Barclays Premier League - Perlawanan ke-33
West Ham 1-2 Liverpool
Gerrard (pen) 44', Demel 45', Gerrard (pen) 71'
6 April 2014. Upton Park
Tugas untuk mendapatkan kemenangan di Upton Park menentang West Ham bukanlah satu perkara yang mudah. Bukan sahaja kerana West Ham ialah lawan yang kental, malah tekanan mental selepas Man City dan Chelsea masing-masing mendapat 3 mata sehari yang lepas, menjadi satu cabaran buat Liverpool. 2 gol penalti oleh Steven Gerrard memastikan Liverpool kembali mendahului carta di minggu ke-33 saingan Liga Perdana Inggeris.
Dalam perlawanan ini, kita dapat menyaksikan berberapa perubahan formasi dan pemain untuk Liverpool. Sukar untuk dipastikan formasi sebenar Liverpool berhadapan West Ham pada awal-awal permainan. Dua pemain yang bersifat menyerang, Philippe Coutinho dan Raheem Sterling, diletakkan dalam kesebelasan utama, menepikan Joe Allen dan Lucas Leiva di bangku simpanan. Mamadou Sakho menggantikan Daniel Agger yang cedera, bergandingan dengan Martin Skrtel menyekat senjata utama West Ham; kombinasi kekuatan fizikal Andy Carroll dan Kevin Nolan.
![]() |
| Kesebelasan utama: Formasi 4-3-3 |
![]() |
| Formasi lain separuh masa pertama 4-4-2 diamond |
![]() |
| Formasi lain separuh masa pertama 4-1-3-2 |
![]() |
| Kedudukan Coutnho (kiri) dan Sterling (kanan) yang hampir sama di separuh masa pertama. Sterling juga kurang membuat hantaran berbanding Coutinho. (Tekan untuk besarkan gambar) |
Kesukaran untuk mengekalkan bentuk formasi ini juga ditambah dengan kekebalan pertahanan West Ham. Mereka dilihat sangat teratur dan mengawal asakkan Liverpool dengan baik. Tidak banyak ruang dan masa untuk pemain bahagian serangan Liverpool membuat pusingan untuk membuat larian atau merancang permainan. Hanya sekali sekala Liverpool berjaya mendapat ruang apabila permainan menjadi terbuka sedikit melalui serangan balas. West Ham juga pada masa yang sama bergantung kepada serangan balas pantas yang tertumpu di bahagian sayap. Dan seperti biasa, bola-bola tinggi dihantar menghala ke target-man mereka, Carroll. Namun, Liverpool tetap tenang dan sabar mencari peluang. Dan ia telah membuahkan hasil apabila satu hantaran jauh cantik oleh Gerrard diterima Suarez yang mengakibatkan bola terkena tangan pertahanan West Ham. Jelas ia membawa kepada sepakan penalti dan tenang disudahkan Gerrard selepas itu. Breakthrough yang sangat melegakan Liverpool kerana West Ham ternyata sukar untuk ditembusi.
Malangnya, kelegaan itu tidak bertahan lama. Tidak mengejutkan gol West Ham hadir melalui situasi perebutan bola di udara. Pengurus West Ham, Sam Allardyce sudah pasti mengarahkan pemain-pemainnya lebih agresif menekan pemain Liverpool ketika perbutan bola tinggi. Taktik mengasak penjaga gol ketika situasi set-piece juga berhasil. Carroll dengan sengaja menggunakan tangan 'menumbuk' Simon Mignolet. Bola terlepas dari tangan penjaga gol Liverpool itu dan ditolak masuk ke dalam gol oleh Guy Demel. Carroll jelas membuat kesalahan dan gol tidak sepatutnya dikira. Hampir kesemua pemain Liverpool membuat protes kepada pengadil perlawanan. Tambah lagi, penjaga garisan sudahpun mengangkat bendera menandakan gol tersebut tidak sah. Tetapi peliknya, pengadil tidak langsung mengendahkan rayuan pemain Liverpool. Walaupun sudah berbincang dengan penjaga garisan (yang mempunyai pandangan jelas terhadap insiden), pengadil tetap memberikan gol tersebut kepada West Ham. Apa guna penjaga garisan jika keputusannya tidak diambil kira pengadil perlawanan? Insiden ini membangkitkan kemarahan penyokong Liverpool. Rodgers sendiri telah mengambil kesempatan untuk menyoal keputusan pengadil tersebut setelah tamat separuh masa pertama.
| Carroll jelas mengasari Mignolet. (Liverpool FC/Getty Images) |
Untuk mengawal kembali permainan di separuh masa kedua, Rodgers bertindak menggantikan Coutinho dengan Lucas. Tiada sebab jelas mengapa Coutinho yang dikeluarkan dan bukannya Sterling. Coutinho tampak lebih banyak mempengaruhi permainan di separuh masa pertama. Tapi, kita boleh mengagak yang Rodgers mahukan displin taktikal di bahagian tengah. Walaupun dilihat dapat merancang permainan dengan baik, Coutinho membazir bola berberpa kali di kawasan serangan (attacking third). Pada minit ke-40, dia telah melambungkan bola ke dalam kotak penalti tanpa hala tuju sedangkan mempunyai pilihan untuk memberikan bola kepada berberapa rakan yang tidak dikawal. Dia seperti berbalah dengan seseorang kerana tindakannya selepas itu (tidak pasti samada rakan sepasukan atau Rodgers). Kita tahu Rodgers seorang yang tegas dan mahukan pemain-pemainnya lebih berdisplin di dalam padang. Mungkin ini adalah salah satu sebab Coutinho dikeluarkan selepas tamat separuh masa pertama.
