SAS & Gol - Faktor Penting Juarai Liga

Setakat ini untuk 28 perlawanan, gandingan digeruni ramai, Suarez dan Sturridge telah berjaya menjaringkan 42 gol keseluruhan. Jumlah gol yang sangat banyak dan membanggakan. Ini kerana, musuh ketat Liverpool, Man Utd, hanya mampu menjaringkan 46 gol setakat ini. Ya, Man Utd, seluruh pasukan, hanya mampu melebihi 4 gol berbanding gol gandingan SAS. Liverpool secara keseluruhan pula telah menghasilkan 73 gol - terbanyak dalam liga setakat ini.

Ia menjadi salah satu faktor besar kemaraan Liverpool di saingan liga musim ini. Walaupun banyak sebab-sebab lain, faktor ini adalah yang paling jelas. Lazimnya, apabila satu pasukan itu mempunyai gandingan yang mantap, ia memberi gambaran pasukan tersebut mempunyai peluang yang cerah untuk menjuari liga.

Tetapi, adakah mempunyai gandingan serangan hebat benar-benar menjanjikan kejuaraan liga? Ataupun sekadar berpotensi untuk membantu pasukan menjuarainya?


Seperti yang dapat dilihat, walaupun masih berbaki 10 perlawanan untuk Liverpool, gandingan SAS sudahpun berada tempat ke-7 dalam ranking 'duo' terbaik Liga Perdana Inggeris. Mereka berkongsi kedudukan dengan gandingan Robbie Fowler dan Stan Collymore, juga daripada Liverpool.
Dalam ranking ini, 4 daripadanya adalah gandingan yang menjuarai liga bersama pasukan masing-masing pada musim itu. Gandingan tersebut ialah; Didier Drogba & Lampard (Chelsea), Alan Shearer & Chris Sutton (Blackburn Rovers), Cristiano Ronaldo & Carlos Tevez (Man Utd) , dan Thierry Henry & Robert Pires (Arsenal).

Memang agak menarik gandingan Newcastle, Andrew Cole & Peter Beardsley yang menjaringkan 55 gol pada musim 1993-1994, tidak berjaya membantu pasukan mereka memenangi liga. Mengapa? Kerana mereka terlalu banyak kalah. Mereka tewas, 11 perlawanan daripada 42 perlawanan (26%), berbanding juara tahun itu, Man Utd, yang hanya tewas 5 kali daripada 42 perlawanan(11%). 8 kekalahan daripada 11 tersebut berlaku di tempat lawan. Jika dilihat, bilangan gol dan bolos Newcastle pada musim itu tidak jauh beza berbanding Man Utd. Jadi, yang menjadi faktor mereka hanya menduduki tangga ke-3 musim itu ialah bilangan perlawanan yang mereka tewas.

Kes yang sama boleh diperhatikan pada musim dimana gandingan Kevin Phillips & Niall Quinn (Sunderland) yang menjaringkan 44 gol bersama. Benar, Sunderland bukanlah pencabar liga untuk mana-mana musim. Tetapi pada musim itu, gandingan tersebut telah meledak banyak gol dan membantu Sunderland menamatkan saingan liga di tempat ke-7. Mereka tewas 12 perlawanan daripada 38 (31%). Sudah tentulah sangat berbeza dengan Man Utd, juara musim itu, yang hanya tewas 3 kali.

Bagaimana pula dengan Liverpool ketika Fowler & Collymore cemerlang di depan gol? Malangya, musim 1995-1996 juga telah dimenangi Man Utd. Liverpool ditempat ke-3, 11 mata di belakang Man Utd. Menariknya, perbezaan gol dan bolos (goal difference) Liverpool dan Man Utd hanya dibezakan dengan 2 gol. Liverpool juga hanya tewas 6 kali, 1 kekalahan lebih berbanding Man Utd. Tetapi, 11 perlawanan yang berakhir seri pada musim itu ternyata merugikan Liverpool.

3 musim 'deadliest duo' tidak berjaya membantu
pasukan menjuarai liga.
'Bagaimana pula dengan bilangan gol pasukan secara keseluruhan? Sejak musim 1992-1993, iaitu musim Liga Perdana Inggeris diperkenalkan (menggantikan format liga England yang lama), 7 musim telah dijuari oleh pasukan yang tidak menjaringkan gol pasukan keseluruhan terbanyak dalam liga; 1992-1993, 1993-1994, 2001-2002, 2002-2003, 2005-2006, dan 2008-2009. 7 daripada 21 musim merupakan petanda yang baik buat Liverpool. Dan daripada 7 musim ini, hanya 1 musim mempunyai gandingan yang tersenarai dalam ranking di atas. Maksudnya, jika satu pasukan itu mempunyai pasangan pemain yang menjaringkan banyak gol, ia memberi kebarangkalian besar untuk pasukan itu menjadi pasukan yang menjaringkan gol keseluruhan terbanyak dalam liga - dibuktikan oleh Liverpool setakat ini. Dan jika pasukan itu menjaringkan gol terbanyak dalam liga, pasukan itu cenderung untuk memenangi liga. Seperti yang dinyatakan, hanya satu kes, iaitu musim 1993-1994, pasukan yang menjaringkan gol terbanyak (Newcastle) dan mempunyai pasangan yang menjaringkan gol terbanyak (Cole & Beardsley), tidak memenangi liga. 1 daripada 21 musim. Ini adalah kebarangkalian yang sangat baik buat SAS & Liverpool.

