Barclays Premier League - Perlawanan ke-35
Norwich City 2-3 Liverpool
Sterling 4', Suarez 11', Hooper 54', Sterling 62', Snodgrass 77'
20 April 2014. Carrow Road
"We go again!". Itulah kata-kata semangat yang diberikan oleh ketua pasukan, Steven Gerrard, sejurus tamat kemenangan dramatik keatas Man City minggu lepas. Benar, Liverpool memang perlu memulakan semula perjuangan kerana setiap perlawanan ialah cabaran baru. Norwich City ialah satu lagi halangan yang tidak mudah untuk ditewaskan. Liverpool perlu menfaatkan peluang untuk menjarakkan mata dengan Chelsea yang tewas kepada Sunderland, dan Man City yang hanya mendapat keputusan seri juga menentang Sunderland.
Tanpa Jordan Henderson (digantung perlawanan) dan Daniel Sturridge (cedera), Brendan Rodgers memilih untuk memasukkan Joe Allen dan Lucas Leiva. Ini bermakna, Raheem Sterling dan Philippe Coutinho beraksi di bahagian serangan bersama-sama Luis Suarez. Formasi yang digunakan, boleh dikatakan sebagai 4-3-2-1. Tetapi, oleh kerana Suarez, Sterling, dan Coutinho saling bertukar-tukar posisi dan bebas bergerak di kawasan serangan (attacking-third), formasi itu juga boleh dikira sebagai 4-3-3.
![]() |
| Kesebelasan utama. Formasi 4-3-2-1. |
Seperti dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, Liverpool bermula dengan hebat. Gol awal sudah dijangkan terutamanya kerana Liverpool benar-benar memerlukan kemenangan yang dijangkakan 'mudah' ini. Sterling membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 dan disusuli gol Suarez 7 minit selepas itu. Gol pertama hasil daripada rembatan cantik Sterling dari luar kotak penalti yang terbias sedikit mengenai pertahanan Norwich. Apapun, ia tetap satu gol yang menarik. Gol kedua juga hasil daripada pergerakkan Sterling. Pemain lincah ini bergerak di sayap dan membuat hantaran lintang yang sempuran tepat ke arah larian Suarez. Larian Suarez itu juga sebenarnya sangat bijak. Dia memperdaya pertahanan Norwich dengan mengacah seolah-olah mahu membuat larian memintasnya di hadapan sebelum bertukar arah ke belakang. Pertahanan Norwich itu tertipu dan tidak sempat menghalang Suarez yang sudahpun bersedia untuk menjaringkan gol. Walaupun ia mungkin satu pergerakkan asas untuk seorang penyerang, pujian tetap diberikan kepada Suarez. Gol tersebut ialah gol ke-12 Suarez melawan Norwich City dalam 6 perlawanan. Menakjubkan.
![]() |
| Arah larian acahan (merah) dan larian sebenar (kuning) Suarez. |
![]() |
| Asas pergerakkan seorang penyerang dipamerkan Suarez menghasilkan gol kedua Liverpool. |
| Sterling meledak gol pertama seawal minit ke-4. (liverpoolfc.tv) |
Kekuatan Norwich terletak di bahagian sayap mereka. Di situlah serangan mereka tertumpu. Hantaran silang (crosses), kerap dilakukan sepanjang perlawanan. 38 hantaran silang termasuk sepakan sudut berjaya dilakukan mereka. 8 daripada hantaran tersebut menemui sasaran dan 2 daripadanya menghasilkan gol. Gol pertama Norwich mungkin dapat dielakkan jika Simon Mignolet tidak membuat kesilapan. Memang tiada siapa yang patut dipersalahkan selain Mignolet. Dia sepatutnya dapat membaca dan menumbuk bola hasil hantaran lintang permain Norwich. Diharap kesalahan ini dijadikan pengajaran olehnya. Mignolet secara keseluruhan mengawal gol Liverpool dengan baik walaupun melakukan satu kesalahan tersebut.