| Kemasukkan Lucas membawa perubahan positif. (brunchnews.com) |
Kemasukkan Lucas boleh dikatakan sebagai serampang dua mata; bertujuan supaya Liverpool dapat mengawal permainan dan menghentikan serangan West Ham di bahagian kanan Liverpool dengan lebih baik. Juga, penglibatan Lucas di separuh masa kedua membolehkan Liverpool mengekalkan formasi 4-4-2 diamond untuk 45 minit seterusnya. Lucas tidak diletakkan sebagai defensive-midfielder, sebaliknya sebagai pemain tengah di bahagian kanan. Seperti yang kita tahu, pemain di posisi ini perlu lebih banyak bergerak dan bertenaga. Jadi, Lucas lebih sesuai bermain di bahagian ini. Tambahan lagi, Rodgers telah mengevolusikan tugas defensive-midfielder dalam formasi 4-4-2 diamond. Tugas pemain di posisi tersebut bukan sahaja mematahkan serangan lawan, malah dia perlu merancang dan memulakan serangan pasukan - deep lying playmaker. Oleh itu, Gerrard lebih sesuai di posisi ini kerana berkebolehan membuat pelbagai hantaran dan kapten Liverpool itu juga sudahpun cukup serasi beroperasi di situ.
![]() |
| Formasi separu masa kedua. 4-4-2 diamond. |
Di separuh masa pertama, Coutinho dan Sterling membantu Glen Johnson ketika bertahan. Tetapi, dengan perubahan dilakukan ini, Lucas yang membantu Johnson lebih efektif dalam mengurangkan ancaman Stewart Downing di sayap kiri West Ham. Downing membuat 7 hantaran lintang di separuh masa pertama, tetapi hanya berjaya membuat 3 hantaran lintang selepas kemasukkan Lucas. Pemain dari Brazil ini juga lebih kemas mengawal posesi bola untuk Liverpool disamping cuba membuat berberapa through-ball. Seperti Henderson di sebelah kiri, dia juga turut naik dan turun membantu rakan sepasukan. Satu hantaran cantiknya menemui larian Jon Flanagan di sebelah kiri menghasilkan sepakan penalti kedua untuk Liverpool. Penjaga gol West Ham, Adrian, sebenarnya berjaya menyentuh bola. Namun, tindakan susulannya menangkap kaki Flanagan menyebabkan pengadil tidak mempunyai pilihan lain selain memberikan sepakan penalti kepada Liverpool. Gerrard meletakkan Liverpool kembali di hadapan pada minit ke-71 melalui sepakan penalti itu. Mentaliti Liverpool selepas gol itu tertumpu kepada bertahan dan memastikan 3 mata dibawa pulang ke Anfield.
![]() |
| Perbezaan hantaran lintang Downing untuk separuh masa pertama dan kedua. |
Formasi 4-4-2 diamond di separuh masa kedua membolehkan Sterling bergerak dengan lebih bebas di tengah padang. Persembahannya jelas lebih baik selepas rehat. Di posisi itu, dia dapat membuat pusingan pantas dan larian-larian ke hadapan bersama bola. Ini membolehkan Suarez dan Sturridge memberikan fokus yang lebih untuk mencari ruang-ruang di belakang pertahanan West Ham berbanding turun ke bawah untuk menerima bola seperti di separuh masa pertama. Berfungsi sebagai playmaker 'sementara', Sterling telah memulakan berberapa serangan yang baik buat Liverpool. Dia mencipta 3 peluang, tidak termasuk satu through-ball bijaknya yang hampir melepaskan Suarez untuk berada di situasi 1-lawan-1 dengan penjaga gol West Ham. Satu percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti oleh Sterling juga hampir menghasilkan gol. Satu lagi implikasi perubahan taktikal untuk separuh masa kedua dlakukan Rodgers yang ternyata menjadi.
![]() |
| Sterling lebih banyak menumpukan permainannya di tengah padang di separuh masa kedua, selepas kemasukkan Lucas. |
![]() |
| Peningkatan persembahan Sterling selepas rehat. Lebih banyak membantu serangan dan 3 hantaran penting berjaya dilakukannya. |
Secara keseluruhan, Liverpool bertahan dengan sangat bagus. Lebih-lebih lagi Liverpool bermain tanpa kelibat Agger. Sakho menjalankan tugas dengan baik. Dia kental ketika merebut bola tinggi dan sentiasa tenang membuat hantaran-hantaran ke hadapan. Perkara yang sama juga boleh dikatakan kepada Skrtel. Dia ternyata mahu mengawal pergerakkan Carroll sebaik-baiknya. Di mana sahaja Carroll berada untuk menerima bola, di situ juga Skrtel berada bersedia mengunci pergerakkannya. Walaupun Carroll berjaya memenangi banyak perebutan bola tinggi (ariel duel), bola hasil daripada perebutan itu (2nd ball) berjaya dikawal baik oleh pemain Liverpool. Gandingan Carroll dan Nolan hanya sekali sahaja hampir menghasilkan sesuatu iaitu pada minit ke-13. Tetapi, tandukkan Carroll yang hampir disambar Nolan berjaya dibaca oleh Skrtel.
