Minggu ini, banyak laporan-laporan media mengatakan bahawa Pepe Reina bakal meninggalkan Liverpool selepas tamat musim kelak. Reina musim ini dipinjampkan ke Napoli di liga Itali. Pada masa yang sama, ada juga khabar angin yang mengatakan bahawa Reina mahu kekal di Liverpool. Katanya, Reina bersedia untuk bersaing dengan Mignolet yang ketika ini beraksi sangat baik. Penyokong Liverpool seperti terbahagi kepada dua pihak; satu pihak menyokong Reina untuk kekal dan satu lagi pihak mahu hanya Mignolet menjadi penjaga gol utama di Liverpool.
Siapakah diantara mereka ialah penjaga gol yang lebih bagus? Sukar untuk dikatakan. Tidak seperti outfield players, kehebatan seorang penjaga gol itu sukar untuk dibuktikan. Terutama jika penjaga gol yang hendak dibandingkan hampir sama dari segi kemahiran. Apa yang lebih jelas ialah perbandingan dari sudut prestasi mereka.
Pertama sekali, kita lihat kebolehan dan prestasi Reina. Pada musim pertama Reina di Liverpool (2005-2006), dia telah menunjukkan persembahan yang serta merta memikat penyokong Liverpool. Dia pernah mengekalkan clean-sheet untuk 11 perlawanan berturut-turut (Oktober hingga Disember 2005) - akhirnya bolos di perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA menentang Sao Paulo. Musim itu juga dia berjaya menjadi penjaga gol yang paling kurang bolos dalam 50 perlawanan pertama dalam sejarah Liverpool (Liverpool mempunyai banyak perlawanan musim itu kerana terpaksa bermain di peringkat pertama kelayakan Liga Juara-juara Eropah). Dia juga memenangi anugerah Golden Glove liga selepas membuat 20 clean-sheet musim itu. Kemuncak musim yang sama, dia menjadi wira di perlawanan akhir Piala FA. Musim pertama yang cemerlang buat Reina.
Dua musim seterusnya, dia mengekalkan prestasinya. Musim 2006-2007, Reina sekali lagi memenangi anugerah Golden GloveI. Dia juga turut menjadi tunjang utama yang membawa Liverpool ke perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah di Athens menentang AC Milan. Musim 2007-2008, Reina berkongsi clean-sheet terbanyak liga bersama Petr Cech (Chelsea) - anugerah Golden Glove diberikan kepada Cech kerana mempunyai bilangan perlawanan kurang berbanding Reina.
| Masa depan Reina di Liverpool terumbang-ambing. (liverpoolfc.tv) |
Itu adalah 'sejarah' secara ringkas prestasi Reina di Liverpool. Mignolet di Sunderland pula telah menjadi salah seorang penjaga gol terbaik di liga. Dia membuat banyak clean-sheet dan menjadi pemain terbaik perlawanan musim lepas. Persembahan yang konsisten dan yakin di gol menjadi sebab mengapa dia dipilih untuk menggantikan Reina. Bukan itu sahaja, seperti yang kita tahu, Brendan Rodgers memilih pemain berdasarkan statistik dan analisis. Dan memang statistik dan analisis membuktikan Mignolet ialah seorang penjaga gol yang cukup bagus. Tambahan lagi, dia masih muda (26 tahun). Penjaga gol biasanya lebih bagus apabila umur semakin meningkat.
Musim ini, Mignolet menjadi pemain utama yang banyak membantu Liverpool berada di kedudukan terbaik dalam liga. Banyak percubaan-percubaan bahaya pasukan lawan yang berjaya diselamatkannya. Malah, dia telah menjadi hero Liverpool pada perlawanan pertama liga dengan menyelamatkan penalti Stoke City. Ia seolah-olah menjadi detik dan tanda permulaan kemaraan Liverpool dalam saingan liga. Dia meneruskan prestasi terbaik dalam banyak perlawanan seperti menentang Swansea, Everton, Stoke City, dan Southampton, semua di tempat lawan. Banyak juga percubaan-percubaan bahaya lawan diselamatkannya. Boleh dikatakan, dia mempunyai musim pertama yang cukup meyakinkan dan patut dipuji.
