Kehebatan SAS Tamatkan Kemarau Kemenangan di Britannia Stadium

Barclays Premier League - Perlawanan ke-21
Stoke City 3-5 Liverpool
(Shawcross (o.g) 5', Suarez 32', Crouch 39', Adam 45',

Gerrard (pen) 51', Suarez 71', Walters 85', Sturridge 87')
12 Januari 2014. Britannia Stadium


Setelah 5 musim berturut-turut tanpa kemenangan liga di Britannia Stadium, Liverpool akhirnya berjaya menamatkan badi dengan menewaskan Stoke City 3-5 Ahad lepas. Seperti dijangkakan, perlawanan ini bakal menjadi perlawanan yang sukar. Walaupun Stoke tidak lagi diurus oleh Tony Pulis, kebanyakkan pemain yang ada masih lagi pemain yang sama sebelum pengurus dari Wales itu meninggalkan kelab. Gaya permainan 'direct football' yang keras dan kasar adalah taktik biasa Stoke terutama bermain ditempat sendiri.

Daniel Sturridge kembali selepas pulih daripada kecederaan tetapi berada di bangku simpanan sementara Luis Suarez terus mengetuai jentera serangan. Ketiadaan Agger yang cedera dan Sakho yang masih belum cergas memaksa Brendan Rodgers meletakkan Toure dan Srktel sebagai pertahanan tengah perlawanan ini. Pasangan Toure dan Skrtel sebenarnya merisaukan penyokong kerana ketidak serasian antara kedua-dua pemain. Mereka bukanlah pertahanan yang tidak bagus, tetapi setakat ini Skrtel tidak menujukkan persembahan yang konsisten manakala Toure bukan lagi sehebat seperti ketika dia bermain untuk Arsenal sepuluh tahun yang lepas. Pengalaman kedua-dua pemain ini sangatlah diperlukan untuk mengawal pergerakan Crouch dan Walters yang sememangnya sukar untuk dikawal jika Stoke bermain dan membuat hantaran-hantarn bola tinggi dengan baik.

Kesebelasan utama. Formasi 4-2-3-1

Liverpool bermula garang dan bermain dengan penuh komitmen untuk 40 minit pertama sebelum Crouch merapatkan jurang. Tekanan Liverpool yang berterusan awal permainan memaksa Stoke membuat dua kesilapan yang menghasilkan gol-gol Liverpool. Percubaan jarak jauh Cissokho terbias ke dalam gol setelah bola terkena badan Shawcross untuk gol pertama seawal minit ke-5. Kesilapan seorang lagi pertahanan Stoke, Wilson membolehkan Suarez menjaringkan gol kedua perlawanan. Liverpool juga memiliki berberapa peluang baik untuk menambah gol. Coutinho mendapat dua peluang keemasan tetapi tidak berjaya membuahkan hasil. Jelas penyudah Coutinho tumpul musim ini dan perlu diperbaiki.

Asakan demi asakan Stoke berjaya membuahkan hasil. Crouch berjaya mencari ruang untuk menanduk masuk menjadikan keputusan 1-2 pada minit ke-39. Minit ke-45, seorang lagi bekas pemain Liverpool, Adam, menyamakan kedudukan setelah Liverpool melepaskan bola di kawasan sendiri. Masalah pemain Liverpool yang tidak konsisten dan leka memakan diri sekali lagi. Bagi Stoke, mereka sudah pasti merasakan mereka patut mendapat kedua-dua gol setelah membuat banyak asakkan, lebih-lebih lagi menggunakan sepenuhnya kelebihan sepakan set-piece Adam. Dalam perlawanan ini, Stoke mendapat 11 sepakan sudut berbanding Liverpool yang hanya mendapat 2.


Gerrard bertugas sebagai defensive midfielder

Suarez meraikan gol dengan membuat gaya 'Hulk'

Kita boleh bayangkan keadaan dalam bilik persalinan setelah tamat separuh masa pertama. Rodgers sudah pasti memberi arahan dengan lebih tegas kepada pemain-pemain kerana tidak sepatutnya Liverpool memberi peluang kepada Stoke menyamakan kedudukan setelah Liverpool mendahului 2-0. Dapat dilihat pemain Liverpool kembali ke padang dengan lebih bersemangat. Tidak seperti biasa, kali ini kesemua pemain berlari memasuki padang dengan azam untuk memenangi perlawanan. Semangat Liverpool membuahkan hasil apabila Sterling berjaya mematahkan clearance pemain Stoke dan mendapatkan penalti. Ketua pasukan, Gerrard, tenang menyempurnakannya. Reaksi tidak putus asa Stoke sememangnya dijangka. Ini dibantu lagi dengan sorakan penyokong mereka tanpa henti, yang sememangnya menjadi faktor mengapa lawan sukar untuk mendapatkan kemenangan di Britannia Stadium.

