3 gol dan 3 mata

Barclays Premier League - Perlawanan ke-28
Southampton 0-3 Liverpool

Suarez 16', Sterling 58', Gerrard 90'
1 March 2014. St. Mary's Stadium


Bertandang ke St. Mary's Stadium dengan misi untuk mencari kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah. Musim lepas Liverpool dimalukan 1-3, dan awal musim ini, Southampton menjadi satu-satunya pasukan yang mengalahkan Liverpool di Anfield. Mereka bukanlah lawan yang calang-calang kerana mereka bermain bola sepak yang bagus dan mempunyai ramai pemain berbakat. Seperti juga Stoke City, penyokong Liverpool turut menggelar Southampton sebagai 'bogey team' kerana Liverpool sering mengalami kesukaran menentang mereka.

Untuk perlawanan ini, Allen diletakkan dalam kesebelasan utama selepas mempamerkan permainan yang bagus menentang Swansea minggu lepas. Ia juga adalah kerana percaturan taktikal. Liverpool perlu lebih kental di tengah padang. Manakala di posisi-posisi lain tiada sebarang perubahan. Cuma apa yang berbeza di sini ialah bentuk formasi pasukan. Biasanya Liverpool bermain formasi 4-3-3, dengan seorang penyerang utama di hadapan dibantu dua  pemain sayap - sambil Suarez dan Sturridge bertukar-tukar tugas sebagai penyerang. Kali ini, empat pemain tengah membentuk satu rangkaian segi empat yang biasanya dipanggil diamond. Coutinho beroperasi sebagai attacking-midfielder dan Gerrard seperti biasa menjadi defensive/holding midfielder. Henderson dan Allen masing-masing di bahagian kanan dan kiri midfield melengkapkan formasi tersebut.

Kesebelasan utama.
Separuh masa pertama. Formasi 4-4-2 diamond.

Suarez dan Sturridge pula bergandingan sebagai dua penyerang di hadapan. Formasi ini kekal untuk separuh masa kedua tetapi dengan sedikit perubahan. Selepas rehat, Gerrard, Henderson, dan Allen beroperasi di kedudukan yang hampir sama (flat). Manakala Sterling/Coutinho bermain sedikit ke bawah berbanding Suarez dan Sturridge. Formasi yang hampir sama seperti separuh masa pertama, tetapi berlainan dari segi kedudukan pemain dan tugas masing-masing. Ini kerana, Southampton sangat bahaya ketika menyerang terutama di bahagian sayap mereka. Bahagian tengah Liverpool tampak kucar-kacir dan tidak tersusun ketika bertahan. Perancang Southampton, Lallana, bermain dengan sangat bagus dan berjaya 'outplay' Gerrard pada separuh masa pertama.


Formasi separuh masa kedua. 4-3-1-2

Walaupun begitu, nasib menyebelahi Liverpool pada separuh masa pertama. Suarez berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan selepas bola terlepas ke arahnya ketika Liverpool cuba membuat pergerakan dari luar kotak penalti Southampton. Gol tersebut ialah gol ke-24 liganya musim ini - gol ke-62 dalam 100 penampilan liga keseluruhan. Jadi, Suarez akhirnya menamatkan 'kemarau' jaringannya selepas 5 perlawanan tanpa gol.

Southampton tidak mudah berputus asa. Serangan demi serangan mereka lakukan dan permainan mereka sangat bagus. Di bahagian tengah, mereka menguasai permainan sehinggakan Liverpool sukar untuk mengawal permainan. Southampton banyak menyerang di bahagian sayap Liverpool, terutama di kawasan Johnson. 7 percubaan berjaya dilakukan mereka di mana satu daripadanya terkena tiang, dan satu lagi cantik diselamatkan oleh Mignolet. Aksi Mignolet itu boleh dikatakan sama penting seperti setiap gol yang dijaringkan Liverpool. Benar, Liverpool agak bernasib baik tidak bolos untuk 45 minit pertama. Tetapi ini tidak bermakna Liverpool tidak layak untuk menang. Persembahan yang lebih mantap pada separuh masa kedua membuktikan kenapa Liverpool layak untuk mengejar kejuaraan musim ini.

Dengan mendahului 1-0 sebelum rehat tetapi bermain kurang baik, Rodgers perlu memastikan respon yang lebih baik daripada pemain-pemainnya. Liverpool perlu lebih kompak ketika bertahan dan itulah juga yang berjaya dilakukan Liverpool untuk 45 minit seterusnya. Henderson dan Allen lebih banyak membantu Flanagan dan Johson di bahagian masing-masing. Heat-map jelas menunjukkan mereka menjalankan tugas yang diarahkan Rodgers untuk memastikan serangan bahaya Southamptopn dari arah sayap berjaya dikurangkan. Di separuh masa kedua, Southampton hanya berjaya membuat 7 hantaran lintang, berbanding 18 pada separuh masa pertama. Ternyata Rodgers dapat melihat masalah dan berjaya menyelesaikannya dengan sedikit perubahan taktikal. Apa yang Liverpool perlukan hanyalah satu gol untuk menjatuhkan terus moral dan semangat pasukan lawan - sucker-punch goal.

