Barclays Premier League - Perlawanan ke-36
Liverpool 0-2 Chelsea
Ba 45', Willian 90'
27 April 2014. Anfield
Walaupun Liverpool masih berada di kedudukan pertama liga dan melepasi setiap sasaran di awal musim, kekalahan kepada Chelsea semalam agak perit untuk diterima. Cara Liverpool ditewaskan amatlah menyakitkan. Tambah lagi, Chelsea dan Jose Mourinho memang sentiasa menjadi musuh yang menjengkelkan apabila mereka menjadi pencabar Liverpool seperti ketika Rafa Benitez menjadi pengurus.
Brendan Rodgers mengekalkan skuad yang sama seperti melawan Norwich minggu lepas. Daniel Sturridge masih belum cukup cergas selepas pulih daripada kecederaan berada di bangku simpanan.
![]() |
| Kesebelasan utama. Formasi 4-3-2-1/4-3-3 |
Analisis untuk perlawanan ini agak mudah dan boleh diringkaskan memandangkan satu pasukan mahu bermain bola dan satu lagi pasukan tidak.
1. Corak bola sepak negatif Chelsea.
Seperti dalam perlawanan-perlawanan besar dan penting yang lain, Mourinho memilih untuk bertahan sepenuhnya (deep defending) di kawasan sendiri. Mereka hanya bergantung kepada serangan balas yang tidak serberapa ataupun kesalahan individu pasukan lawan. Dan mereka memang bernasib baik kerana kedua-dua perkara itulah yang berlaku dalam perlawanan ini. Gol terhasil selepas Steven Gerrard tergelincir dan serangan balas di minit-minit akhir apabila Liverpool merisikokan segala-galanya untuk mencari gol penyamaan.
Cara Chelsea bertahan sangatlah tidak digemari mana-mana pasukan lawan yang menentang mereka. Bertahan cara begini boleh dikatakan sebagai taktik 'penakut' dan diberi gelaran "parking the bus" oleh kebanyakkan penonton bola sepak. Tidak salah untuk mana-mana pasukan untuk bertahan sepenuhnya. Tetapi, jika meletakkan 9 pemain di kawasan sendiri (dan menjadi 11 pemain pada 20 minit terakhir perlawanan) tanpa niat untuk membuat tekanan ialah salah satu cara yang "merosakkan" permainan. Setuju, Chelsea berhak untuk bermain sebegitu, dan ia memang pun telah menjadi identiti mereka sejak berberapa musim yang lepas. Namun, ia menjadi satu perkara yang dibenci apabila ditambah dengan taktik membuang masa yang tiada semangat kesukanan. Ironiknya juga, kedua-dua gol tersebut hadir di masa kecederaan yang dicipta oleh mereka. Bukan itu sahaja, Chelsea ialah pasukan yang berbelanja besar membeli pemain bertaraf dunia, penuh dengan bakat serangan, dan diurus oleh seorang jurulatih yang hebat. Agak memalukan apabila menggunakan taktik sebegitu dalam perlawanan-perlawanan besart. Juga, tiada istilah "pasukan kedua" untuk Chelsea memandangkan kesemua pemain mereka kecuali Tomas Kalas ialah pemain yang berpengalaman luas dan bermain di peringkat antarabangsa.
Analisis di atas memang berbunyi pahit. Jika ada sebarang pujian kepada Chelsea, pujian tersebut hanya layak diberikan kepada pemain mereka - bukan Mourinho. Secara jujurnya, mereka kental dan fokus ketika bertahan. Pemain sayap mereka banyak bertahan dan membantu bek kiri dan kanan. Mourinho pula memang seorang pengurus yang bijak. Dari segi taktikal, dia antara pengurus yang terbaik dalam dunia bola sepak ketika ini. Namun, tiada apa yang 'genius' dengan mengarahkan hampir kesemua pemain berkumpul di kawasan kotak penalti sepanjang permainan. Mana-mana pasukan boleh bermain cara begitu jika mereka mahu. Ingat lagi baru-baru ini Mourinho mengkritik West Ham kerana bermain corak permainan bola sepak abad ke-19. Dua kali lima. Jika dia berani mengaku pasukannya berkampung di kawasan sendiri, sudah pasti sedikit sebanyak penyokong pasukan lawan boleh menerimanya. Malangnya, hanya komen sinis dan hipokrit diberikan oleh "The Special One" itu.
