Barclays Premier League - Perlawanan ke-26
Fulham 2-3 Liverpool
Toure (o.g) 7', Sturridge 40', Richardson 62', Coutinho 71', Gerrard 90'
12 Februari 2014. Craven Cottage
Penyokong Liverpool pasti sudah masak dengan situasi dimana prestasi pasukan biasanya menurun selepas memenangi perlawanan 'sukar'. Contohnya, Liverpool tidak memenangi perlawanan yang boleh dikatakan agak mudah seperti Swansea, Aston Villa, & West Brom selepas mendapat momentum dan keyakinan memenangi perlawanan sebelumnya; Man Utd, Stoke City, & Everton. Bukan sahaja dalam musim ini, malah musim-musim sebelumnya. Perkara ini seolah-olah satu tabiat Liverpool sehingga sesetengah penyokong menggelarkannya "typical Liverpool".
Sabtu lepas, Liverpool membelasah Arsenal 5 gol berbalas 1. Perlawanan seterusnya Liverpool bertandang ke Craven Cottage menentang Fulham. Fulham menduduki tempat terbawah liga tetapi telah mendapat keyakinan dan suntikan moral selepas mereka berjaya mendapat keputusan seri menentang Man Utd di Old Trafford. Rodgers sedar bahawa Liverpool tidak boleh lagi membazir mata jika mahu lebih selesa mengejar tempat ke-4 liga. Mentaliti dan motivasi pemain juga perlulah selari dengan pengurus mereka. Perlawanan ini telah membuktikan Liverpool benar-benar berazam tinggi untuk kembali ke kancah liga elit Eropah musim depan. Jaringan minit akhir ketua pasukan, Gerrard, memberi kemenangan 2-3 kepada Liverpool.
Liverpool menurunkan pemain dan formasi yang sama seperti berberapa perlawanan sebelum ini. Kali ini, Liverpool menjadi pasukan yang mendominasi perlawanan berbanding seperti taktikal menentang Arsenal dan Everton.
![]() |
| Kesebelasan utama: Formasi 4-3-3. |
Tumpuan sebelum perlawanan sudah semestinya berapakah banyak gol yang Liverpool bakal jaringkan. Ini kerana, Liverpool telah menjaringkan 63 gol (ke-2 terbaik liga) dan Fulham telah dibolosi 55 gol (paling banyak dalam liga). Tambahan lagi, barisan serangan Liverpool berada dalam prestasi terbaik. Sturridge telah menjaringkan gol untuk 6 perlawanan berturut-turut. Suarez dan Sterling pula memukau dengan gaya permainan yang sukar dikawal pertahanan. Coutinho dan Henderson tampak yakin menguasai tengah padang sambil dibantu Gerrard yang telah menghasilkan 8 assists. Kesemua statistik ini adalah sebelum perlawanan bermula. Fulham hanya berbekalkan semangat yang diperoleh daripada perlawanan sebelumnya.
Namun, ketika bahagian serangan Liverpool bebas menguasai permainan, bahagian pertahanan sekali lagi menunjukkan prestasi 'yo-yo' mereka. Dalam kes ini, Toure dan Skrtel patut dipersalahkan. Kedua-dua pertahanan tengah ini bukanlah pemain yang teruk. Cuma, sekali sekala mereka melakukan kesalahan individu yang membawa padah kepada pasukan.
Awal-awal lagi Toure dengan tidak sengaja telah menjaringkan gol sendiri. Bukan gol sendiri itu sahaja yang menjadi masalah, corak pertahanannya bersama Skrtel juga tidak tersusun. Skrtel kelihatan berdiri berberapa meter jauh dari Toure dan ini mengakibatkan banyak ruang kosong untuk pemain Fulham membuat larian. Bagaimana percubaan Toure membuat clearance menghasilkan gol sendiri tidak perlu dianalisis. Kadang-kadang, kesalahan seperti ini memang berlaku dan kita hanya mampu tergamam. Tetapi juga, seorang pertahanan yang berpengalaman seperti Toure sepatutnya lebih tenang dalam keadaan sebegitu, seperti juga kesalahan yang dilakukannya menentang West Brom berberapa minggu lepas.