Serangan-serangan West Ham juga tidak mendatangkan bahaya. Kesemua percubaan West Ham tidak menemui sasaran. Hanya satu percubaan mereka tepat ke arah gol, itupun selepas Mignolet terlepas bola setelah dilanggar Carroll. Percubaan itulah juga yang memberikan gol kontroversi West Ham. Satu peluang keemasan mereka tiba di minit ke-62 apabila Carroll berjaya melonjak mengalahkan Johnson. Tetapi tandukannya hanya menggegar palang. Toure masuk di minit ke-85 menjadi pertahanan kelima untuk membantu pasukan bertahan. Liverpool fokus sehingga akhir perlawanan untuk memastikan tiada lagi gol berjaya dijaringkan West Ham.
![]() |
| Selain 1 gol, kesemua percubaan West Ham tidak tepat ke sasaran (Fourfourtwo.com) |
Selepas perlawanan, Mignolet menyatakan bahawa Liverpool tenang dan berjaya memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mendapatkan kemenangan. Benar, Liverpool bermain dengan teratur dan sabar. Seperti yang diharapkan, kita tidak mahu melihat Liverpool terikut-ikut dengan corak permainan West Ham. Kekebalan pertahanan ditambah dengan serangan agresif dan pantas West Ham boleh mengakibatkan Liverpool menjadi lebih 'reaktif'. Pemain biasanya akan turut membuat serangan pantas dan cuba melawan asakkan kasar pemain lawan. Tetapi, bagusnya, Liverpool bijak mengawal permaianan dan bermain dengan corak bola sepak sendiri. Perlawanan jelas dikawal Liverpool dengan 529 hantaran dan 64% kawalan bola berbanding West Ham dengan 241 hantaran dan mengawal 36% permainan.
Mungkin ramai bukan penyokong Liverpool di luar sana yang meluat melihat Liverpool mendapat dua penalti dalam perlawanan ini. Bukan itu sahaja, musim ini Liverpool sudah dihadiahkan 12 sepakan penalti - 10 disempurnakan Gerrard. Tetapi, itulah yang berlaku apabila satu pasukan itu sering membuat serangan dan pergerakkan bahaya dalam kotak penalti. Seperti dalam perlawanan ini, walaupun Suarez dan Sturridge tidak menjaringkan gol (pertama kali tahun ini), mereka sering mengundang bahaya kepada pihak lawan. Mereka berjaya membuat berberapa percubaan ke arah gol. Pada masa yang sama, pergerakkan lincah mereka di dalam kotak penalti sukar dikawal dan pertahanan sering tersalah langkah (menjatuhkan mereka atau bola terkena tangan), dan akhirnya boleh memberikan sepakan penalti. Rodgers turut mempunyai rekod mendapat sepakan penalti yang banyak ketika mengurus Swansea. Ini terbukti corak serangan pasukan yang dibimbing Rodgers mempelawa pasukan lawan melakukan kesalahan di dalam kotak penalti. Bagi Gerrard pula, keboleh sepakan penaltinya adalah sangat bagus - hampir sempurna. Gerrard bukanlah pemain tengah yang sering melakukan larian ke dalam kotak penalti dan menjaringkan gol seperti dahulu. Namun, skill menyepak Gerrard dari jarak 12 ela masih tajam.
| Watak utama yang membawa kecemerlangan Liverpool musim ini. (liverpoolfc.tv) |
Menang melalui sepakan penalti, gol sendiri, atau gol bertuah tidak menjadi isu. Yang penting ialah kemenangan dan 3 mata penuh. Sudah kerap Liverpool menjadi 'mangsa' kesalahan pengadil dan tidak bernasib baik. Dan mungkin musim ini, sedikit sebanyak perkara itu telah berubah. Perlawanan ini dimenangi hasil fokus dan ketenangan Liverpool menghadapi tekanan sebelum dan ketika perlawanan. Reaksi bijak dan perubahan taktikal dilakukan Rodgers juga telah membuahkan hasil. Semangat dalam pasukan juga sangat tinggi. Lihat sahaja cara pemain-pemain meraikan kemenangan selepas wisel penamat dibunyikan. Perlawanan besar minggu hadapan menentang Man City mungkin menjadi penanda arah ke manakah piala kejuaraan liga akan berakhir. Sokongan padu penyokong di Anfield Ahad depan pasti akan memastikan arah penanda tersebut menghala ke Merseyside.