Sturridge dimasukkan pada minit ke-66 untuk menambahkan lagi kekuatan serangan Liverpool. Liverpool pada ketika ini bergantung kepada counter-attack yang boleh dikatakan antara kekuatan pasukan musim ini. Tidak lama masa yang diambil Sturridge untuk memberi impak. Dia membuat larian ketika serangan balas dan membuat hantaran pendek yang baik mudah untuk Suarez terus membuat percubaan. Penyudah Suarez cukup mengkagumkan. Rendah dan tepat melepasi Butland. 4-2 Liverpool mendahului pada minit ke-71. Gol itu adalah gol ke-22 Suarez musim ini dalam 16 perlawanan - 1 gol lagi untuk menyamakan jumlah gol liganya musim lepas.

Gerrard menyempurnakan sepakan penalti

Suarez dan Sturridge merobek pertahanan Stoke City

Stoke kembali bangkit hasil jaringan Walters. Mignolet seolah-olah tidak bersedia dan bola berjaya melepasi celah tangannya. Bukan sahaja Stoke kembali bersemangat, mereka kembali bermain dengan lebih kasar dan banyak membuat tackle lambat. Minit ke-87 Sturridge menidakkan harapan Stoke untuk mendapat keputusan seri. Gol yang menarik oleh Sturridge selepas percubaan pertamanya berjaya diselamatkan dengan hebatnya oleh Butland. Siapa lagi jikalau bukan Suarez yang membuat hantaran tepat kepada Sturridge yang membuat larian. Gol ke-10 liga Sturridge musim ini dan gandingan SAS kembali menggegar! Tamat perlawanan, Liverpool menang 5-3 dan kembali berada di tempat ke-4 liga.

Perlawan ini ternyata sangat sukar untuk Liverpool. Memang tidak dinafikan Liverpool tidak bertahan dengan baik dan melepaskan 3 gol yang sepatutnya boleh dielakkan. Tetapi, pujian tetap harus diberikan kepada pemain. Bukan tugas yang mudah untuk mengawal pemain-pemain Stoke yang berbadan besar dan agresif. Statistik menunjukkan Liverpool berjaya membuat 23 tackles dan 49 clearances. 4 percubaan Stoke berjaya dihalang, disamping berjaya memaksa mereka membuat 5 percubaan dari luar kotak penalti, dan hanya 4 percubaan tepat daripada 13 percubaan.

Daripada segi kawalan permainan adalah seimbang dengan possession 49.1% (434 hantaran) oleh Liverpool dan 50.9% (412 hantaran) oleh Stoke. Cuma corak permainan yang berbeza jelas dapat dilihat dalam statistik. Liverpool lebih gemar membuat hantaran dan counter-attack manakala Stoke bergantung kepada kekuatan fizikal pemain.Sebanyak 51 hantaran lintang dilakukan oleh Stoke berbanding Liverpool dengan 10. Ariel-duels sememangnya kelebihan Stoke yang berjaya memenangi 62.5% duels berbanding Liverpool dengan hanya 37.5%.

Pujian harus diberikan kepada pemain Liverpool yang berjaya kembali fokus pada separuh masa kedua. Gerrard yang bermain agak teruk untuk 45 minit pertama bangkit selepas itu. Untuk perlawanan ini, sedikit perubahan dilakukan Rodgers. Kedudkan Gerrard lebih dalam berbanding Lucas yang diberi kebebasan untuk bergerak sedikit kehadapan bersama Henderson. Gerrard melakukan 4 tackles, 2 defensive blocks, dan 2 interceptions - persembahan yang memuaskan untuk seorang defensive midfielder. Tetapi, kualiti hantaran Gerrard untuk perlawanan ini agak teruk bagi seorang pemain seperti dia. Gerrard hanya menyempurnakan 75.9% daripada 58 hantarannya. Perubahan posisi ini dijangka akan terus dilakukan untuk Gerrard di masa yang akan datang sesuai dengan kebolehan fizikalnya ketika ini.

Statistik Gerrard menyekat pemain lawan

Pemain muda Liverpool, Sterling, menunjukkan permainan yang bagus. Lebih-lebih lagi lawannya pada perlawanan ini secara fizikalnya jauh lebih besar berbandingya. Sterling berjaya melakukan 4 gelecekan dan 3 key passes. Serangan Liverpool menujukkan keupayaan sebenar pasukan. 13 percubaan dilakukan dan 9 daripadanya tepat ke gol. Menjaringkan 5 gol di Britannia Stadium adalah satu perkara yang membanggakan memandangkan Stoke hanya bolos 7 gol di stadium ini sebelum perlawanan bermula. Perkara ini turut dipuji oleh pengurus ketika temubual selepas perlawanan dan juga pemilik Liverpool sendiri, John Henry, melalui Twitter.

Pemilik Liverpool yang jelas stoked dengan
persembahan Liverpool menentang Stoke.

Kemenangan ini meneruskan momentum dan persembahan baik Liverpool. Tambah lagi, 3 mata yang dikutip ini sangat penting kerana kesemua kelab yang berada dalam 7 terbaik liga turut menang perlawanan masing-masing. Minggu hadapan Liverpool kembali ke Anfield untuk menentang Aston Villa. Perlawanan ini adalah salah satu persembahan ditempat lawan yang membanggakan pada musim ini. Kembalinya gandingan Suarez dan Sturridge menggemberikan penyokong Liverpool dan sudah tentu memberi keresahan kepada pasukan yang bakal berdepan dengan mereka.

Sumber gambar: liverpoolfc.tv
Sumber statistik: Opta