![]() |
| Gol pertama Fulham. Jarak Skrtel dan Toure terlalu jauh membuka ruang. Sementara Gerrard tidak menyedari pemain lawan membuat larian. |
| Toure tersepak bola ke gol sendiri. (liverpoolfc.tv) |
Gol kedua Fulham pula terhasil pada separuh masa kedua selepas Sturridge menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama. Kali ini, Skrtel pula gagal bertahan dengan kemas. Percubaannya untuk menghalang hantaran lintang pemain Fulham hanya mampu menghadiahkan peluang kepada Richardson untuk menjaringkan gol kedua Fulham. Dalam situasi ini, Skrtel sepatutnya membuat halangan dengan lebih baik, mungkin dengan menggunakan kaki kiri. Skrtel tidak patut melakukan kesalahan sebegitu memandangkan Liverpool benar-benar bergantung kepadanya oleh keranan krisis kecederaan dibarisan pertahanan. Musim ini, Skrtel hanya terlepas 2 daripada 26 perlawanan. Ternyata, dia adalah tonggak utama pasukan dan prestasinya secara keseluruhan sangat memuaskan. Menurut statistik, dia adalah pemain ke-4 terbaik untuk Liverpool musim ini dengan 7.48 per 10 mata purata. Cuma dia perlu mengelakkan daripada melakukan kesalahan-kesalahan individu seperti yang berlaku dalam perlawanan ini.
Kepincangan barisan belakang menyebabkan barisan hadapan terpaksa bekerja lebih keras mencari gol penyamaan. Gol kemenangan pula 'dihadiahkan' pertahanan Fulham yang memberikan sepakkan penalti di masa tambahan perlawanan. Tetapi, Liverpool memang layak memenangi perlawanan ini kerana telah mendominasi keseluruhan perlawanan. Liverpool mempunyai posesi bola sebanyak 68.9% dan berjaya membuat sebanyak 573 hantaran - 399 lebih berbanding Fulham. Ketika menyerang, Liverpool membuat 277 hantaran dan 21 percubaan. Memang tidak dapat dinafikan kekuatan serangan Liverpool, yang telah mencipta 16 peluang, manakala Fulham hanya 5.
![]() |
| Liverpool (putih) kuasi permainan. (fourfourtwo.com) |
![]() |
| Peluang dicipta Liverpool - 16 (fourfourtwo.com) |
Gol Sturridge membuktikan visi Gerrard dalam membuat hantaran dan mencipta peluang. Mungkin ramai penonton bola sepak di luar sana termasuk penyokong Liverpool sendiri telah mengetepikan kebolehan Gerrard dalam pasukan. Pada awal musim, persembahan Gerrard kurang memuaskan walaupun berjaya mencipta berberapa gol. Dia kelihatan sedikit lemah dan 'unreliable' di bahagian tengah. Ketika Henderson, Allen, dan Lucas bergabung untuk berberapa perlawanan di bulan Disember, kemantapan bahagian tengah teserlah. Trio ini menampilkan permainan yang kemas, pantas, dan meyakinkan, terutama ketika menentang Tottenham dan Man City. Namun, ternyata pengaruh dan kepimpinan Gerrard sangat diperlukan. Dia masih lagi boleh membuat hantaran-hantaran yang cantik dan lebih tenang mengawal tempo permainan di belakang dua lagi pemain tengah Liverpool. Hantaran cantiknya kepada Sturridge untuk gol penyamaan pertama Liverpool mengingatkan kita kepada Gerrard pada zaman kegemilangannya. Dalam perlawanan ini juga, Rodgers dilihat memberi sedikit kebebasan untuk membuat berberapa larian ke hadapan. Pengalaman yang luas yang ada pada Gerrard memudahkannya menyempurnakan sepakan penalti di minit akhir perlawanan. Gaya Gerrard meraikan gol menunjukkan betapa setiap kemenangan sangat bermakna buat dirinya dan Liverpool. Bilakah kali terakhir Gerrard meraikan gol dengan menanggalkan bajunya? Final Piala Liga 2003? Menentang Charlton Athletic di Anfield hujung musim 2002/2003? Jelas keazamannya mahu Liverpool yang disayanginya menamatkan saingan sekurang-kuranya tempat ke-4.