Seperti gol pertama, gol kedua juga turut berpunca daripada hantaran lintang. Robert Snodgrass melompat menewaskan Jon Flanagan untuk menanduk masuk gol kedua Norwich. Gol tersebut hadir selepas Sterling menambah gol untuk Liverpool menjadikan kedudukan 3-1. Di sini, Glen Johnson patut lebih segera membuat tekanan kepada Josh Murphy di sayap kiri mereka. 'Lazy defending' seperti yang ditunjukkan Johnson itu bukanlah pertama kali dilakukan olehnya. Malah, keseluruhan pertahanan Liverpool juga pernah beraksi sebegini seperti dalam perlawanan di tempat lawan menentang Cardiff City dan Hull City. Johnson yang sangat berpengalaman sepatutnya menunjukkan kesungguhan yang lebih dalam perlawanan sebegini. Dia juga perlu lebih tenang menangani tekanan kerana pengalaman yang ada padanya. Berberapa hantaran yang tidak tepat oleh Johnson dalam perlawanan ini hampir-hampir menghukum Liverpool.
![]() |
| Hantaran lintang Norwich. |
Di bahagian tengah, Allen dan Lucas melengkapkan midfield Liverpool bersama-sama Gerrard. Lucas sudah lama tidak bermain dalam kesebelasan utama. Dia diketepikan kerana Gerrard, Henderson, dan Coutinho mempamerkan gandingan mantap di bahagian tengah. Tidak benar jika kita mengakatakan bahawa Lucas tidak bermain di posisinya (out of position). Memang posisi kegemaran Lucas ialah defensive midfielder atau dipanggil sebagai anchorman. Tetapi, dia juga memang seorang pemain tengah. Posisi tengah kanan yang biasanya diisi Henderson bukanlah posisi asing untuknya. Dalam perlawanan ini, Lucas mempamerkan persembahan yang memuaskan. Namun, ada berberapa aspek permainannya yang tidak menggambarkannya sebagai seorang pemain berpengalaman. Lucas gemar membuat bentesan dan kesalahan-kesalahan yang tidak patut dilakukan. Kesalahan tersebut bukanlah kesalahan taktikal atau professional foul, tetapi kesalahan yang dilakukan kerana sengaja mengasari lawan tanpa memikirkan kesannya - unnecessary foul. Satu kesalahannya yang memberikan sepakan percuma minit-minit akhir kepada Norwich sukar diterima. Dia memang jelas sengaja melanggar pemain Norwich tanpa matlamat untuk mengambil bola. Pada masa yang sama, Lucas juga kurang berkesan ketika menyerang. Tidak seperti Allen dan Henderson yang rajin dan tidak takut untuk membuat larian ke dalam kotak penalti, Lucas lebih statik di kawasan serangan. Dia juga tidak cukup kreatif dan tampak ragu-ragu untuk merancang permainan di kawasan attacking-third. Percubaan depan gol di minit-minit akhir permainannya juga sepatutnya menghasilkan gol keempat perlawanan buat Liverpool. Tetapi juga, kita tidak boleh terlalu bersifat kritikal terhadap Lucas. Dia jarang diturunkan musim ini kerana tidak cergas dan sedikit sebanyak menjadikannya kurang tajam. Lucas juga tidak lagi mempunyai naluri menyerang seperti di zaman mudanya ketika bermain bersama kelab Brazil, Gremio.
![]() |
| Bentesan (tackle) yang dilakukan Lucas. |
Allen pula yang bermain di tengah kiri Liverpool mempamerkan permainan yang mantap, terutama di separuh masa pertama. Namun, tidak semua penyokong yang benar-benar dapat memahami kehebatan yang dipamerkannya, apatah lagi memujinya. Dalam perlawanan ini, dia berjaya 38 hantaran tepat (86% ketepatan). Tetapi, majoriti hantaran-hantaran tersebut berlaku di separuh masa pertama dengan 33 hantaran tepat daripada 36 hantaran (92% ketepatan). Ini bermakna hanya 5 hantaran tepat dilakukan Allen di separuh masa kedua sebelum dia digantikan dengan Daniel Agger pada minit ke-80. Perubahan mendadak ini bukan salahnya semata-mata. Memang penguasaan bola Liverpool teruk selepas rehat. Apa yang hendak diutarakan di sini ialah sumbangan Allen sepanjang perlawanan, terutama ketika bertahan. Allen berjaya membuat 7 bentesan kemas daripada 11 percubaan. Dia juga banyak membantu barisan pertahanan membuat hadangan dan clearance di kawasan Liverpool. Salah satu sumbangan pentingnya ialah ketika mencuri bola di hadapan gol ketika pemain Norwich dilihat sudah hampir pasti akan membuat percubaan yang boleh menghasilkan gol. Selain daripada itu, Allen juga turut membantu dalam build-up play ketika Liverpool menyerang. Dia berjaya memasuki kotak penalti berberapa kali dan membuat satu percubaan baik pada minit ke-9. Kerajinannya membuat tekanan juga sangat penting apabila ketiadaan Henderson di bahagian tengah. Terdapat satu situasi di separuh masa kedua, tekanan dan bentesannya berjaya mencuri bola di kawasan lawan dan hampir-hampir membuka peluang kepada Suarez. Namun begitu, Rodgers memilih untuk mengeluarkannya berbanding Lucas di hujung babak perlawanan. Mungkin kerana corak permainan Norwich yang lebih agresif dan bersifat fizikal di separuh masa kedua mengurangkan pengaruh Allen dalam padang.