| Mignolet cukup cemerlang di musim pertamanya di Liverpool. (liverpoolfc.tv) |
Satu kemahiran penjaga gol yang jelas membezakan kedua-dua pemain ini ialah distribution - kebolehan penjaga gol membuat hantaran, sepakan gol, dan balingan bola kepada rakan sepasukan. Reina memang terkenal dengan kehebatan distribution nya. Dia adalah produk akademi Barcelona, La Masia, yang menerapkan falsafah bola sepak tiki-taka yang sangat popular. Mereka diajar mengekalkan penguasaan bola dan membuat build-up play dari penjaga gol hinggalah ke barisan serangan dengan hantaran-hantaran yang tepat (terutama hantaran pendek). Falsafah ini diterapkan secara keseluruhan di Barcelona bermula daripada akademik seawal umur 7 tahun. Jadi, Reina yang memulakan karier bola sepaknya di Barcelona sejak tahun 1988 (youth team), sangat mahir dari segi distribution. Kemahiran ini penting supaya pasukan boleh membuat serangan balas dengan lebih efektif disamping mengekalkan penguasaan bola apabila ditekan pihak lawan. Sepanjang kariernya di Liverpool, dia telah banyak mepamirkan kebolehannya ini, memulakan serangan balas, dan sebagainya. Pernah dalam perlawanan menentang Aston Villa pada tahun 2009, Reina membantu Albert Riera menjaringkan gol - dengan membuat hantaran jauh dari kawasan gol sendiri hingga ke kotak penalti pasukan lawan yang disudahkan Riera dengan half-volley. Kemahiran ini juga sangat penting buat Liverpool dibawah kendalian Rodgers. Seperti di Barcelona, Rodgers juga gemar pemain-pemainnnya mengekalkan penguasaan bola. Penjaga gol yang boleh bertindak sebagai sweeper-keeper menjadi pilihan ideal untuk Liverpool - oleh itu, Reina sangat sesuai. Sebab ini jugalah ramai penyokong masih lagi mahu Reina kekal di Liverpool. Mingolet pula boleh dikatakan mempunyai kebolehan membuat distribution yang memuaskan walaupun tidaklah semahir Reina. Dia juga agak selesa mengawal bola di kakinya. Dan masih banyak lagi masa dan ruang untuknya memnambah baik kebolehannya.
![]() |
| Perbandingan statistik Mignolet dan Reina musim lepas. (whoscored.com) |
Prestasi Reina semaking kurang memuaskan dari musim ke musim. Positioning dan aerial ability Reina menjadi kelemahan utamanya. Lihat sahaja bagaimana dengan mudah pemain lawan menjaringkan gol dari sudut sukar. Yang paling memberi kesan ialah ketika perlawanan akhir Piala FA musim 2010-2011 melawan Chelsea. Reina gagal menutup ruang (yang tak sepatutnya ditinggalkan penjaga gol) mengakibatkan Chelsea dapat menjaringkan gol pendahuluan. Mungkin sedikit kasar bagi sesetengah penyokong untuk menyalahkan Reina. Tetapi, Reina ialah seorang penjaga gol yang sangat berpengalaman dan telah mengecewakan pasukan dalam perlawanan paling penting musim itu. Reina juga sudah hilang keyakinan dan tidak menunjukkan persembahan konsisten. Ramai penulis-penulis bola sepak di England berpendapat Reina mula hilang tumpuan apabila Barcelona menunjukkan minat untuk menandatanganinya. Begitu juga AC Milan yang pernah berminat untuk membawa Reina ke San Siro. Namun, untuk banyak sebab, perpindahan tersebut tidak pernah direalisasikan. Walaupun Reina dikatakan selesa tinggal di Merseyside, sedikit sebanyak khabar angin perpindahan tersebut pasti teah menjadi faktor kepada penurunan prestasinya di Liverpool.
Banyak teori-teori dan tekaan mengapa Reina dipinjamkan ke Napoli musim ini. Keputusan dibuat Rodgers tersebut telah mengejutkan ramai penyokong. Ada yang beranggapan Rodgers risau (mungkin juga 'terasa') apabila Reina menunjukkan minat untuk ke Barcelona sedangkan masih mempunyai kontrak yang panjang di Liverpool. Tambahan lagi, Reina ialah salah seorang pengaruh utama dalam bilik persalinan selain Gerrard, Agger, Lucas, dan Suarez. Dia juga dianggap sebagai salah seorang ketua di dalam dan luar padang untuk Liverpool. Jadi, apabila spekulasi perpindahan Reina ke Barcelona tersebar dan Reina dilihat seperti sudah berubah arah, Rodgers bersiap sedia untuk membeli penjaga gol baru sebelum musim bermula. Rodgers seorang jurulatih yang mempunyai visi dan pelan yang memandang kehadapan. Jadi, dia mahu penjaga golnya bersama-sama pasukan seawal pra-musim untuk memastikan kelancaran latihan dan taktikal pasukan. Pada masa yang sama, Victor Valdes di Barcelona hampir menyertai AS Monaco menjadikan perpindahan Reina ke Barcelona semakin menjadi realiti. Liverpool juga tidak mahu terlepas peluang untuk membawa Mignolet ke Anfield jika benar Reina akan berpindah.
