Pendahulu Liga Dibelasah

Barclays Premier League - Perlawanan ke-25
Liverpool 5-1 Arsenal

Skrtel 1', Skrtel 10', Sterling 16', Sturridge 20', Sterling 52', Arteta 69'
8 Februari 2014. Anfield

Menakjubkan dan mengagumkan! Dua kata sifat yang dapat menterjemahkan persembahan Liverpool ketika membelasah Arsenal 5-1 di Anfield, Sabtu lepas. Sebelum perlawanan, Liverpool berada di kedudukan ke-4 manakala Arsenal mendahului liga dengan 55 mata, 8 mata di hadapan Liverpool.

Liverpool menggunakan formasi dan kesebelasan utama yang sama untuk 3 perlawanan berturut-turut. Kombinasi Gerrard, Henderson, dan Coutinho terus diberi kepercayaan oleh Rodgers walaupun mempunyai pilihan untuk menurunkan Allen yang sudah cergas untuk perlawanan ini. Di bahagian serangan, Suarez kali ini beroperasi di sayap kanan dan tidak bertukar-tukar posisi dengan Sturridge yang bermain sebagai penyerang utama. Satu percaturan taktikal oleh Rodgers memastikan serangan-serangan Arsenal dapat dijinakkan. Corak permainan dan mentaliti pasukan adalah sama dengan yang diterapkan ketika Merseyside Derby di Anfield hujung bulan lepas.

Kesebelasan utama. Formasi 4-3-3.

Terdapat berberapa perkara penting yang menjadi kunci kemenangan besar Liverpool keatas pasukan dari London ini.

1. Gol awal.
Musim ini, Liverpool banyak menjaringkan gol pembukaan berbanding sebelumnya - 19 daripada 25 perlawanan liga setakat ini. 15 daripada 19 perlawanan tersebut pula dimenangi oleh Liverpool (termasuk perlawanan ini). Tambahan lagi, 25% daripada 63 gol yang dijaringkan setakat ini telah dijaringkan dalam 20 minit yang pertama. Ini membuktikan Liverpool mengambil peluang daripada gol pendahuluan tersebut. Malah, 4 perlawanan daripada 19 perlawanan tersebut dimana Liverpool tidak memperoleh kemenangan ialah menentang Everton (seri), Chelsea (kalah), Man City (kalah), dan West Brom (seri). Keempat-empat perlawanan tersebut dimainkan di tempat lawan. Ini juga menunjukkan bahawa Liverpool biasanya akan mendominasi perlawanan setelah mendapat gol awal. Contoh terbaik ialah menentang kelab bawahan seperti Crystal Palace, West Ham, Norwich, Cardiff City, dan West Brom (di Anfield). Juga, gol awal penting sebagai momentum sepanjang perlawanan ketika perlawanan besar seperti kemenangan keatas Everton, Man Utd, dan Tottenham Hotspur.
Jadi, dapat dilihat betapa pentingnya untuk Liverpool memulakan perlawanan dengan langkah kanan, dan perkara ini jugalah yang berlaku dalam perlawanan menentang Arsenal ini. Skrtel menjaringkan 2 gol melalui tandukan hasil 2 set-pieces - sepakan percuma dari sebelah kiri dan sepakan sudut. Kualiti hantaran Gerrard memang tidak boleh disangkal, terutama untuk gol pertama. Hampir kesemua 9 assists Gerrard setakat ini ialah melalui hantaran set-pieces. Tandukkan Skrtel untuk gol kedua tidak kurang juga hebatnya. Gol tandukkan yang bijak seperti yang dijaringkan Suarez menentang West Brom dan Hyppia menentang Juventus pada musim 2004/2005.

Gol-gol awal tersebut memberi impak besar kepada seluruh momentum perlawanan dan mentaliti pemain-pemain. Sementara Arsenal tampak terkejut dengan jaringan awal tersebut, Liverpool terus mengasak tanpa henti ke kubu Arsenal. Hasilnya, 4 gol telah dijaringkan dalam masa 20 minit! Bukan itu sahaja, banyak percubaan telah dicipta dalam masa yang singkat ini. Sturridge dan Toure masing-masing terlepas peluang untuk menjaringkan gol ketika kedudukan masih 2-0. Paling menarik, half-volley dari luar kotak penalti oleh Suarez yang menggegar tiang - mungkin gol terbaik musim ini jika bola membolosi gawang Szczesny (terpaksa diperiksa berberapa kali mengeja namanya!).