Dalam analisis-analisis perlawanan yang lepas, telah dinyatakan bahawa penyudah Coutinho masih lagi perlu diperbaiki. Ini kerana untuk menjadi seorang playmaker yang digeruni, bukan sahaja hantaran-hantaran kreatif diperlukan. Malah, kebolehan menjaringkan gol apabila peluang terhidang juga sangat penting. Setakat ini, Coutinho hanya baru menjaringkan 3 gol termasuk dalam perlawanan ini. Tetapi pujian tetap diberikan kepadanya. Dia bijak mengawal bola dan mencari ruang sebelum membuat percubaan rendah dan tepat ke gawang Fulham dari luar kotak penalti. Dia juga menggunakan kaki kirinya! Gol yang sangat penting ketika Liverpool ketinggalan 1-2 di minit ke-71.
| Semangat! Gerrard gembira Liverpool membawa pulang 3 mata. (liverpoolfc.tv) |
Rodgers juga pasti gembira dengan kekuatan barisan serangan Liverpool yang kini telah menjaringkan 66 gol daripada 26 perlawanan liga. Liverpool juga membuat percubaan tepat terbanyak dengan purata 6.8 percubaan tepat setiap perlawanan. Kekreatifan pemain juga terbukti dengan Liverpool membuat purata 5 through-balls setiap perlawanan. Tambahan lagi, Liverpool mendahului carta dengan menjaringkan gol melalui counter-attack (6), set-piece (17), dan sepakan penalti (5). Melalui open-play, Liverpool telah menjaringkan 35 gol, tempat ke-3 liga di belakang Man City dan Arsenal. Manakala baki 3 gol lagi ialah gol sendiri oleh pemain lawan. Suarez dan Sturridge pula mendahului carta penjaring terbanyak dengan 23 dan 16 gol masing-masing. Sementara Gerrard berkongsi kedudukan bersama Rooney dengan assists terbanyak liga - 9.
Apa yang penting bukan prestasi pasukan semata-mata. Mentaliti dan kesungguhan pemain juga sangat diperlukan supaya Liverpool terus memberi tekanan kepada 3 pasukan di atas selain menjauhkan diri daripada 2 pasukan di bawah. Yang membanggakan, keseluruhan pasukan nampak bersatu dan mempunyai matlamat jelas. Lihat sahaja cara pemain-pemain meraikan gol. Rodgers, jurulatih-jurulatih, pemain simpanan, dan juga staff-staff Liverpool turut menunjukkan keghairahan yang sama setiap kali Liverpool menjaringkan gol. Jika Liverpool dapat mengekalkan semua perkara positif ini, tempat ke-4 liga bakal menjadi milik The Reds! Malah, mungkin juga, mungkin, kejuaraan liga tidak jauh daripada genggaman Liverpool. Bak kata Rodgers sendiri selepas perlawanan - "Liverpool ibarat chihuahua yang mengejar kuda-kuda besar di celah-celah kaki mereka". Siapa tahu, mungkin chihuahua yang kecil lebih bijak melepasi halangan dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama?
Sumber statistik: Opta, FourFourTwo, WhoScored, Soccerbase, dan TransferMarkt.
Sumber gambar: Liverpoolfc.tv





