Perlawanan Penentuan

Di awal musim, selepas senarai lengkap kesemua perlawanan Liga Perdana Inggeris dihebahkan, perlawanan Liverpool menentang Chelsea di Anfield hari ini dijangka menjadi penentu samada Liverpool layak ke Liga Juara-juara Eropah musim depan atau tidak. Tiada siapa pun menduga ia akan menjadi perlawanan yang menentukan pasukan manakah yang bakal memenangi kejuaraan liga.

Mengikut perngiraan mata, Liverpool memerlukan 2 kemenangan dan 1 seri dalam 3 perlawanan terakhir untuk menjuarai liga. Tiga perlawanan terakhir berikut ialah menentang Chelsea hari ini, kemudian bertandang ke laman Crystal Palace, dan mengakhiri musim di Anfield bertemu dengan Newcastle United.

Liverpool vs Chelsea. 9.05 p.m Malaysia time. (liverpoolfc - Instagram)

Tetapi, mengapa kemenangan buat Liverpool hari ini boleh mengesahkan status Liverpool sebagai juara liga? Jika kita lihat 3 perlawanan tersebut, cabaran yang sukar semestinya bermain di tempat lawan menentang Crystal Palace. Buat masa ini, mereka mempunyai prestasi yang sangat bagus. Mereka telah memenangi 5 perlawanan terakhir mereka. Tidak lupa juga, mereka berjaya mengalahkan Chelsea di tempat mereka. Bermain di tempat lawan sememangnya menjadi tekanan yang tinggi buat Liverpool. Tambah lagi jika perkataan "wajib menang" bermain-main dalam fikiran pemain.

Memang benar, Chelsea jauh lagi kuat dan lawan yang lebih sukar berbanding Crystal Palace. Tetapi jangan lupa, Liverpool bakal mendapat sokongan padu di Anfield. Pada masa yang sama, Chelsea sedikit 'tempang' tanpa kelibat berberapa pemain utama yang cedera. Jika Eden Hazard dan Samuel Eto'o sudah pulih daripada kecederaan, Jose Mourinho perlu berhati-hati dan mungkin akan merehatkan mereka memandangkan Chelsea akan melayan kunjungan Atletico Madrid untuk separuh akhir Liga Juara-juara berberapa hari kemudian. Jika Liverpool memperolehi 3 mata dalam perlawanan ini, Liverpool mempunyai ruang untuk sebarang kesalahan melawan Crystal Palace dan cukup jika hanya mampu mendapat keputusan seri. Bukanlah kita mahu Liverpool melakukan sebegitu, tetapi sekurang-kurangnya tekanan kepada pemain dapat dikurangkan.

Perlawanan menentang Newcastle United di Anfield nanti lebih mudah dan dijangka akan dimenangi Liverpool dengan selesa. Oleh itu, sangat penting untuk Liverpool mendapat 3 mata hari ini. Senario terbaik? Liverpool memenangi kedua-dua perlawanan melawan Chelsea dan Crystal Palace, dan kemudiannya bermain menentang Newcastle cukup sekadar mendapat keputusan seri. Senario yang ideal pula ialah Liverpool memenangi kesemua baki 3 perlawanan akan datang. Jika tidak, saingan diantara Liverpool, Chelsea, dan Man City ini akan ditentukan di hari terakhir liga dan mungkin juga, ditentukan melalui jumlah perbezaan gol.

'Mondern day football rivalry' diantara Liverpool dan Chelsea yang
dicetus ketika diurus Rafa Benitez dan Jose Mourinho.
(Richard Heathcote/Getty Images Europe)

Daripada sudut taktikal pula, Liverpool mungkin akan menurunkan skuad yang sama seperti menentang Norwich City. Ini juga bergantung kepada tahap kecergasan Daniel Sturridge yang baru sahaja pulih dari kecederaan. Mungkin Sturridge akan diletakkan di baku simpanan terlebih dahulu. Salah satu perkara yang agak merisaukan penyokong Liverpool ialah kekuatan pasukan di bahagian tengah. Khidmat Jordan Henderson masih belum boleh digunakan kerana dia masih digantung perlawanan. Tetapi, Liverpool mempunyai sepanjang minggu untuk menerapkan strategi pasukan tanpa Henderson (match preparation). Liverpool juga mempunyai rekod hebat di Anfield. Hanya tewas sekali musim ini dan mengumpul 46 daripada 51 mata. Apa yang Liverpool perlu lakukan ialah menjaringkan gol awal sebanyak mungkin seperti dalam perlawanan-perlawanan besar sebelum ini. Selepas itu, fokus dan displin tinggi diperlukan supaya 'sindrom separuh masa kedua' yang telah banyak menyulitkan tugas untuk mendapatkan kemenangan musim ini, tidak berulang lagi.

Chelsea bakal tampil tanpa khidmat Petr Cech, John Terry (kedua-dua cedera), dan Ramirez (digantung perlawanan). Tahap kecergasan Hazard dan Eto'o juga masih ragu-ragu. Mereka juga terpaksa melalui perlawanan ini sambil separuh akhir Liga Juara-juara hari Rabu depan masih dalam fikiran mereka. Mourinho seperti biasa cuba menggunakan perang psikologi. Atau mungkin tidak dan sebaliknya memang hanya sekadar menunjukkan perangai sebenarnya di media sebelum perlawanan ini. Dia mengatakan bahawa dia mungkin akan menurunkan pasukan simpanannya sebagai tanda protes kepada FA - atas pelbagai sebab yang menjengkelkan untuk diulas. Pasukan simpanan dan perang psikologi atau tidak, skuad Chelsea masih kuat dan bakal menjadi halangan besar buat Liverpool. Dan jika Liverpool melepasinya, kejuaraan liga dalam genggaman.

Leave a Reply