Barclays Premier League - Perlawanan ke-32
Liverpool 4-0 Tottenham Hotspur
Kaboul (o.g) 1', Suarez 25', Coutinho 55', Henderson 75'
30 Mac 2014. Anfield
Liverpool 4-0 Tottenham Hotspur
Kaboul (o.g) 1', Suarez 25', Coutinho 55', Henderson 75'
30 Mac 2014. Anfield
Brendan Rodgers menyenaraikan formasi 4-3-3 dan barisan pemain yang positif dan bersifat menyerang. Philippe Coutinho dan Raheem Sterling disenaraikan dalam kesebelasan utama, meletakkan Joe Allen di bangku simpanan. Rodgers dan kesemua pemain sedar betapa pentingnya untuk Liverpool mengambil peluang daripada kegagalan Chelsea dan Man City mengutip 3 mata penuh. Luis Suarez dan Daniel Sturridge bertukar-tukar posisi dan sekali-sekala juga Sterling turut berada di sayap kiri. Kebebasan bergerak dan bertukar posisi bukanlah perkara asing untuk 3 penyerang dalam sistem 4-3-3 Rodgers.
![]() |
| Kesebelasan utama. Formasi 4-3-3 |
Sebelum perlawanan, rekod di atas kertas menunjukkan Liverpool memang patut memenangi perlawanan ini. Tottenham hanya mendapat 1 mata daripada 21 mata menentang pasukan top 4 (Chelsea, Man City, Liverpool, dan Arsenal) musim ini. Tottenham juga kurang tajam di hadapan gol dengan hanya 40 gol berjaya dijaringkan berbanding Liverpool dengan 84 gol (sebelum perlawanan). Walaupun Tottenham mempunyai rekod di tempat lawan yang baik setelah mendapat 29 mata (ke-3 terbaik liga), perlu diingatkan bahawa Liverpool juga sangat kebal di Anfield. Liverpool telah memenangi 14 daripada 16 perlawanan di tempat sendiri. Satu lagi faktor yang bukan faktor teknikal, tetapi lebih kepada mentaliti, ialah pertahan Tottenham gentar akan Suarez. Mereka jelas tidak gemar dan kelihatan gugup sekali sekala berdepan dengan penyerang dari Uruguay itu.
Liverpool bermain dengan penuh keazaman dan keyakinan. Antara 20 ke 30 minit pertama, Liverpool membuat tekanan di tempat lawan (high-pressing) secara konsisten. Antara kelemahan Tottenham ialah mereka cenderung membuat kesalahan individu di kawasan sendiri yang selalunya menghadiahkan peluang kepada pasukan lawan. High-pressing yang dilakukan Liverpool ini memaksa dan mengakibatkan pemain Tottenham banyak melakukan kesalahan individu. Dua daripada kesalahan tersebut telah memberi peluang kepada Liverpool menjaringkan 2 gol di separuh masa pertama. Ada juga satu kesalahan berjaya dibaca oleh Sterling yang membuat hantaran lintang kepada Suarez. Suarez hampir menjadikan kedudukan 3-0 tetapi tandukannya ditepis dengan hebatnya oleh hugo Lloris. Gol kedua Liverpool juga berpunca daripada kesalahan individu dilakukan Michael Dawson. Pujian juga harus diberikan kepada Suarez yang tidak pernah penat mengejar bola di kawasan lawan. Hasilnya, dia berjaya merebut loose ball yang turut dikejar Younes Kaboul. Penyudah Suarez pula sangat hebat. Dari jarak yang agak sukar, dengan menggunakan kaki kiri, dia berjaya meletakkan bola tepat di penjuru bawah gol melepasi jangkauan Lloris. Penyudah yang mengingatkan kita kepada Robbie Fowler, yang pernah memegang rekod penjaring liga terbanyak dalam satu musim untuk Liverpool dengan 28 gol. Gol Suarez itu telah memecahkan rekod Fowler kerana itu ialah gol ke-29 Suarez dalam liga musim ini.
