Barclays Premier League - Perlawanan ke-34
Liverpool 3-2 Man City
Sterling 6', Skrtel 26', Silva 57', Johnson (o.g) 62', Coutinho 78'
13 April 2014. Anfield
Sejak kali terakhir Liverpool menjuarai liga Inggeris pada tahun 1990, tidak pernah sekali pun Liverpool berada di puncak liga tatkala musim bakal berakhir. Mungkin musim 1990-1991, 2001-2002, dan 2008-2009 adalah tiga musim dimana Liverpool paling hampir menggapai kejuaraan. Musim ini menjadi musim yang menakjubkan. Liverpool berada di tempat pertama liga ketika musim hanya berbaki 5 perlawanan. Perlawanan menentang Manchester City di Anfield ini menjadi perlawanan yang sangat besar dan penting buat Liverpool. Man City dan Chelsea mengejar rapat Liverpool yang kini mempunyai peluang terbaik untuk menjuarai liga setelah sekian lama.
Brendan Rodgers telah memilih untuk mengekalkan skuad yang sama ketika menang keatas West Ham minggu lepas. Formasi 4-4-2 diamond juga turut dikekalkan dan tugas setiap pemain lebih teratur berbanding perlawanan lepas. Raheem Sterling bermain di 'bucu' diamond Liverpool dan Philippe Coutinho beroperasi di sebelah kanan tengah.
![]() |
| Kesebelasan utama. Formasi 4-4-2 diamond. |
Formasi yang bersifat menyerang dan positif ini menggambarkan mentaliti pasukan yang mahukan kemenangan dan tidak gentar kepada Man City. Jelas dengan memainkan Sterling dan Coutinho, dan tidak menggunakan khidmat Joe Allen atau Lucas Leiva, Rodgers mahu Liverpool bersifat lebih pro-aktif dengan membuat asakkan berbanding menunggu Man City mengawal permainan.
Strategi itu ternyata membuahkan hasil. Liverpool memulakan permainan dengan baik dan menghasilkan gol awal. Sterling berjaya memperdaya Vincent Kompany dan Joe Hart untuk gol pertama seawal minit ke-6. Ketenangan yang sangat hebat oleh pemain yang hanya berumur 19 tahun. Pujian juga perlu diberikan kepada Luis Suarez yang mengawal bola dengan baik sebelum membuat through ball tepat ke arah larian Sterling. Suarez melawan asakkan dua pemain Man City dan memastikan bola tidak dirampas mereka. Tidak banyak penyerang yang benar-benar berkebolehan dan bijak melakukan perkara sebegitu.
Sebab utama Sterling dimainkan di posisi tersebut ialah untuk mengeksploitasikan ruang-ruang di antara pemain tengah dan pertahanan Man City. Juga, Sterling diberi kebebasan utnuk membuat larian-larian dan pergerakkan di kawasan serangan (attacking-third). Kepantasan yang dimilikinya banyak menimbulkan masalah kepada pertahanan Man City. Gol yang dijaringkannya juga hasil daripada larian pantasnya terus melepasi perangkap offside.
| Sterling meletakkan Liverpool di hadapan. (theguardian.com/Tom Jenkins) |
![]() |
| Strategi sepakan sudut menghasilkan gol kedua. Sebelum sepakan diambil. Arah larian Coutinho (kuning) & arah larian Skrtel (merah). (Tekan pada gambar untuk besarkan) |
![]() |
| Selepas sepakan diambil. Skrtel di hadapan untuk menanduk bola (bulatan merah). Kompany dihalang rakan sepasukan sendiri (bulatan kuning). |
Hanya dua kali sahaja Man City benar-benar mengancam gol Liverpool. Satu melalui serangan balas dari sebelah kanan. David Silva hanya mampu menanduk sipi melepasi gol Liverpool. Fernandinho juga turut mempunyai peluang keemasan untuk merapatkan jurang apabila menerima hantaran Jesus Navas. Namun percubannya berjaya ditepis hebat oleh Simon Mignolet. Glen Johnson patut dipersalahkan kerana leka (ball watching) tidak membuat asakkan ketika bola menghala ke arah Fernandinho. Liverpool juga turut terlepas daripada dihukum tetapi berjaya mengeluarkan bola dua kali betul-betul di hadapan gol oleh Sterling dan Johnson. Walaupun Liverpool dilihat seperti bakal memperoleh 3 mata penuh di separuh masa pertama, persembahan Man City selepas rehat ternyata hampir menggugat prospek tersebut.