2 gol awal Skrtel kejutkan Arsenal. (liverpoolfc.tv)

2. Serangan pantas.
Pada temuramah pertama Rodgers selepas dilantik menjadi pengurus Liverpool, Jun 2012 yang lepas, dia menyatakan bahawa falsafah bola sepaknya ialah gabungan diantara gaya permainan British dan Eropah. Juga, gaya permainan menyerang dan kreatif disamping displin taktikal yang tinggi ialah corak bola sepak yang dipercayainya. Musim ini membuktikan bahawa idea Rodgers ini telah berjaya diterapkan dalam pasukan. Walaupun masih belum sempurna, ia telah menjadi kunci kehebatan Liverpool setakat ini. Buktinya jelas pada kemenangan besar menentang kelab kuat seperti Tottenham, Everton, dan Arsenal ini. Ia juga dapat dilihat dalam perlawanan yang didominasi Liverpool, terutama di tempat sendiri. Malah, ketika tewas kepada Man City, Liverpool tetap mempamerkan permainan bola sepak yang mantap dan jelas mentafsirkan idea taktikal Rodgers seperti yang disebut.

Setelah mendapat gol awal, Liverpool terus menyerang barisan pertahanan Arsenal tanpa henti. Liverpool berjaya membuat 10 percubaan, 6 daripadanya tepat kearah gol, dan 4 gol terhasil. Manakala Arsenal hanya membuat 1 percubaan - oleh Giroud, yang merembat bola liar ke arah bendera sepakan sudut gol Liverpool. Serangan balas pantas Liverpool berjaya membuahkan 2 gol. Masing-masing melalui Sterling dan Sturridge. Ini bermakna, Sturridge telah menjaringkan untuk 6 perlawanan liga berturut-turut buat pertama kali dalam kariernya. Gol ini juga adalah gol ke-15 liganya musim ini - berkongsi bilangan gol dengan Aguero di tempat kedua penjaring terbanyak liga. Corak serang balas pantas yang digabungkan dengan one-touch football dipamerkan Liverpool memukau penonton.

Sterling menjaringkan gol hasil serangan balas
yang cantik. (liverpoolfc.tv)

3. Tekanan di kawasan lawan.
Antara ciri-ciri corak bola sepak Rodgers ialah tekanan (pressing) kepada pihak lawan yang konsisten sepanjang perlawanan. Begitulah juga apa yang telah dilakukan pemain sehinggakan tidak banyak masa untuk pemain Arsenal merancang perlawanan. Walaupun secara keseluruhan Arsenal menguasai perlawanan, tetapi disebabkan tekanan yang berterusan, pergerakkan mereka terbatas.

Arsenal hanya berjaya mencipta 6 peluang dimana 4 daripadanya di luar kotak penalti. Liverpool pula mencipta 13 peluang dan 2 daripadanya menghasilkan gol. Pemain-pemain Arsenal juga tidak mendapat ruang dan sukar untuk membuat larian-larian. Hampir semua percubaan gelecekkan (take-ons/dribbles) untuk melepasi pemain Liverpool di kawasan attacking-third berjaya di patahkan. Pada masa yang sama, Liverpool membuat 35 bentesan berbanding Arsenal dengan 16 bentesan, menandakan kecekalan Liverpool menghalang pergerakkan pemain Arsenal. Seperti yang dapat dilihat, tekanan-tekanan ini memaksa Arsenal kehilangan bola 2 kali dan Liverpool pantas mengambil peluang melalui serangan balas untuk gol ketiga dan keempat.

Ketika bertahan juga, Liverpool lebih yakin dan tersusun. Toure dan Skrtel telah bermain dengan baik. Setiap kali pemain-pemain Arsenal mendapat bola di kawasan bahaya (attacking-third), sekurang-kurangnya dua pemain Liverpool pantas merapati mereka.

Arsenal take-ons. (fourfourtwo.com)
Peluang dicipta Liverpool - 13. (fourfourtwo.com)
Peluang dicipta Arsenal - 6. (fourfourtwo.com)

4. Taktikal menjadi.
Dalam perlawanan ini, Liverpool bermain dengan intensiti yang tinggi sejak dari awal permainan. 4 gol berjaya dijaringkan. Ini memberi ruang untuk Liverpool bertahan sedikit dalam, membiarkan Arsenal menguasai posesi, dan terus membuat serangan balas sebaik sahaja mendapat bola. Ada juga masanya, Liverpool yang mengawal pegangan bola, tetapi tidak begitu lama. Taktikal ini sudah semestinya dirancang Rodgers kerana sedar akan kebolehan Arsenal mengawal tempo permainan.