![]() |
| Perbezaan jelas posisi pemain Liverpool (atas) dan Chelsea (bawah) beraksi sepanjang perlawanan. |
Seperti yang dikatakan, Mourinho menggunakan taktik membuang masa untuk memastikan rentak Liverpool terganggu sepanjang perlawanan. Taktik kotor tersebut ternyata menjadi. Chelsea berjaya mengganggu fokus dan emosi Liverpool. Penyokong Liverpool juga sudah mula menjadi berang dari awal permainan. Akibatnya, Liverpool sentiasa tergesa-gesa apabila membuat serangan. Banyak hantaran-hantaran di kawasan Chelsea tidak cukup baik. Perkara ini berterusan di separuh masa kedua. Keadaan menjadi lagi sukar apabila Chelsea meletakkan hampir kesemua pemain mereka di kawasan kotak penalti. Liverpool termakan dengan provokasi dan taktik membuang masa Chelsea di atas padang.
Malah, sebelum perlawanan juga Mourinho sudah melancarkan perang psikologi. Dia berjaya meyakinkan semua orang bahawa Chelsea akan menurunkan barisan yang lemah. Walaupun tidak semua pemain Chelsea dalam perlawanan ini ialah pemain penting dalam kesebelasan utama, masih ramai diantara mereka yang merupakan pemain hebat. Juga, Frank Lampard, Ashley Cole, Branislav Ivanovic, dan John Obi Mikel bukan nama asing lagi dalam skuad Chelsea. Oleh itu, tekanan beralih kepada pemain Liverpool yang sudah tentu berfikir bahawa mereka wajib mengalahkan Chelsea yang mempetaruhkan barisan "lemah". Tambah lagi, Mourinho juga berjaya memastikan Chelsea mendapat simpati kerana kononnya FA tidak bersikap adil dengan mereka. Walaupun Rodgers menyatakan perang psikologi ini tidak memberikan sebarang kesan, sedikit sebanyak ia telah menjejaskan tumpuan pemain Liverpool.
| Gol 'hadiah'. (liverpoolfc.com) |
3. Serangan tumpul.
Setiap pasukan yang tiba di Anfield pasti akan dirobek oleh barisan penyerang Liverpool. Tetapi, oleh kerana Chelsea tidak mahu bermain bola dan cukup memastikan Liverpool tidak menang, serangan Liverpool menjadi buntu kerana tiada jalan untuk menembusi benteng Chelsea. Setiap serangan Liverpool berjaya dipatahkan Chelsea di separuh masa pertama. Pemain Liverpool mempunyai masa yang sukar untuk memasuki kotak penalti. Dengan menggunakan dua defensive midfielder (Nemanja Matic dan John Obi Mikel), Chelsea selesa menghentikan setiap ancaman dari kawasan tengah. Ia menjadi lebih sukar di separuh masa kedua apabila Chelsea makin padat di hadapan gol mereka.
Secara tak langsung, kebolehan berberapa pemain Liverpool menjadi terhad. Philippe Coutinho terutamanya jelas tiada idea untuk membuat through-ball. Keputusan (decision making) Coutinho juga agak teruk dalam perlawanan ini. Banyak hantarannya ke dalam kotak penalti hanya sia-sia dan tidak bahaya. Luis Suarez pula tidak mempamerkan persembahan terbaik. Pergerakkannya sentiasa terhalang dan tidak banyak ruang untuknya bergerak. Tak banyak juga yang dapat dilakukan oleh Raheem Sterling, terutama di separuh masa kedua. Pertembungannya dengan Cesar Azpilicueta seronok untuk ditonton, tetapi, bek kanan dari Sepanyol itu lebih kental mengawal pergerakkan Sterling. Kemasukkan Sturridge juga tidak mengubah sebarang perkara. Mungkin dia masih tidak cergas. Semua kekurangan ini ditambah dengan tekanan mental sepanjang permainan.
![]() |
| Banya percubaan Coutinho membuat hantaran ke dalam kotak penalti tidak berjaya. |
| Pergerakkan Suarez sentiasa dikekang. (liverpoolfc.com) |
4. Kesilapan dan usaha Gerrard.
Sangat menyedihkan jika difikirkan bagaimana seorang pemain yang memberikan segala keringat bertahun-tahun untuk Liverpool membuat kesilapan yang langsung tidak disengajakan. Entah bagaimana, nak dijadikan cerita, Gerrard tergelincir dan menghadiahkan Chelsea gol pendahuluan yang penting. Kata kunci di sini ialah "tergelincir". Gerrard tidak melakukan satu "kesalahan bodoh" seperti yang dikatakan sesetengah penyokong Liverpool. Bukannya dia sengaja untuk melakukan kesalahan tersebut, seperti kesilapan membuat hantaran bahaya tanpa berfikir atau melakukan kekasaran seperti menyiku dan sebagainya. Ia adalah satu kesilapan yang boleh berlaku kepada mana-mana pemain. Malangnya semalam, pemain itu ialah Gerrard.
