3 Kemenangan untuk ke Eropah

Liga Juara-juara Eropah (UEFA Champions League) sudahpun memasuki saingan suku-akhir. Dan sudah 4 musim juga Liverpool tidak bertanding di kejuaraan terbesar kelab-kelab Eropah itu. Musim ini menyaksikan kebangkitan Liverpool. Sasaran utama pada awal musim, iaitu layak ke Liga Juara-juara, sudah hampir dicapai. Penyokong sudah mula berfikir tentang penglibatan Liverpool di kejohanan itu musim hadapan. Sudah ada yang berkira-kira pasukan manakah yang bakal menjadi lawan Liverpool di saingan kumpulan mengikut kedudukan (ranking) mereka. Tetapi, adakah tugas Liverpool untuk layak ke Liga Juara-juara sudah selesai?

Kali terakhir Liverpool bersaing di Liga Juara-juara Eropah ialah
pada musim 2009/2010.
(Laurence Griffiths/Getty Images Europe)

Mengikut perngiraan mata, Liverpool masih belum layak ke Liga Juara-juara. Untuk layak, Liverpool perlu menamatkan saingan sekurang-kurangnya di tempat ke-4. Jika berada di kedudukan tersebut, musim depan Liverpool perlu bermain di satu pusingan kalah mati sebelum layak untuk bermain di peringkat kumpulan yang sebenar. Kedudukan tempat ke-3 ke atas dalam liga menjanjikan saingan Liga Juara-juara terus ke peringkat kumpulan.

Kedudukan liga setakat 4 April 2014.
(premierleague.com)

Kita sendiri boleh mengira berapa banyak matakah yang perlu Liverpool dapat dalam baki 6 perlawanan yang tinggal ini. Ketika ini, Arsenal menduduki tempat ke-4 dengan 64 mata. Mata maksimum yang Arsenal berpeluang untuk dapat ialah 82 mata iaitu dengan memenangi kesemua baki perlawanan mereka. Liverpool kini di puncak liga dengan 71 mata. Jadi, mata yang Liverpool perlu dapatkan untuk berada di tempat ke-3 ialah 11 mata. 11 mata jika dibundarkan ialah bermakana 4 kemenangan (12 mata). 12 mata ini menjanjikan tempat ke-3 dan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-juara musim hadapan.

Mata minimum yang Liverpool perlu peroleh untuk berada di kedudukan 4 terbaik liga ialah 10 mata - 3 kemenangan dan 1 seri. Ini kerana Everton yang sedang berada di tempat ke-5 liga mempunyai 60 mata dan berbaki 7 perlawanan. Jika kita menganggap Everton mampu memenangi kesemua 7 perlawanan mereka (21 mata), maka, 81 mata maksimum mungkin boleh diperoleh mereka. Tetapi juga, Everton bakal bertemu Arsenal minggu ini. Ini bermakna, salah satu daripada mereka tidak mungkin akan mendapat mata maksimum, atau kedua-dua mereka jika perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Jika Arsenal tewas, mata maksimum mereka ialah 79. Manakala jika Everton pula yang tewas, 78 ialah mata maksimum mereka. Jika mereka seri, mata maksimum untuk Arsenal ialah 80, dan 79 mata maksimum untuk Everton. Oleh itu, dapat dirumuskan di sini, dengan baki 6 perlawanan yang tinggal ini, Liverpool perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 9 mata (3 kemenangan) untuk kembali ke kancah Liga Juara-juara musim hadapan - mata keseluruhan minimum ialah 80 mata. Bukan itu sahaja, Liverpool berpontensi untuk menamatkan saingan sekurang-kurangnya tempat ke-3 dengan 9 mata ini kerana kelebihan perbezaan gol (goal difference) yang lebih besar berbanding Arsenal.