| Team spirit yang semakin kuat. (liverpoolfc.tv) |
| Penyudah tajam Suarez. (liverpoolfc.tv) |
Walaupun dengan barisan yang bersifat menyerang dan mempunyai kepantasan, Liverpool tetap mengekalkan corak permainan possession football. 2 gol dalam perlawanan ini dihasilkan melalui gerakkan yang bermula di kawasan Liverpool. Gol pertama bermula apabila Liverpool mendapat kawalan bola 29 saat selepas perlawanan bermula. Hantaran-hantaran yang tenang dan sabar telah dilakukan oleh Liverpool. Coutinho berjaya melihat dan membuat hantaran kepada Sterling yang bebas di sayap kanan. Glen Johnson serta-merta membuat larian dan hantaran lintang ke dalam kotak penalti. Walaupun tidak dicabar, Jan Vertonghen dan Kaboul bukan sahaja gagal mengawal hantaran lintang tersebut, malah menjaringkan gol sendiri. Seperti yang dinyatakan, gol ini berpunca daripada kesalahan individu pemain Tottenham - tetapi juga bermula daripada patient build-up di kawasan Liverpool sendiri. 24 hantaran telah dilakukan sebelum hantaran lintang Johnson itu. Menarik juga untuk dinyatakan bahawa perlawanan Liverpool menentang Tottenham ialah perlawanan yang paling banyak menyaksikan gol sendiri dalam sejarah liga. Satu lagi gol sendiri telah dijaringkan memperkukuhkan statistik tersebut.
![]() |
| Pergerakkan gol. Gol pertama (atas) dan gol ketiga (bawah). (liverpoolfc.tv - Opta) |
Gol ketiga yang dijaringkan Coutinho juga sama seperti gol kedua tadi. Build-up bermula di dalam kotak penalti Liverpool dan turut melibatkan Simon Mignolet. Jon Flanagan bijak memperdaya pemain lawan dan seterusnya mara ke hadapan sebelum memberikan bola kepada Coutinho. Coutinho terus bergerak ke hadapan dan membuat percubaan dari luar kotak. Coutinho memang layak mendapat gol itu selepas mempamerkan persembahan yang baik dalam berberapa perlawanan baru-baru ini. Dalam perlawanan ini juga, dia juga beraksi dengan bagus. Di separuh masa pertama, dia cuba membuat 4 killer through-ball jarak jauh dari tengah padang. Walaupun tidak menjadi, idea Coutinho itu dapat dilihat. Mungkin itu adalah arahan daripada Rodgers yang mahu Coutinho membuat hantaran kepada rakan sepasukan yang membuat larian ke dalam kotak penalti. Dia digantikan pada minit ke-63 oleh Allen menandakan Liverpool mahu mengawal perlawanan dengan lebih baik. Liverpool lebih bertahan selepas Lucas Leiva masuk pada minit ke-69 menggantikan Gerrard. Penguasaan perlawanan Liverpool sangat baik. Sangat baik sehinggakan Mignolet, penjaga gol, membuat 20 hantaran tepat, 5 hantaran lebih berbanding penyerang Tottenham, Roberto Soldado dengan hanya 15 hantaran tepat.
![]() |
| Hantaran-hantaran Coutinho di kawasan serangan. (fourfourtwo.com) |
Bercakap mengenai Flanagan, dia bermain dengan cemerlang. Dia tenang mengawal pergerakkan Aaron Lennon dan Andros Townsend yang sangat pantas. Flanagan telah membuat 8 bentesan (5 berjaya) dan salah satunya bentesan penting menghalang Soldado daripada membuat percubaan ke arah gol. Gaya permainan yang agresif tetapi tenang, bijak membaca permainan, dan yakin membuat hantaran-hantaran mudah menyamai gaya permainan kapten Bayern Munich, Philipp Lahm. Malah, ada juga yang menyamakannya dengan lagenda Brazil dan AC Milan, Cafu. Cafu yang turut menyaksikan perlawanan ini menyatakan kekagumannya kepada persembahan Flanagan melalui Twitter. Tambah lagi, Flanagan tidak bermain di posisi utamanya. Flanagan juga menyumbang 1 assist dalam perlawanan ini. Seperti Flanagan, pemain-pemain muda Liverpool yang lain juga memberikan komitmen yang tinggi. Sterling, Jordan Henderson, Coutinho, dan Allen masing-masing memberikan sumbangan baik dalam perlawanan ini. Henderson berjaya mendapatkan 1 gol selepas sepakan percumanya terus memasukki gol. Yang menariknya ialah reaksi Suarez apabila bola menerjah jaring. Bukan sahaja dia serta-merta meraikannya (dengan gaya yang pelik) selepas jatuh, dia juga dengan segera menyatakan gol itu ialah milik Henderson. Jelas, apa yang utama baginya ialah pasukan bukan pencapaian individu.