Walaupunbegitu, semangat Gerrard tidak pernah luntur. Penyokong juga cukup membanggakan. Mereka serta merta menyanyikan lagu Gerrard untuk menaikkan kembali semangat ketua pasukan yang telah banyak berjasa. Di separuh masa kedua, Gerrard bangkit memberikan persembahan yang mantap. Oleh kerana Chelsea berundur sangat ke belakang, ini memberi ruang untuk Gerrard berada di dalam kawasan Chelsea sepanjang separuh masa kedua. Dia mengemudi pasukan dari situ dengan membuat hantaran ke sekelilingnya. Banyak hantarannya ke bahagian sayap cukup kemas. Namun, jelas ia bukanlah hari Gerrard. Walaupun dia telah berusaha sedaya upaya, tiada hasil buatnya. 8 percubaan Gerrard dari luar kotak penalti dan satu tandukan menghala ke gol tidak memberikan sebarang gol. Ada yang mengatakan Gerrard terlalu berusaha keras untuk membayar balik kesalahannya. Tetapi itu adalah satu tanggapan yang salah. Bermain dengan 10 pemain lawan di hadapan anda, percubaan dari jarak jauh ialah salah satu cara untuk melepasi mereka. Cuma rembatan Gerrard tidak satu pun menembusi Schwarzer. Mungkin 8 tahun yang lalu, 5 daripada 8 percubaan Gerrard tersebut dapat menghasilkan gol.
| Hari yang malang buat Gerrard. (liverpoolfc.com) |
5. Jordan Henderson diperlukan.
Memang jelas di bahagian tengah, Liverpool merindui tenaga yang disumbangkan Henderson. Joe Allen seperti biasa mempamerkan permainan yang tenang dan mantap. Cuma, Lucas Leiva yang mengisi tempat Henderson tidak dapat meniru sumbangan pemain England itu. Walaupun Lucas seorang pemain tengah yang baik, banyak membuat hantaran tepat dan bentesan, tidak pernah sekali pun dia mebuat larian ke dalam kotak penalti dalam perlawanan ini. Hantaran bahaya untuk mencipta peluang juga tidak dapat dilakukan oleh Lucas.
Ini menyulitkan Liverpool untuk menembusi benteng Chelsea. Dari segi formasi dan tumpuan serangan juga tidak konsisten. Dalam perlawanan ini, Liverpool bertukar-tukar formasi 4-3-2-1 dan 4-3-3. Selepas Sturridge dimasukkan barulah Liverpool kekal bermain 4-4-2 diamond. Arah serangan juga berubah-ubah antara sayap dan melalui tengah. Oleh kerana Chelsea padat di dalam kotak penalti dan Suarez beroperasi seorang diri, larian-larian tanpa bola ke dalam kotak penalti daripada pemain tengah amatlah diperlukan. Hanya Allen sekali-sekala melakukan sedemikian, tetapi tidak oleh Lucas. Sekali lagi disebutkan di sini, sumbangan Henderson sangat penting dalam pasukan. Bantuan oleh Glen Johnson dan Jon Flanagan juga agak terhad kerana perlu berhati-hati dengan serangan balas Chelsea. Johnson juga (seperti biasa) teragak-agak dalam membuat keputusan.
![]() |
| Key passes yang mencipta peluang terhad ke luar kotak penalti. |
![]() |
| Banyak percubaan ke gol dari jarak jauh. |
Kesimpulan.
Corak permainan, perang psikologi, dan taktik membuang masa Chelsea ternyata menjadi. Liverpool terpengaruh dengan semua itu dan tidak dapat mempamerkan aksi terbaik. Pemain-pemain kelihatan buntu dan kecewa sepanjang permainan. Liverpool tidak langsung terancam dengan serangan Chelsea yang hanya bertuah mendapat gol selepas kesilapan yang tidak disengajakan daripada Gerrard. Perlawanan menjadi lebih sukar buat Liverpool selepas rehat apabila Chelsea meletakkan hampir kesemua pemain di kawasan sendiri.
Ini adalah kekalahan pertama Liverpool dalam liga sejak tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge Disember lepas. Tinggal dua lagi perlawanan liga musim ini. Man City yang memenangi perlawanan mereka semalam sudah mula merapati Liverpool. Mengikut perkiraan, Man City akan memenangi liga dengan kelebihan perbezaan jaringan jika ketiga-tiga kelab menang semua baki perlawanan masing-masing. Liverpool masih boleh berharap untuk menjuarai liga. Pemain boleh bermain tanpa tekanan dan dengan keyakinan dalam dua perlawanan akan datang. Menang dua perlawanan tersebut, jika bernasib baik, kejuaraan liga mungkin akan kembali ke Merseyside.