Suarez pula kali ini kekal di sayap kanan sehinggalah Sturridge dikeluarkan. Menurut Rodgers selepas perlawanan, Sturridge diletakkan sebagai penyerang utama kerana dia mahu mengeksploitasikan kepantasan Sturridge. Ternyata ia membuahkan hasil. Coutinho yang bermain sebagai attacking-midfielder merancang permainan dengan sangat bagus. Dia berjaya membuat 5 hantaran penting termasuk satu assist untuk gol Sturridge yang pantas berlari melepasi pertahanan Arsenal.

Pemain terbaik perlawanan, Sterling beroperasi di sayap kiri. Ini supaya dia dapat membantu Cissokho dan Coutinho ketika Arsenal menyerang. Dia melepasi pemain lawan 3 kali dan membuat 5 percubaan tepat (2 gol dijaringkan). Bagi seorang pemain yang baru berumur 19 tahun, permainannya memang mengkagumkan. Dia berani untuk cuba menggelecek, pantas, dan rajin. Tidak mustahil untuk dia terpilih ke Piala Dunia 2014 bersama skuad England jika dapat mengekalkan prestasinya yang hebat sejak Disember yang lepas.

Di bahagian tengah pula, Liverpool tampak kompak dan sukar ditembusi. Henderson dan Gerrard tidak henti-henti memberi tekanan kepada pemain tengah Arsenal. Coutinho yang biasanya kurang berkesan ketika bertahan menjalankan tugas yang baik. Dia cukup agresif mengawal pergerakkan Wilshere yang cuba merancang permainan dari tengah padang. Grafik posisi purata pemain jelas menunjukkan permainan tertumpu di bahagian tengah. Tetapi ruang-ruang yang ditinggalkan barisan pertahanan Arsenal berjaya dipergunakan sepenuhnya barisan serangan Liverpool melalui serangan pantas dan direct.

Posisi purata pemain. (opta)

Bek kiri dan kanan Liverpool pula tenang mengawal serangan Arsenal dari bahagian sayap. Cissokho dan Flanagan bermain dengan bagus dan tidak cuba merumitkan keadaan. Percaya atau tidak, kedua-dua mereka hampir menjaringkan gol dalam perlawanan ini.

Mungkin ada analisis yang menyatakan bahawa kemenangan Liverpool ini dibantu dengan persembahan buruk Arsenal. Tetapi, statistik tidak menafikan kehebatan Liverpool. 22 percubaan dilakukan Liverpool manakala Arsenal hanya 11. Menariknya, hanya Gerrard dan Mignolet sahaja yang tidak membuat sebarang percubaan bagi Liverpool. Ketiadaan Flamini memang terasa buat Arsenal kerana tiada anchorman sebenar untuk melindungi barisan pertahanan. Arteta hanya mampu 'dibuli' Coutinho sepanjang perlawanan. Kecederaan bukanlah alasan juga. Ini kerana Liverpool bermain tanpa empat pertahan utama; Agger, Sakho, Johnson, dan Enrique. Lucas juga tidak dapat diturunkan kerana kecederaan. Kedua-dua pasukan seimbang dari segi kekuatan pemain.

Statistik perlawanan. (fourfourtwo.com)

Betul, gol-gol awal ternyata telah menghancurkan semangat pemain Arsenal. Namun, ini disebabkan kesungguhan dan kebolehan Liverpool mengasak mereka dari minit pertama perlawanan. Malah, ketika Arsenal mengawal bola, corak permainan mereka mudah dipatahkan. Tiada peluang bahaya langsung daripada Arsenal sepanjang perlawanan dan juga hanya 1 percubaan kearah gol pada separuh masa pertama merumuskan segala-galanya. Perlu diingatkan, Arsenal ialah pendahulu liga. Cuma Liverpool yang mempamerkan persembahan sangat bagus disamping lebih baik daripada Arsenal dari pelbagai aspek dalam perlawanan ini.

Kini, Liverpool hanya 6 mata di belakang pendahulu liga yang baru, Chelsea. Tetapi, Tottenham masih lagi rapat di bawah Liverpool di tangga ke-5. Jadi, setiap perlawanan sangatlah penting dan setiap mata terbuang pasti sangat merugikan. Tugas yang sukar Liverpool selepas ini ialah membuktikan kekuatan pasukan dengan memenagi perlawanan di tempat lawan menentang pasukan tempat terakhir liga, Fulham. Biasanya, ia akan menjadi perlawanan sukar. Harap-harapnya, episod seperti menentang Aston Villa, dan West Brom tidak berulang lagi.