Heat map - Allen. 1st-half (left) & 2nd-half (right)
(Opta - squawka.com)
Heat map - Henderson.
(Opta - squawka.com)
Southampton crosses.
(Opta - squawka.com)

Gol tersebut tiba apabila Sterling mudah menyudahkan hantaran lintang Suarez. Suarez menerima lorongan daripada Gerrard dan terus membuat pusingan cantik sebelum memberikannya kepada Sterling. Satu gol yang cukup baik serta merta memadamkan harapan Southampton. Pertukaran Coutinho kepada Sterling juga ternyata membuahkan hasil. Coutinho beraksi kurang baik dalam perlawanan ini. Dia telah hilang bola berberapa kali dan membuat hantaran-hantaran yang kurang tepat. Hanya 19 daripada 29 hantarannya (66%) menemui rakan sepasukan.

Tetapi juga, memang secara keseluruhan, kawalan bola Liverpool terutama di bahagian tengah kurang baik dalam perlawanan ini. Liverpool membuat 389 hantaran dengan 76% ketepatan - 139 hantaran kurang berbanding Southampton (528 hantaran, 82% tepat). Gerrard, Henderson, dan Allen masing-masing membuat hantaran dengan 76%, 78%, dan 81% ketepatan. Satu statistik yang ganjil, terutama bagi Allen, yang biasanya membuat hantaran lebih daripada 85% ketepatan dalam setiap perlawanan.

Penampilan ke-100 liga Suarez bersama Liverpool.

Namun, penguasaan bola Southampton tidak dapat menutup kekurangan mereka di bahagian pertahanan. Banyak ruang kosong ditinggalkan pertahanan mereka kerana bermain dengan high-line di bahagian belakang. Walaupun gandingan Fonte dan Lovre beraksi cemerlang untuk pasukan mereka musim ini, Suarez dan Sturridge lebih bijak mengeksploitasikan perangkap offside yang dibuat mereka. Banyak larian-larian dan serangan balas yang dilakukan Liverpool, terutama melibatkan dua penyerang tersebut, hampir menghasilkan gol. Sekali lagi, ia banyak berlaku pada separuh masa kedua apabila Liverpool berjaya mengawal serangan Southampton di kawasan sendiri.

Prestasi dan semangat Suarez yang sukar dikawal juga membantu Liverpool untuk mencipta peluang-peluang baik. Suarez mengejar setiap loose ball dan hantaran jauh daripada rakan sepasukan. Begitu juga dengan Sturridge. Mereka berjaya membuat 5 recoveries di kawasan lawan. Pada masa yang sama, pertahanan Southampton juga terpaksa memberi perhatian kepada pergerakkan Sturridge dan Sterling. Henderson dan Allen turut menyertai serangan apabila perlu. Satu serangan yang melibatkan Suarez, Sturridge, Allen, dan Henderson hampir membuahkan hasil. Allen membuat lay-off kepada Henderson dalam kotak penalti lawan tetapi rembatan kaki kiri Henderson hanya melayang melepasi gol.

Suarez and Sturridge impressive work-rate.
(Opta - liverpoolfc.tv)

Gerrard menyudahkan penalti pada minit akhir perlawanan sekali gus mengesahkan kemenangan dan 3 mata buat Liverpool. Perlawanan yang asalnya agak sukar dan tricky, berjaya dimenangi Liverpool dengan persembahan yang patut dipuji. Perubahan taktikal, semangat sepasukan, kehebatan individu, dan mungkin sedikit nasib baik, menjadi faktor kemenangan. Kini Liverpool berada di tangga ke-2 liga, 4 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

3 gol, 3 mata, tempat ke-2 liga!
(liverpoolfc.tv)

Minggu depan, Liverpool tidak akan mempunyai perlawanan kerana perlawanan menentang Sunderland telah ditunda (Sunderland terlibat dalam saingan Piala FA). Manchester United menunggu kunjungan Liverpool di Old Trafford, 16 Mac depan. Satu perlawanan yang sangat besar dan penting buat Liverpool. Dengan 10 perlawanan yang tinggal, kejuaraan tidak begitu jauh. Pasukan kita mungkin tidak sekuat Chelsea dan Manchester City, tetapi, siapa tahu? Dare to dream!