| Tandukkan cantik Skrtel menerjah jaring. (theguardian.com/Tom Jenkins) |
Man City memasukkan James Milner menggantikan Navas di separuh masa kedua dan dia serta merta mengubah rentak permainan. Pada masa yang sama, pengurus Man City, Manuel Pelligrini memastikan pasukannya lebih bersemangat dan agresif ketika menyerang. Silva yang kurang mengancam di separuh masa pertama mempamerkan persembahan yang sangat baik selepas rehat. Dia lebih kerap bermain di kawasan kotak penalti menjadi penghubung kepada rakan sepasukannya. Milner pula ditugaskan untuk membuat larian-larian ke dalam kotak penalti di sebelah kanan, berbeza dengan Navas dimana sumbangannya terhad di sayap kanan pada separuh masa pertama.
![]() |
| Hantaran lintang dilakukan Milner - tidak termasuk 1 assist. |
Perubahan taktikal dan mentaliti Man City ini mengkucar-kacirkan pertahanan Liverpool. Liverpool dilihat sukar mengawal serangan lawan dan seolah-olah 'runtuh' (collapse) diasak Man City. Mungkin lebih baik jika kita melihat perubahan rentak permainan ini dari sudut pasukan lawan. Pellegrini mempamerkan kebijaksanaanya dalam taktikal kerana ternyata ia adalah satu perubahan yang mengubah permainan serta merta. Man City lebih laju dan kemas bermain di kawasan Liverpool. Milner berjaya membuat banyak larian memasuki kawasan tengah dan kotak penalti Liverpool. Pada masa yang sama dia sentiasa membuka permainan dengan baik di sayap kanan. Dia membuat 7 hantaran lintang (1 sepakan sudut), tidak termasuk hantaran yang berjaya menghasilkan gol. Impak perubahan permainan Silva juga sangat penting. Dia cukup tajam membuat hantaran-hantaran dan bergerak di kawasan kotak penalti. Selain daripada satu gol yang dijaringkannya, dia juga mengakibatkan Johnson tertampan bola ke gol sendiri untuk gol penyamaan Man City pada minit ke-62.
![]() |
| Perbezaan kedudukan Silva beraksi di separuh masa pertama (kiri) dan separuh masa kedua (kanan). |
Gol tersebut mengejutkan penyokong dan pemain Liverpool. Suasana di dalam stadium berubah selepas gol penyamaan Man City. Tidak cukup dengan itu, Man City terus membuat serangan demi serangan ke kubu Liverpool. Mereka mempunyai dua lagi peluang yang sangat baik untuk menambah lagi gol. Ternyata perubahan taktikal ini merobek pertahanan Liverpool yang tidak lagi tersusun seperti di separuh masa pertama. Tetapi, Rodgers tidak duduk diam membiarkan Man City terus mendominasi permainan. Allen dimasukkan pada minit ke-66 menggantikan Sturridge yang mungkin mengalami sedikit kecederaan. Dengan itu, Sterling diletakkan di posisi Sturridge, Coutinho mengambil alih posisi Sterling, dan Allen bermain di bahagian kiri tengah Liverpool. Kemasukkan Allen sedikit sebanyak dapat mengawal pergerakkan pemain lawan. Dia juga dilihat membantu serangan. Dua kali dia berjaya membuat larian ke dalam kotak penalti untuk mencipta peluang. Pemain-pemain Liverpool yang lain juga tidak mudah berputus asa. Walaupun tersentak dengan gol penyamaan Man City, Liverpool terus cuba membuat serangan dan tidak takut untuk menghantar berberapa pemain ke hadapan walaupun berisiko untuk diserang balas - yang berjaya dibuat Man City dan sangat hampir untuk mendahului perlawanan.
Perlawanan ini memang seolah-olah memang milik Liverpool. Dalam masa 3 minit, kita dapat melihat dua nasib berbeza oleh kedua-dua pasukan. Minit ke-75, melalui serangan balas, Sergio Aguero berjaya melepasi bentesan Skrtel di sayap kiri dan membuat hantaran lintan kearah Silva. Perancang Sepanyol itu hanya berberapa saat sahaja lambat untuk menerpa ke arah bola mengakibatkan percubaannya sedikit sahaja tersasar. Harapan Liverpool untuk mendapat 3 mata mungkin lenyap jika bola tersebut menemui jaring. Minit ke-78, kesalahan besar dilakukan Kompany menghadiahkan Liverpool gol yang sangat-sangat penting. Kompany gagal mengeluarkan bola dengan betul dan pantas dihidu Coutinho. Teknik sepakan yang baik tepat olehnya ke arah gol menggegarkan kembali suasana di dalam stadium. Itulah bola sepak. Naik turun yang sukar dijangka. Selepas itu, Liverpool mengharungi 12 minit ditambah dengan 5 minit masa tambahan yang sangat mendebarkan.