Brendan Rodgers telah melakukan tugas yang sangat cmerlang
di Liverpool setakat ini.
(skysport.com)

Mampukah Liverpool memenangi minimum 3 perlawanan daripada 6 baki perlawanan yang tinggal? Kebarangkalian itu sangat tinggi. Liverpool bakal bertandang 3 kali ke tempat lawan dan semua lawan tersebut berada di bawah tempat ke-10 - West Ham (11), Crystal Palace (16), dan Norwich City (15). Walaupunbegitu, dua perlawanan di tempat lawan ini boleh dikatakan agak 'menyulitkan'. West Ham bukanlah pasukan yang lemah. Gaya bola sepak yang direct, menggunakan kekuatan fizikal, dan agresif menjadi kunci kekuatan mereka. Liverpool mempunyai banyak pengalaman pahit menentang pasukan-pasukan sebegini, terutama di tempat lawan. Crystal Palace pula baru-baru ini berjaya menewaskan Chelsea. Mereka tidak gentar berdepan pasukan-pasukan besar di laman sendiri. Mungkin Norwich City adalah lawan yang paling mudah diantara mereka - lawan kegemaran Luis Suarez yang sudah menjaringkan 3 hat-trick menentang mereka.

Di Anfield pula, lawan Liverpool lebih sukar. Liverpool bakal bertemu dengan dua lagi pencabar kejuaraan liga musim ini, Man City dan Chelsea. Tidak dinafikan, kedua-dua pasukan ini sangat kuat dan memang sudah dijangka akan menjadi diantara 3 pasukan terbaik dalam liga. Hanya Liverpool yang mengejutkan semua penonton Liga Perdana Inggeris dengan prestasi dan corak bola sepak yang sangat membanggakan. Anfield menjadi kubu yang kebal buat Liverpool musim ini. Liverpool telah mendapatkan 43 daripada maksimum 48 mata dengan 48 gol telah dijaringkan di laman sendiri. Pasti keyakinan dan semangat pemain sangat tinggi berdepan dengan dua lawan ini. Tambahan lagi, penyokong-penyokong di Anfield seperti berada di satu tahap yang lain, berkongsi keyakinan dengan pemain, dan sangat optimis. Sorakkan padu akan diberikan lebih 40 ribu penyokong di Anfield menghasilkan suasana seperti malam perlawanan Liga Juara-juara. Liverpool tidak gentar dengan Man City. Lihat sahaja bagaimana Liverpool menguasai perlawanan di City of Manchester Stadium bulan Disember yang lepas. Walaupun tewas, Liverpool bermain dengan sangat bagus dan ramai berpendapat Liverpool tidak layak untuk tewas dalam perlawanan itu. Perlawanan yang mungkin menjadi sedikit masalah ialah perlawanan menentang Chelsea. Sukar untuk dijangka apa yang akan berlaku nanti. Lebih-lebih lagi, Liverpool berdepan dengan Chelsea yang diuruskan Jose Mourinho. Kita semu tahu perangai dan karenah pengurus dari Portugal ini. Perang psikologi yang sering dilakukannya sering mengganggu pasukan lawan. Itu belum ditambah lagi dengan komen-komen bersifat sinisnya. Juga, dia seorang pengurus yang hipokrit. Mungkin perlawanan mementang Chelsea ini bakal menjadi penentu kejuaraan liga.

Baki 6 perlawanan:
West Ham vs Liverpool (A) - 6 April 2014
Liverpool vs Man City (H) - 13 April 2014
Norwich City vs Liverpool (A) - 20 April 2014
Liverpool vs Chelsea (H) - 27 April 2014
Crystal Palace vs Liverpool (A) - 3 Mei 2014
Liverpool vs Newcastle United (H) - 11 Mei 2014
H=Home, A=away

Seperti yang dinyatakan, sasaran utama Liverpool pada awal musim ialah untuk layak ke Liga Juara-juara. Apa sahaja kedudukan yang lebih baik daripada itu dikira sebagai bonus. Jika memenangi liga, itu dikira pencapaian yang luar biasa. Perlawanan terakhir Liverpool musim ini ialah menentang Newcastle United di Anfield. Adakah Liverpool sudah berjaya layak ke Liga Juara-juara ketika itu? Adakah perlawanan itu bakal menyaksikan Steven Gerrard mengangkat trofi Liga Perdana? Atau hanya bakal menjadi perlawanan untuk melengkapkan jadual liga? Sama-sama kita nantikan dengan penuh harapan.

"Anything is possible for those who believe" - The Kop

Leave a Reply