Saingan Piala FA Liverpool Berakhir

FA Cup - Pusingan ke-5
Arsenal 2-1 Liverpool
(Chamberlain 16', Podolski 48', Gerrard (pen) 59')
16 Februari 2014. Emirates Stadium


Musim lepas, Liverpool hanya mampu layak ke pusingan ke-4 Piala FA selepas dikejutkan Oldham ditempat lawan. Kali ini, pusingan ke-5 menjadi saingan terakhir buat Liverpool. Bermain di Emirates Stadium, Arsenal menang 2-1 dan berjaya membalas dendam kekalahan 5-1 di Anfield dalam liga berberapa minggu lepas.

Liverpool turun dengan formasi biasa, 4-3-3. Hanya tiga perubahan daripada kesebalasan utama yang menang keatas Arsenal lepas; Jones menggantikan Mignolet di gol, Agger kembali dalam pasukan, dan Allen mengisi tempat Henderson yang terpaksa direhatkan pada awalnya kerana baru sembuh daripada pembedahan pergelangan tangan.

Kesebelasan utama. Formasi 4-3-3

Seperti perlawanan liga menentang Arsenal lepas, Suarez beroperasi di bahagian kanan. Sturridge diletakkan sebagai penyerang utama supaya kepantasannya dapat dieksploitasikan. Taktikal ini terbukti menjadi. Sturridge mendapat dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol pendahuluan pada awal permainan. Malangnya, walaupun sudahpun berada dalam posisi 1 lawan 1 dengan Fabianski, dia gagal menyempurnakan kedua-dua peluang tersebut. Dua peluang yang dibazirkan ini ternyata memakan diri kerana Arsenal berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan melalu Oxlade-Chamberlain.


Sterling menunjukkan persembahan mengagumkan.
(liverpoolfc.tv)

Yang menariknya, perlawanan ini seolah-olah terbalik daripada apa yang berlaku ketika Liverpool menang 5-1 di Anfield. Liverpool lebih banyak menguasai perlawanan tetapi dihukum melalui serangan-balas Arsenal. Begitulah yang berlaku di separuh masa kedua apabila Arsenal menambah jaringan hasil serangan-balas yang pantas dan disudahkan Podolski. 2-0 pada minit ke-48.

Liverpool tidak mahu mengaku kalah dan terus mengasak kubu Arsenal. Pegangan bola dikuasai Liverpool sepanjang separuh masa kedua. Liverpool juga mencipta banyak peluang. Namun semuanya seolah-olah serba tidak menjadi. Percubaan-percubaan Liverpool gagal menghasilkan gol sehinggalah Suarez memenangi penalti apabila Podolski mengkasarinya. Gerrard seperti biasa tenang menyudahkan sepakan penalti tersebut. Liverpool membuat 15 percubaan dan 7 daripadanya tepat ke gol. Sementara 57% penguasaan bola dimiliki Liverpool dengan 82.5% hantaran ialah hantaran tepat.

Gerrard + sepakan penalti = gol. (liverpoolfc.tv)

Kontroversi tercetus apabila pengadil perlawanan, Howard Webb (siapa lagi?), tidak memberikan sepakan penalti apabila Suarez dengan jelas dihalang (dilanggar) Chamberlain dalam kotak penalti. Webb memandang tepat kearah insiden tetapi langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Satu keputusan yang sangat-sangat mengejutkan. Kes ini hampir serupa ketika Suarez jelas dijatuhkan Eto'o ketika Liverpool menentang Chelsea bulan Disember yang lepas. Cara pengadilan Webb yang tidak konsisten sepanjang perlawanan turut mengundang kemarahan Liverpool. Ada kesalahan-kesalahan yang diberikan sepakan percuma, ada yang tidak. Flanagan juga dikenakan kad kuning setelah melakukan kekasaran pertama tetapi Podolski yang melakukan lebih daripada 3 kesalahan langsung tidak diberikan sebarang kad. Malah, satu daripada kesalahannya boleh dikatakan sangat kasar. Arsenal juga mungkin berasa sedikit tidak puas hati kerana Gerrard tidak diberikan kad kuning kedua apabila membuat bentesan lambat lewat perlawanan. Tetapi jika kesalahan yang jelas dalam kotak penalti tidak diberikan sepakan penalti, tidak menjadi kejutan pengadil tidak melayangkan kad kuning untuk insiden itu. Webb sentiasa menimbulkan kontroversi apabila Liverpool bermain dalam perlawanan-perlawanan besar. Sukar dipercayai dia adalah pengadil terbaik di Liga Inggeris dan mewakili pengadil dari England untuk World Cup akan datang.

Apa yang positif boleh diambil daripada perlawanan ini ialah komitmen, karakter, dan kesungguhan pemain. Liverpool ternyata tidak mudah mengaku kalah dan terus berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya keputusan seri. Manakala persembahan individu Gerrard dan Sterling sangat bagus. Malangnya, ia bukanlah hari Liverpool. Walaupun mencipta banyak peluang dan menguasai perlawanan, keputusan tidak berpihak kepada Liverpool.

Statistik perlawanan. (BBC Sport)

Namun, yang pastinya penyokong, pemain-pemain, jurulatih, dan semua yang terlibat dengan Liverpool pasti tidak terlalu kecewa. Malah, ia perlu menjadi titik tolak untuk keseluruhan pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada liga. Tinggal 12 lagi perlawanan musim ini. Setiap perlawanan dan mata sangat penting. Top 4 tidak begitu jauh dan kejuaraan liga masih dalam pandangan Liverpool.