![]() |
| Perbezaan pengaruh Allen melalui hantaran di separuh masa pertama (atas) dan separuh masa kedua (bawah). |
![]() |
| Allen lebih kemas membuat bentesan. |
Pemain terbaik perlawanan ini sudah tentulah Sterling. Bakat muda yang semakin menyerlah setiap peralawanan. Kali ini, 2 gol dan 1 assist berjaya disumbangkan oleh Sterling. Gol keduanya dan ketiga untuk Liverpool dalam perlawanan ini hasil daripada larian bijaknya ke dalam kotak penalti Norwich. Sekali lagi, pujian diberikan kepada Suarez yang membuat larian yang dapat 'menarik' pertahanan Norwich sekaligus membuka ruang untuk Sterling. Percubaan Sterling terkena pemain lawan dan bernasib baik melepasi jangkauan John Ruddy. Sterling memang layak mendapat gol tersebut dan ternyata ianya sangat penting kerana Norwich berjaya merapatkan kedudukan selepas itu. Tidak perlu dianalisis lagi betapa bagusnya persembahan Sterling. Dia sentiasa yakin dan pantas bergerak ketika menyerang.
![]() |
| Suarez membuat larian (biru) yang dijaga oleh pertahanan Norwich (kuning). Sterling bergerak melepasi pemain lawan ke ruang yang akan terbuka (merah). |
![]() |
| Ruang yang ditinggalkan pemain Norwich (kotak putih). Sterling masuk ke dalam kotak dan membuat percubaan (merah). |
Walaupun tidak dapat mengurangkan hantaran lintang Norwich, Liverpool kekal teratur di barisan pertahanan. Martin Skrtel menjadi watak utama memenangi bola tinggi dan mengemudi rakan sepasukan dari belakang. Sekali lagi Liverpool terpaksa menempuhi minit-minit akhir perlawanan dengan penuh debaran.
Gol-gol awal Liverpool menjadi faktor utama kemenangan kali ini. Liverpool berjaya menguasai perlawanan di separuh masa pertama. Seperti Man City, Norwich juga bangkit memberikan tentangan selepas rehat. Mereka lebih bersemangat dan kerap membuat asakan ke kubu Liverpool. Serangan mereka tertumpu di bahagian sayap dan mengancam Liverpool melalui hantaran-hantaran lintang. Gol penting pemain terbaik perlawanan, Sterling, menjadi pemisah diantara dua pasukan.
| Peluang menjarakkan mata dengan Chelsea dan Man City tidak disia-siakan Liverpool. (liverpoolfc.tv) |
Kemenangan ini bermakna Liverpool berada di atas Chelsea dengan perbezaan 5 mata. Sementara 6 mata memisahkan Liverpool dan Man City yang bermain kurang satu perlawanan berbanding Liverpool. Ahad ini bakal menyaksikan pertembungan Liverpool dan Chelsea. Perlawanan yang sangat penting memandangkan peluang masih terbuka buat kedua-dua Chelsea dan Man City. Penyokong pasti mengharapkan Liverpool dapat memenangi tekanan dan tenang melaksanakan tugas mengutip 3 mata.










