Barclays Premier League - Perlawanan ke-22
Liverpool 2-2 Aston Villa
Weimann 25', Benteke 36', Sturridge 60', Gerrard (pen) 53'
18 Januari 2014. Anfield
Hilang 2 mata dan bukannya meraih 1 mata. Itulah persepsi pemain, pengurus, penyokong dan sesiapa sahaja yang berkait dengan Liverpool. Sebelum perlawanan, gandingan Suarez dan Sturridge dijangka akan mendominasi permainan. Sekurang-kurangnya 3 gol dijangka akan dijaringkan oleh Liverpool. Tetapi itu semua jangkaan. Siapa sangka Aston Villa berjaya mendapat mata di Anfield yang sememangnya menjadi kubu Liverpool untuk musim ini. 9 kemenangan dan 1 kekalahan dalam 10 perlawanan sebelum sepak mula - kedua terbaik selepas Manchester City.
Sejarah perlawanan lepas menunjukkan Villa gemar membuat kejutan apabila bertandang ke Anfield. Pernah Aston Villa menang 1-3 untuk dua musim di laman Liverpool; 2009/2010 dan 2012/2013. Tetapi, kebolehan Liverpool menjaringkan banyak gol memberi keyakinan kepada penyokong bahawa ia akan menjadi perlawanan yang mudah. Malang untuk Liverpool, sekali lagi Villa membuat kejutan dalam perlawanan ini. Serangan demi serangan Villa lancar sejak dari sepak mula. Kesalahan Brendan Rodgers dalam membuat percaturan taktikal juga merumitkan lagi keaadaan.
Setelah menyatakan kebolehan Gerrard bermain sebagai defensive midfielder atau deep-lying playmaker di sidang media berberapa hari sebelum perlawanan, Rodgers merialisasikan rancangannya. Lucas direhatkan dan Sturridge kembali di kesebelasan utama. Jelas sekali Liverpool sangat yakin dengan kekuatan barisan serangan dan mengambil risiko untuk bermain dengan 2 pemain tengah. Sukar untuk dipastikan apakah formasi sebenar yang digunakan Liverpool pada separuh masa pertama memandangkan pemain berselerak dan tidak tersusun akibat serangan bertalu pihak lawan. Berdasarkan pemerhatian, Liverpool menerapkan formasi 4-2-2-1-1 oblique, di mana pergerakan Liverpool lebih condong kepada belah kanan. Aly Cissokho di bek kiri mengisi kekosongan di sayap kiri ketika menyerang kerana Coutinho bergerak ke bahagian dalam apabila mendapat kawalan bola. Dalam perlawanan ini, pergerakan Glen Johnson terbatas. Johnson tidak dapat membantu serangan di kawasan lawan kerana terpaksa memastikan larian-larian pemain Villa dapat dihalang, terutama Agbonlahor di bahagian kanan Liverpool.
![]() |
| Kesebelasan utama (1st-half) Formasi 4-2-2-1-1 |
![]() |
| Formasi 2nd-half. 4-3-3 |
Berita malang buat Liverpool, Lucas telah cedera selepas berberapa minit dimainkan. Kecederaannya nampak sangat serius. Dia dijangka akan direhatkan untuk masa yang panjang lagi. Seperti yang ditekankan dalam artikel lepas, Liverpool teramatlah memerlukan defensive-midfielder yang baru untuk menggantikan Lucas jika mahu layak ke Liga Juara-juara musim hadapan.