| Gol kemenangan oleh Coutinho. (theguardian.com/Tom Jenkins) |
Dalam perlawanan ini, terdapat tiga pemain Liverpool yang menampilkan permainan yang sangat baik. Dua diantaranya ialah pemain muda, Sterling dan Coutinho. Kedua-dua mereka bebas bergerak, berani, yakin, dan berjaya menyumbangkan gol penting. Mereka dilihat gemar dan tidak langsung gementar dalam perlawanan-perlawanan besar, seperti yang dipamerkan ketika menentang Everton, Arsenal, Man Utd, dan Tottenham. Satu perkara yang membanggakan kerana umur mereka belum lagi mencecah 22 tahun (Sterling 19 tahun dan Coutinho 21 tahun).
Seorang lagi pemain Liverpool yang bermain dengan baik ialah sudah tentu kapten pasukan, Gerrard. Bermain di posisi kebiasaannya, dia tenang mengemudi pasukan dari situ. Gerrard banyak membantu ketika bertahan dan sekali-sekala membuat hantaran baik ke hadapan. Dalam perlawanan ini, Gerrard membuat 90% hantaran tepat, 3 bentesan, dan 5 interception. Prestasi yang sangat kemas oleh seorang defensive midfielder. Selain daripada itu, inspirasi Gerrard dalam pasukan tidak boleh dipandang rendah. Dengan adanya Gerrard dalam pasukan, pemain-pemain lain lebih bersemangat sepanjang perlawanan. Lihat sahaja bagaimana dia menaikkan semangat dan memastikan rekan sepasukan terus fokus dalam mengejar kejuaraan selepas tamat perlawanan. Berita baik juga bahawa Gerrard tidak mendapat sebarang kad kuning dalam perlawanan ini. Ini bermakna dia tidak akan digantung perlawanan jika mengutip kad kuning ke-10 dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
![]() |
| Persembahan mantap oleh Gerrard. 90% hantaran tepat, 3 bentesan, dan 5 interception. |
Jika Sterling dan Coutinho tampil memberikan sumbangan berharga dalam perlawanan besar ini, gandingan Suarez dan Sturridge pula agak mengecewakan. Sturridge tidak memberikan persembahan terbaiknya. Kadang-kala juga, dia dilihat agak tamak. Ada satu peluang yang tidak berjaya disudahkan Sturridge selepas Sterling membuat hantaran lintang cantik dari sebelah kanan pada awal-awal permainan. Hari yang kurang menjadi Sturridge berakhir apabila dia mengalami kecederaan dan digantikan dengan Allen. Harap-harapnya kecederaan tersebut tidak begitu serius dan Sturridge dapat mencari kembali rentaknya.
Seorang lagi penyerang utama Liverpool, Suarez juga tidak begitu menjadi. Walapun berjaya membantu menghasilkan satu gol, prestasinya sepanjang perlawanan agak hambar. Suarez banyak merungut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil. Dia sepatutnya lebih fokus kepada permainan. Kita seolah-olah melihat Suarez dari dua musim yang lepas. Sikapnya berubah apabila berdepan pertahanan yang kental seperti Kompany. Suarez lebih banyak mencari sebab untuk jatuh dan mendapat sepakan percuma daripada memberi tumpuan untuk mencipta peluang.
Tidak pasti jika Rodgers memang mengarahkan Suarez dan Sturridge untuk lebih kerap cuba menggelecek pertahanan lawan atau tidak. Kedua-dua penyerang Liverpool ini tidak begitu berkesan dalam hal ini. Dalam 12 percubaan gandingan SAS membuat gelecekkan (take-on), hanya 2 percubaan yang berjaya. Sementara gandingan bek tengah Man City, Kompany dan Martin Demichelis, berjaya mengekang pergerakkan Suarez dan Sturridge. Demichelis terutamanya sering dijadikan bahan ketawa kerana sering melakukan kesalahan. Tetapi ternyata pengalaman luas yang ada digunakan sepenuhnya dalam perlawanan ini. Walaupun 'tewas' sekali kepada Suarez pada awal perlawanan untuk gol pertama Liverpool, dia dapat membaca permainan dengan baik selepas itu. Dia berjaya membuat 4 bentesan sementara Kompany membuat 3 bentesan. Perlu diakui, pertarungan diantara gandinga Suarez-Sturridge dan Kompany-Demichelis telah dimenangi pasangan pertahanan Man City itu.