Rodgers pernah memberi penerangan pada awal musim bahawa Liverpool mempunyai dua penjaga gol utama dan mereka perlu bersaing untuk mendapat tempat. Namun, akhirnya Napoli meminjam Reina untuk semusim. Mungkin memang bukan dalam perancangan Rodgers untuk mempunyai dua penjaga gol utama. Tetapi, situasi memaksa Rodgers untuk menandatangani Mignolet dari Sunderland. Tambahan lagi, Liverpool dalam proses untuk memastikan kewangan pasukan dalam keadaan yang baik dan stabil. Ramai pemain-pemain lama telah dijual atau dilepaskan supaya jumlah belanjawan untuk gaji pemain dapat dikurangkankan. Seperti yang kita tahu, pengurusan Liverpool dan Rodgers mahu Liverpool membayar gaji pemain setimpal dengan prestasi dan nilai mereka dalam pasukan. Sudah tentu membayar £100 000 (gaji Reina menurut media di England) seminggu kepada penjaga gol yang mungkin diturunkan atau tidak adalah pelaburan yang tidak relevan.
Dari sudut lain, mempunyai satu penjaga gol utama sahaja sangat penting dalam pasukan. Penjaga gol perlu keyakinan dan mentaliti yang bagus supaya dapat mempamerkan prestasi terbaik. Penjaga gol tidak perlu diberi tekanan dengan mempunyai saingan yang membebankannya. Jika satu kesalahan dilakukan, sudah pasti moral penjaga gol tersebut turun dan mula risau samada bakal digugurkan daripada skuad utama dalam perlawanan seterusnya. Dia perlu lebih tenang, yakin dengan diri sendiri, dan cepat bangkit jika melakukan kesalahan. Penjaga gol kedua ialah hanya penjaga gol yang 'average' dari segi kemahiran dan bersedia untuk menjadi sekadar pelapis kepada penjaga gol utama. 'Saingan sihat' diantara penjaga gol tidak boleh disamakan dengan outfield player yang mempunyai lebih banyak masa untuk memperbaiki prestasi. Bermain secara bergilir-gilir? Juga bukan penyelesaian yang baik kerana pemain pertahanan perlu lebih serasi dengan seorang penjaga gol. Penjaga gol dan barisan pertahanan boleh dianggap sebagai satu unit barisan belakang jentera pasukan. Hanya di Real Madrid sahaja kelab besar menggunakan dua penjaga gol utama - Diego Lopez dan Iker Casillas. Itupun, ironiknya, Casillas yang digugurkan daripada skuad utama perlawanan liga, telah menampilkan persembahan cemerlang di Liga Juara-juara Eropah dan Copa Del Rey.
Kesimpulannya, perpindahan Reina ke kelab lain (kemungkinan besar Napoli) pada musim hadapan ialah solusi terbaik. Menurut perjanjian, Napoli dibenarkan membayar sebanyak lebih kurang £4 juta untuk Reina. Dengan nilai itu, Liverpool dapat menambah sedikit bajet perpindahan pemain musim hadapan disamping mengurangkan £100 000 pembayaran gaji pemain. Walaupun ramai penyokong yang mahu Reina untuk kekal, prestasi konsisten Mignolet sudah cukup melayakkannya untuk terus menjadi penjaga gol utama pasukan. Penyokong terpaksa mengetepikan perasaan sentimental kepada Reina yang telah banyak memberi sumbangan sejak tahun 2005. Sama seperti perpindahan pemain-pemain kegemaran lain; Xabi Alonso, John Arne Riise, dan Javier Mashcerano, ia hanyalah proses untuk Liverpool bergerak kehadapan supaya menjadi pasukan yang lebih baik. Tambahan lagi, Mignolet telahpun membuktikan dia ialah seorang penjaga gol yang boleh dipercayai.


