Penyokong Liverpool seperti terbahagi kepada dua pihak; satu pihak menyokong Reina untuk kekal dan satu lagi pihak mahu hanya Mignolet menjadi penjaga gol utama di Liverpool.

Siapakah diantara mereka ialah penjaga gol yang lebih bagus? Sukar untuk dikatakan. Tidak seperti outfield players, kehebatan seorang penjaga gol itu sukar untuk dibuktikan. Terutama jika penjaga gol yang hendak dibandingkan hampir sama dari segi kemahiran. Apa yang lebih jelas ialah perbandingan dari sudut prestasi mereka.

Pertama sekali, kita lihat kebolehan dan prestasi Reina. Pada musim pertama Reina di Liverpool (2005-2006), dia telah menunjukkan persembahan yang serta merta memikat penyokong Liverpool. Dia pernah mengekalkan clean-sheet untuk 11 perlawanan berturut-turut (Oktober hingga Disember 2005) - akhirnya bolos di perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA menentang Sao Paulo. Musim itu juga dia berjaya menjadi penjaga gol yang paling kurang bolos dalam 50 perlawanan pertama dalam sejarah Liverpool (Liverpool mempunyai banyak perlawanan musim itu kerana terpaksa bermain di peringkat pertama kelayakan Liga Juara-juara Eropah). Dia juga memenangi anugerah Golden Glove liga selepas membuat 20 clean-sheet musim itu. Kemuncak musim yang sama, dia menjadi wira di perlawanan akhir Piala FA. Musim pertama yang cemerlang buat Reina.

Dua musim seterusnya, dia mengekalkan prestasinya. Musim 2006-2007, Reina sekali lagi memenangi anugerah Golden GloveI. Dia juga turut menjadi tunjang utama yang membawa Liverpool ke perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah di Athens menentang AC Milan. Musim 2007-2008, Reina berkongsi clean-sheet terbanyak liga bersama Petr Cech (Chelsea) - anugerah Golden Glove diberikan kepada Cech kerana mempunyai bilangan perlawanan kurang berbanding Reina.

Masa depan Reina di Liverpool
terumbang-ambing.
(liverpoolfc.tv)
Musim 2008-2009 hingga musim 2012-2013, menyaksikan prestasi 'yo-yo' Reina di Liverpool. Ada masa dia mempamerkan kemahirannya. Tetapi ada juga masanya, Reina membuat kesilapan dan tidak menunjukkan persembahan yang konsisten. Dia tidak lagi kelihatan 'kebal' di gol Liverpool. Banyak gol-gol mudah dilepaskannya. Begitu juga dengan 'schoolboy error' yang dilakukannya. Musim lepas, kita pasti ingat bagaimana dia membuat kesilapan yang sukar diterima menentang Man City. Itu salah satu contoh kesalahan yang tidak patut dibuat oleh penjaga gol sehebatnya.

3 gol dan 3 mata

Barclays Premier League - Perlawanan ke-28
Southampton 0-3 Liverpool

Suarez 16', Sterling 58', Gerrard 90'
1 March 2014. St. Mary's Stadium

Bertandang ke St. Mary's Stadium dengan misi untuk mencari kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah. Musim lepas Liverpool dimalukan 1-3, dan awal musim ini, Southampton menjadi satu-satunya pasukan yang mengalahkan Liverpool di Anfield. Mereka bukanlah lawan yang calang-calang kerana mereka bermain bola sepak yang bagus dan mempunyai ramai pemain berbakat. Seperti juga Stoke City, penyokong Liverpool turut menggelar Southampton sebagai 'bogey team' kerana Liverpool sering mengalami kesukaran menentang mereka.

Untuk perlawanan ini, Allen diletakkan dalam kesebelasan utama selepas mempamerkan permainan yang bagus menentang Swansea minggu lepas. Ia juga adalah kerana percaturan taktikal. Liverpool perlu lebih kental di tengah padang. Manakala di posisi-posisi lain tiada sebarang perubahan. Cuma apa yang berbeza di sini ialah bentuk formasi pasukan. Biasanya Liverpool bermain formasi 4-3-3, dengan seorang penyerang utama di hadapan dibantu dua  pemain sayap - sambil Suarez dan Sturridge bertukar-tukar tugas sebagai penyerang. Kali ini, empat pemain tengah membentuk satu rangkaian segi empat yang biasanya dipanggil diamond. Coutinho beroperasi sebagai attacking-midfielder dan Gerrard seperti biasa menjadi defensive/holding midfielder. Henderson dan Allen masing-masing di bahagian kanan dan kiri midfield melengkapkan formasi tersebut.

Kesebelasan utama.
Separuh masa pertama. Formasi 4-4-2 diamond.

Suarez dan Sturridge pula bergandingan sebagai dua penyerang di hadapan. Formasi ini kekal untuk separuh masa kedua tetapi dengan sedikit perubahan. Selepas rehat, Gerrard, Henderson, dan Allen beroperasi di kedudukan yang hampir sama (flat). Manakala Sterling/Coutinho bermain sedikit ke bawah berbanding Suarez dan Sturridge. Formasi yang hampir sama seperti separuh masa pertama, tetapi berlainan dari segi kedudukan pemain dan tugas masing-masing. Ini kerana, Southampton sangat bahaya ketika menyerang terutama di bahagian sayap mereka. Bahagian tengah Liverpool tampak kucar-kacir dan tidak tersusun ketika bertahan. Perancang Southampton, Lallana, bermain dengan sangat bagus dan berjaya 'outplay' Gerrard pada separuh masa pertama.