Terdapat berberapa perkara utama dalam perlawanan ini:
1. Percaturan Rodgers gagal.
Rodgers yakin bahawa Gerrad mampu bermain sebagai deep-lying playmaker. Keyakinannya turut dikongsi Gerrard sendiri dan boleh dikatakan hampir semua penyokong juga. Perlawanan menentang Stoke City yang lepas membuktikan Gerrard boleh melakukannya. Tetapi, Aston Villa bijak mengambil peluang kelemahan Gerrard di posisi ini. Tambah lagi, hanya 2 pemain tengah yang digunakan Liverpool dan ini menjadikan barisan pertahanan tertedah kepada serangan pantas Villa. Deep-lying playmaker biasanya dapat bermain bagus jika pasukannya bermain dengan 3 pemain tengah. Ini membolehkan deep-lying playmaker ini kekal di kawasannya tanpa perlu bergerak jauh ke hadapan membantu serangan. Dalam kes perlawanan ini, Villa mendominasi bahagian tengah. Jelas Gerrard terkial-kial untuk mengawal perlawanan di kawasan sendiri. Tekanan konsisten dan serangan balas pantas Villa terlalu 'hebat' untuk pemain Liverpool tangani. Serangan dan build-up Liverpool juga mudah dipatahkan mengakibatkan Liverpool tidak langsung dapat menguasai permainan dan Villa kerap dapat kembali membuat serangan ke gol Liverpool. Ini juga menunjukkan pengurus Villa, Paul Lambert, lebih bersedia dari segi taktikal. Dia dapat menduga bahawa Rodgers akan menggantikan Gerrard di posisi Lucas dan mengambil kesempatan diatas kekurangan berisan tengah Liverpool.
![]() |
| Out of position. Gerrard gagal menghalang Weimann menjaringkan gol. |
2. Kekuatan serangan bukan penutup kelemahan pertahanan.
Hampir sama seperti hujah sebelum ini, percaturan Rodgers mendahulukan barisan hadapan berbanding pertahanan gagal. Liverpool menggunakan sepenuhnya kekuatan serangan. Suarez, Sturridge, Coutinho, dan Sterling diletakkan dalam kesebelasan utama. Lucas terpaksa dikorbankan sementara Gerrard mengisi posisinya. Di atas kertas mungkin menunjukkan taktikal Liverpool menjanjikan kemenangan selesa. Malangya, ia tidak dapat diterjemahkan di atas padang. Serangan Liverpool mudah dipatahkan dan bahagian tengah tewas kepada kawalan permainan yang baik oleh pemain Villa. Ini mengakibatkan barisan pertahanan terdedah dan terpaksa bekerja keras sepanjang separuh masa pertama.
3. Krisis barisan pertahanan.
Gandingan Skrtel dan Toure masih lagi tidak dapat mempamerkan persembahan pertahanan yang baik. Secara individu, kedua-dua pemain adalah bek tengah yang bagus. Skrtel sebagai contoh membuat purata clearance sebanyak 11.2 untuk setiap perlawanan (terbanyak di liga)*. Dia juga dikira sebagai bek tengah terbaik untuk Liverpool musim ini menurut statistik**. Toure pula mempunyai banyak pengalaman, bagus dari segi positioning, dan membaca pergerakan lawan. Tetapi, gandingan mereka tidak menjad jika dibandingkan jika Skrtel bersama dengan Agger atau Sakho. Johnson pula tidak menunjukkan persembahan yang memuaskan. Banyak perlawanan musim ini dia seperti hilang dan tidak banyak membantu serangan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan Johnson sejak dari awal musim. Lain pula ceritanya dengan Cissokho. Dia adalah pemain pinjaman dari Valencia. Gaya permainan yang kekok dan tidak meyakinkan, mendapat kritikan dan tomahan penyokong. Tetapi, sedikit pujian tetap perlu diberikan. Dia tidak berputus-asa cuba memberikan terbaik dengan larian-lariannya. Boleh dilihat dia berusaha untuk membantu seperti dalam perlawanan ini dan juga berberapa perlawanan lepas. Namun, dia tidak cukup bagus untuk Liverpool. Malah, Flanagan lebih baik bermain di posisi bek kiri berbanding Cissokho. Kecederaan memaksa Liverpool bermain dengan 4 pemain ini. Sakho belum cergas manakala Kelly masih tidak diyakini Rodgers. Liverpool sangatlah memerlukan Agger dan Enrique kembali cergas semula.