![]() |
| Percubaan gelecekkan oleh Suarez dan Sturridge (atas) dan bentesan yang berjaya dilakukan Kompany dan Demichelis (bawah). (Tekan pada gambar untuk besarkan) |
Satu lagi perkara yang kita juga patut akui ialah Liverpool mempunyai sedikit tuah dalam perlawanan ini. Tetapi, tidak adil jika mengatakan ini hanya adalah satu 'kemenangan nasib'. Kesungguhan dan keazaman Liverpool tidak boleh diperlekehkan oleh sesiapapun - apatah lagi oleh penyokong pasukan yang berada di tempat ke-7 liga. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang masing-masing untuk memenangi perlawanan. Cuma, mungkin Liverpool yang berjaya mengambil peluang itu sepenuhnya. Man City mungkin merasa sedikit terkilan kerana peluang-peluang di hadapan gol tidak disudahkan, disamping pengadil tidak perasan akan insiden bola yang 'ditumbuk' oleh Skrtel menggunakan tangan pada minit-minit akhir permainan. Tambahan lagi, pasti mereka tidak faham mengapa Suarez tidak diberikan kad kuning kedua kerana dilihat seperti berlakon untuk mendapatkan sepakan percuma. Ulang tayang menunjukkan mungkin kaki Demichelis terkena sedikit kaki Suarez.
Liverpool juga kurang bernasib baik ketika Suarez ditolak Kompany dalam kotak penalti pada separuh masa kedua. Pengadil tidak melihat insiden itu sebagai satu kesalahan sedangkan memang jelas Kompany menggunakan tangannya menghalang pergerakkan Suarez. Malang juga buat Liverpool yang terpaksa membayar harga yang tinggi dalam kemenangan ini. Bentesan lambat Henderson pada masa tambahan mengakibatkannya dilayangkan kad merah. Ini bermakna Liverpool bakal kehilangan Henderson untuk 3 perlawanan seterusnya. Tidak ada sebarang protes oleh rakan sepasukan yang lain kerana memang jelas Henderson lambat membuat bentesan tersebut dan menghulurkan tapak kaki yang sememangnya bahaya. Seperti yang dikatakan, kedua-dua pasukan mempunyai peluang masing-masing. Ia telah menjadi hari gembira buat Liverpool walaupun terpaksa mengorbankan khidmat Henderson di masa akan datang.
| Bentesan lambat Henderson membawa padah. (theguardian.com/Tom Jenkins) |
Secara ringkasnya, Liverpool memenangi perlawanan hasil gol penting Coutinho selepas Man City bangkit daripada ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertamam. Liverpool mempamerkan persembahan yang hebat pada 45 minit pertama - menguasai permainan di tengah padang dan yakin ketika membuat serangan. Man City tampil mendominasi permainan selepas rehat selepas kemasukkan Milner yang ternyata berjaya mengubah permainan, disamping Silva yang turut meningkatkan prestasinya.
Kemenangan ini meletakkan Liverpool 7 mata di hadapan Man City dan 2 mata di hadapan Chelsea. Seperti yang dikatakan pengulas perlawanan, "it's Liverpool's title to lose". Maksudnya, Liverpool ialah pasukan yang berada di kedudukan terbaik untuk memenangi liga. Benar, hanya kesalahan Liverpool sendiri yang akan menyebabkan piala kejuaraan bertukar tangan.
| Suasana selepas perlawanan yang menggambarkan keazaman dan semangat Liverpool mengejar kejuaraan liga. (theguardian.com/Tom Jenkins) |
Tamat perlawanan, Gerrard mengumpul rakan sepasukannya di tengah padang dan meminta mereka kembali fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Norwich City. Seperti yang dikatakannya, Liverpool mesti tidak mensia-siakan peluang untuk memenangi liga yang kini berada dalam genggaman. Air mata Gerrard membuktikan betapa pentingnya dan bermaknanya situasi Liverpool berada sekarang ini. Ditambah lagi dengan kemenangan penting ini diperoleh ketika warga Liverpool mengingati tragedi Hillsborough untuk tahun ke-25. Tidak jauh lagi destinasi Liverpool dan impian dilihat bakal menjadi kenyataan.








