Artikel lepas, 'SAS & Gol - Faktor Penting Juarai Liga', ada menyatakan bahawa Liverpool memerlukan sekurang-kurangya 70 gol untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah (UCL). Analisis tersebut sebenarnya dinyatakan sendiri oleh Brendan Rodgers ketika menjawab pertanyaan temuramah bersama peminat pada hujung tahun 2012 yang lepas.
Secara ringkasnya, Rodgers menyatakan bahawa lebih kurang 70 gol perlu dijaringkan Liverpool untuk mencabar kedudukan empat terbaik liga. Ini berdasarkan bilangan gol yang dijaringkan pasukan-pasukan yang layak ke UCL musim-musim sebelumnya. Contohnya musim 2011-2012; Man City (93 gol), Man Utd (89), Arsenal (74), dan Tottenham Hotspur (66). Begitu juga kalau dilihat berberapa musim kebelakangannya. Walaupun bukanlah menjadi kemestian atau menjamin tempat ke UCL, ia sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan tentang kaitan diantara kedudukan liga dan bilangan gol.
Rodgers mencadangkan bahawa Suarez boleh menjaringkan 40 gol atau lebih. Manakala 30 gol yang lain disumbangkan oleh pemain lain. 40 gol daripada Suarez seorang ialah satu sasaran yang agak tinggi dan agak sukar untuk dicapai. Tetapi, Rodgers sudah pasti hanya memberi gambaran kebolehan dan kepentingan Suarez dalam skuad Liverpool. Setakat ini, Suarez dan Sturridge sudahpun menjaringkan 42 gol dan 31 gol lagi disumbangkan pemain-pemain lain. Sasaran 70 gol sudahpun tercapai.
Mungkin apa yang diutarakan bukanlah satu-satunya faktor bagaimana Liverpool akan layak ke UCL. Ada banyak lagi sebab-sebab lain. Tambah lagi, buat masa ini pasukan yang berada di kedudukan pertama hingga keempat tidak jauh berbeza. Empat pasukan ini hanya dipisahkan dengan berberapa mata.
Andaian Rodgers yang disebut awal tadi boleh dikatakan hampir tepat. Ketika artikel ini ditulis, Liverpool berada di tempat ke-3, 6 mata dihadapan Tottenham Hotspur ditempat ke-5. Liverpool hanya perlu mengekalkan persembahan yang konsisten dan tidak membuang mata, terutama dalam perlawanan-perlawanan yang mudah (Cardiff City, Crystal Palace, Norwich, dll). Kelayakan ke UCL tampak tidak begitu jauh dah hampir pasti buat Liverpool.
Nota:
Video temuramah tersebut dirakamkan oleh The Redmen TV. Ada berberapa video temuramah panjang lain yang banyak memberi informasi tentang idea dan rancangan Rodgers. Sebagai contoh, Rodgers menerangkan bagaimana trio midfield Liverpool berfungsi, mengapa Allen menjadi pilihannya, bagaimana pemain sayap dapat membantu penyerang utama, dan lain-lain. Strategi pembelian pemain, mentaliti dan hala tuju kelab turut diterangkan dalam temuramah tersebut.
The Redmen TV ialah satu rancangan (di Youtube) oleh peminat Liverpool di sana sendiri. Mereka menyediakan video analisis/pendapat sebelum dan selepas perlawanan, temuramah, komedi, dan sebagainnya. Ikuti mereka di Youtube, Twitter, Facebook, dan laman web rasmi.