![]() |
| Pemain-pemain utama perlu menaikkan semangat rakan sepasukan. |
![]() |
| Sturridge merapatkan jurang. Gol ke-11 liga musim ini. |
4. Mignolet hilang keyakinan.
Pasti penyokong sudah mula resah dengan prestasi Mignolet baru-baru ini. Mignolet sekali lagi melakukan kesalahan yang mengakibatkan gol kepada pihak lawan. Minggu lepas, dia gagal membaca bola mudah pemain Stoke City. Mungkin boleh dikatakan kerapuhan pertahanan Liverpool secara tidak langsung membuat Mignolet hilang sedikit keyakinan. Pada awal musim, persembahannya sangat cemerlang. Walaupun masih boleh menyelamatkan percubaan-percubaan bahaya lawan, Mignolet mesti mempertingkatkan persembahannya dengan tidak melalukan schoolboy errors. Perlu diingatkan, kesalahan-kesalahan seperti itulah yang menyebabkan Reina tidak lagi dalam perancangan Rodgers walaupun Reina sebenarnya seorang penjaga gol yang berkualiti tinggi.
![]() |
| Gerrard menyelamatkan Liverpool. |
5. Sterling makin meningkat
Pemain muda Liverpool, Raheem Sterling, semakin mendapat keyakinan dan bermain dengan bagus. Sejak kemenangan 0-5 keatas Tottenham bulan lepas, Sterling mempamerkan persembahan yang mantap setiap minggu. Kini dia lebih berani menggelecek dan melepasi pemain lawan. Sterling dianugerahkan pemain terbaik perlawanan walaupun tidak menjaringkan sebarang gol. Dia antara berberapa pemain yang jelas menunjukkan kesungguhan dan keinginan untuk mengubah keputusan perlawanan. Permainan kemas ditunjukkan oleh bintang muda England ini. Dia menyempurnakan 29 hantaran dan hanya 1 hantaran tidak tepat. 2 hantarannya adalah hantaran penting disamping berjaya membuat 3 gelecekan. Displin taktikal Sterling juga patut dipuji. 2 interception berjaya dilakukan pada masa yang sama banyak membantu Johnson bertahan di bahagian kanan. Cuma, decision making Sterling perlu diperbaiki lagi dari masa ke semasa.
![]() |
| Statistik Sterling - Gelecekan berjaya, interceptions, & hantaran penting. (Opta) |
6. Pujian kepada karakter pemain
Ketinggalan 0-2 dalam masa 36 minit lazimnya merendahkan moral dan semangat pemain. Hanya pemain-pemain yang mempunyai mentaliti yang kuat boleh bangkit daripada situasi ini. Semangat kesepasukanan yang teguh juga menjadi faktor. Liverpool berjaya menunjukkan kedua-dua ciri tersebut dalam perlawanan ini. Walaupun tidak berjaya mendapatkan gol kemenangan, pujian tetap harus diberikan kerana dapat memperoleh 1 mata. Tambah lagi, Aston Villa sangat degil dan bermain dengan bagus.
Hilang 2 mata bermakna Everton dan Tottenham menghampiri Liverpool untuk tempat ke-4 liga. Sementara Arsenal, Man City, dan Chelsea sudah tentunya semakin menjauihi Liverpool. Liverpool juga perlu segera membaiki prestasi kerana Man Utd yang berada di kedudukan ke-7 bakal memperkuatkan pasukan dengan membeli Juan Mata dari Chelsea. Perlawanan liga seterusnya ialah Merseyside Derby menentang Everton. Perlawanan yang sangat penting bukan sahaja dari segi maruah, malah kedudukan liga yang semakin sengit. Sebelum itu, AFC Bornemouth akan melayan kunjungan Liverpool disaingan Piala FA Sabtu hadapan.
Sumber gambar: liverpoolfc.tv
Sumber statistik: *whoscored.com **squawka.com