![]() |
| Sumbangan Flanagan ketika bertahan. (fourfourtwo.com) |
Pemain terbaik perlawanan, Sterling menampilkan prestasi yang cemerlang dan telah mengundang bahaya kepada pasukan lawan. Sterling sangat bagus dan banyak membantu di bahagian serangan. Seperti dalam perlawanan di White Hart Lane, dia bergerak dengan pantas dan berani membuat gelecekkan. 5 take-ons berjaya dilakukannya disamping 2 hantaran lintang penting. Dia juga turut mencipta satu peluang baik kepada Henderson. Pertembungan menarik dapat disaksikan diantara Sterling dan dua lagi pencabar tempat dalam skuad England - Lennon dan Townsend. Kedua-dua pemain sayap Tottenham itu tidak dapat memberikan sumbangan yang sama hebat seperti yang dilakukan Sterling untuk Liverpool.
![]() |
| Take-ons dilakukan Sterling. |
![]() |
| Hantaran penting Sterling. (liverpoolfc.tv - Opta) |
Selain daripada kekuatan barisan serangan, Liverpool juga lebih teratur di bahagian pertahanan. Kesemua pemain termasuk pemain bukan pertahanan bersungguh-sungguh memastikan Tottenham tidak menjaringkan sebarang gol. Di kawasan sendiri, Liverpool membuat 12 bentesan, 4 interception, dan 5 hadangan. 2 hadangan yang dilakukan dalam kotak penalti tersebut sangat penting. Daniel Agger dan Martin Skrtel memberi reaksi yang bagus selepas dikritik kerana menampilkan persembahan yang agak 'malas' dalam berberapa perlawanan sebelum ini. Liverpool juga berjaya menghalang dan mengurangkan Tottenham daripada membuat percubaan dari luar kotak (kekuatan Tottenham). 3 halangan berjaya dilakukan. Pada masa yang sama, kekuatan Tottenham melalui hantaran lintang turut dikawal baik barisan pertahanan. Tidak termasuk sepakan sudut, kesemua 16 hantaran lintang Tottenham tidak menemui rakan sepasukan. Bukan sahaja pertahanan Liverpool bermain dengan baik, serangan Tottenham juga tidak begitu bahaya. Tanpa Emmanuel Adebayor, Tottenham bergantung kepada Soldado yang mempunyai musim yang sukar bermain di Liga Perdana Inggeris. Liverpool turut cemerlang bertahan dari hadapan (barisan serangan). High-pressing seperti yang dinyatakan banyak membantu terutama di separuh masa pertama - 9 recoveries dilakukan Liverpool pada separuh masa pertama dan 4 di separuh masa kedua di kawasan lawan.
![]() |
| Aksi bertahan Liverpool di kawasan sendiri. (liverpoolfc.tv - Opta) |
![]() |
| Percubaan Tottenham dan hantaran lintang yang gagal sepanjang perlawanan. |
![]() |
| Recoveries dilakukan Liverpool. Separuh masa pertama (atas) dan separuh masa kedua (bawah). (liverpoolfc.tv - Opta) |
Pemain Liverpool mempunyai mentaliti yang kuat dan keyakinan yang tinggi dalam perlawanan ini. Dalam temuramah sebelum perlawanan, Rodgers menyatakan bahawa harapan tinggi penyokong di Anfield boleh memberi tekanan kepada pemain dan mereka perlu lebih tenang mengawal tekanan ini. Pengurus Tottenham, Tim Sherwood turut memberi pandangan yang sama walaupun ia lebih kepada permainan minda kepada pemain Liverpool. Dengan persembahan yang baik ini, jelas pemain berjaya fokus kepada tugas dan tidak gemuruh untuk mendapatkan 3 mata penuh di kubu sendiri.
| Sokong padu The Kop. (liverpoolfc.tv) |
| Make us dream! (liverpoolfc.tv) |
Liverpool kini berada di tempat pertama liga. Jika menang kesemua baki 6 perlawanan, kejuaraan liga bakal menjadi milik Liverpool. Dua lagi baki perlawanan di Anfield sebelum perlawanan terakhir menentang Newcastle United ialah perlawanan menentang Chelsea dan Man City - perlawanan yang sangat penting. Tetapi, seperti biasa, fokus pasukan perlulah satu perlawanan demi satu perlawanan. Perlawanan seterusnya menentang West Ham di tempat lawan ialah perlawanan yang agak sukar. West Ham ialah pasukan yang menggunakan kekuatan fizikal dan memang kadang kala menjadi kelemahan Liverpool. Taktikal dan kekuatan pasukan tidak menjadi masalah. Hanya semangat juang dan tumpuan yang tinggi sangat diperlukan dalam pasukan untuk menempuhi baki perlawanan yang tinggal.