Jika kebarangkalian tersebut tidak cukup untuk meyakinkan sesetengah penyokong Liverpool, ada satu statistik yang dapat menggembirakan anda. Berbalik kepada sejarah di atas, 7 musim di mana pasukan yang menjaringkan gol terbanyak tidak memenangi liga, telahpun menamatkan saingan sekurang-kurangnya ditempat ke-4. Itupun hanya 1 pasukan yang berada ditempat ke-4 tamat musim - Blackburn Rovers pada musim 1992-1993. Musim itu adalah musim pertama format baru Liga Perdana Inggeris. Malah, Blackburn hanya menjaringkan 1 gol lebih berbanding juara musim itu, Man Utd. 6 musim yang lain, pasukan yang menjaringkan gol terbanyak berada di tempat ke-2 atau ke-3. Ini bermakna, jika satu pasukan itu menjaringkan gol terbanyak, mereka pasti akan berada dalam kedudukan 4 terbaik liga. Oleh itu, boleh dikatakan, Liga Juara-juara Eropah musim depan bakal menyaksikan kelibat Liverpool. Untuk memperkukuhkan keyakinan ini, Brendan Rodgers sendiri pernah menyatakan bahawa Liverpool perlu sekurang-kurangya 70 gol untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah. Liverpool sudahpun menjaringkan 73 gol!

Sturridge: "Hey, that's our spot!"
Suarez: "Europa League is that way, Patrice."
(Getty Images)
Mengikut kedudukan liga setakat ini, Liverpool sudah tewas 5 kali berbanding pendahulu, Chelsea, yang hanya tewas 3 kali. Kebiasaannya, juara liga adalah pasukan yang tewas paling kurang sepanjang musim. Hanya 4 daripada 21 musim, juara liga kalah lebih banyak berbanding pasukan di tempat ke-2 (termasuk tempat ke-3 pada musim 2007-2008). 4 musim tersebut ialah pada musim 1995-1996, 2006-2007, 2007-2008, dan 2008-2009. Daripada 4 musim itu pula, hanya musim 2008-2009, musim dimana Liverpool di tempat ke-2, Man Utd yang menjurai liga tidak menjadi pasukan yang menjaringkan paling banyak gol. Musim tersebut boleh dikatakan agak pelik, kerana Liverpool hanya kalah 2 kali (Man Utd kalah 4 kali) dan mempunyai goal difference lebih berbanding Man Utd. Sama seperti kes pada musim 1995-1996, Liverpool telah seri banyak perlawanan (11 perlawanan) yang akhirnya merugikan skuad di bawah kendalian Rafa Benitez ketika itu. Mungkin musim tersebut boleh diberikan pengecualian. Yang penting di sini, musim ini, Liverpool mesti tidak tewas terlalu banyak berbanding pencabar lain. Situasi terbaik pula, Liverpool menjadi pasukan paling kurang tewas musim ini. Mungkin agak sukar, kerana Liverpool perlu berharap Chelsea tewas lagi 3 perlawanan, Arsenal 1 perlawanan, Man City 1 perlawanan, dan Liverpool sendiri tidak akan tewas sehingga tamat musim. Tetapi, berkait dengan hujah sebelumnya, walaupun satu pasukan itu mempunyai bilangan kekalahan lebih daripada pencabar lain, kejuaraan liga masih boleh diperolehi jika pasukan itu menjaringkan gol liga paling banyak sepanjang musim. Ia memberi gambaran betapa pentingnya untuk Liverpool menjaringkan gol terbanyak musim ini. Man City telah memenangi liga pada musim 2011-2012, hanya melalui perbezaan gol dengan Man Utd. Ingat lagi gol minit-minit akhir Sergio Aguero?

Kesimpulannya, dengan bantuan gandingan mantap Suarez dan Sturridge, Liverpool mempunyai peluang sangat cerah untuk menjuarai liga. Pada masa yang sama, impian untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah hampir menjadi kenyataan buat The Reds. Tinggal lagi 10 perlawanan liga. Bermula dengan perlawanan yang penting dan sangat dinanti-nantikan oleh penyokong. Liverpool akan bertandang ke Old Trafford dengan misi untuk membawa pulang 3 mata disamping memberi kenyataan bahawa Liverpool benar-benar serius untuk memenangi liga musim ini. Come on, Liverpool!

Nota:
i. 22 pasukan bersaing di Liga Perdana Inggeris musim 92-93, 93-94, dan 94-95. Format diubah selepas itu kepada 20.
ii. Statistik boleh didapati di Wikipedia