Fokus Musim Perpindahan Bulan Januari

Musim perpindahan bulan Januari telahpun bermula. Kelab-kelab Liga Inggeris dan Eropah kini boleh melakukan urusan pembelian dan penjualan pemain. Musim lepas, tingkap perpindahan bulan Januari digunakan sebaiknya oleh Liverpool dengan menandatangani dua pemain yang kini menjadi pemain utama pasukan; Daniel Sturridge dan Philippe Coutinho.

Sturridge dibeli dari Chelsea dengan nilai £12 juta, manakala Coutinho menyertai Liverpool dari Inter Milan dengan nilai £8.5 juta. Kedua-dua pembelian ini dikatakan pembelian yang sangat berbaloi - bargain buy menurut media bola sepak di England. Ini kerana sumbangan pemain ini sangat besar dalam melonjakkan prestasi Liverpool penggal kedua musim lepas. Tidak dinafikan, pembelian Sturridge sedikit meragukan pada awalnya. Tetapi dia telah membuktikan mengapa dia mahukan posisi sebagai penyerang utama dalam pasukan. Coutnho pula berjaya menambat hati penyokong dengan skil, hantaran tepat, dan gaya permainan yang memukau.


Rodgers, Pascoe, dan scouting team bekerja keras
memastikan pembelian pemain adalah berbaloi
(liverpoolfc.tv)

Memandangkan Liverpool kini dalam prestasi yang sangat bagus dan menduduki tempat ke-4 liga, squad depth sangatlah diperlukan untuk mengharungi separuh lagi saingan liga. Kecederaan pemain-pemain utama ketika ini membuatkan Liverpool sedikit rapuh pada berberapa bahagian. Tiga posisi yang perlu diperkuatkan dengan pemain yang berkualiti; left-back, center midfield, dan winger.



Left-back (Bek kiri)

Dengan ketiadaan Enrique yang mengalami kecederaan agak lama, Liverpool tinggal dengan Cissokho dan Flanagan sebagai pilihan. Pada asalnya, Cissokho dipinjamkan sebagai pelapis sekiranya Enrique tiada. Tetapi Cissokho tidak berjaya menampilkan persembahan yang bagus untuk kekal dalam kesebelasan utama. Walaupun secara amnya, Cissokho boleh bermain dengan baik namun dia tidak cukup konsisten untuk mengikut rentak permainan Liverpool dan Liga Inggeris yang pantas. 

Flanagan berjaya mengisi kekosongan di posisi ini walaupun posisi sebenarnya ialah bek kanan. Flanagan menunjukkan persembahan yang cemerlang dan mendapat pujian dari pengurus, rakan sepasukan, dan penyokong. Dia berjaya menjaringkan gol ketika Liverpool membelasah Tottenham 5-0 di tempat lawan awal bulan lepas. Flanagan buat masa ini juga mengalami kecederaan dan terpaksa direhatkan untuk sekurang-kurangnya seminggu lagi. 

Mungkin Rodgers boleh meletakkan Johnson di posisi ini dan memasukkan Kelly sebagai bek kanan. Tetapi ini mungkin bukan pertukaran yang efektif. Taktikal Liverpool memerlukan seorang bek kiri (dan juga kanan) yang kental, selesa memegang bola, dan boleh membuat serangan. Yang paling penting sekali, mereka perlulah konsisten - kerap membuat serangan dan kembali ke posisi asal untuk bertahan. Tanpa konsistensi, posisi ini mudah dieksploitasikan oleh pihak lawan yang bermain dengan menggunakan kekuatan pemain sayap.


Center-midfield (Tengah)

Ketika ini, Liverpool mempunyai 4 pemain tengah; Gerrard, Lucas, Henderson, & Allen. Apa yang kurang disini ialah pelapis bagi Lucas sekiranya pemain Brazil ini cedera atau tidak berada dalam prestasi yang baik. Lucas bermain sebagai pemain tengah yang bertahan (defensive midfielder) atau lebih spesifik dalam taktikal Liverpool, sebagai anchorman. Posisi Lucas terletak dihadapan barisan pertahanan dan tidak bergerak jauh. Tugasnya mematahkan serangan dengan membuat tekanan secepat mungkin dan membaca pergerakan larian pihak lawan. Jika Lucas tiada, pemain tengah lain tidak cukup bagus untuk menjalankan tugas sebagai anchorman

Allen mungkin paling sesuai menggantikan Lucas. Tetapi dia tidak sekental Lucas dan secara semulajadinya dia bukanlah seorang pemain yang membuat bentesan dan asakan keras. Allen juga nampak lebih selesa apabila dapat mengisi ruang-ruang kosong di tengah padang untuk menerima dan membuat hantaran. Gerrard dan Henderson pula tidak mempunyai kemahiran bertahan seperti Lucas. Jika Gerrard 10 tahun yang lepas, ya, itu adalah posisi kegemarannya. Kini Gerrard tidak lagi boleh membuat larian deras dan bentesan keras yang kerap seperti dahulu. Tugasnya di padang lebih kepada memastikan bahagian tengah lancar dengan hantaran-hantaran dekat dan jauh sesuai dengan falsafah bola sepak yang diterapkan Rodgers. Henderson pula ialah seorang pemain tengah yang sesuai dipanggil sebagai all-rounder. Tugasnya bergerak keseluruh bahagian padang, membantu bahagian pertahanan dan juga serangan (box-to-box). 

Jadi, dapat dilihat masih belum lagi kukuh bahagian tengah Liverpool. Ini belum lagi dikira faktor kecederaan. Perlawanan menentang Tottenham dan Man City bulan lepas membuktikan gandingan Lucas, Allen, & Henderson boleh beraksi dengan cemerlang dengan ketiadaan Gerrard. Tetapi, kerapuhan gandingan ini terselah apabila menentang Chelsea selepas itu. Ini menunjukkan Liverpool memerlukan seorang lagi pemain tengah yang berkualiti untuk 'mencukupkan' kekuatan enjin pasukan.


Winger (Sayap)

Corak permainan Liverpool dibawah pengurusan Rodgers memerlukan pemain sayap yang boleh bermain berdekatan sideline dan membuat serangan ke dalam kotak penalti berbanding membuat hantaran lintang dari luar kotak. Taktikal ini adalah agak biasa bagi bola sepak moden dan lebih menyerlah bagi pasukan seperti Liverpool, Barcelona, dan Arsenal. Ini menjadi sebab utama mengapa Rodgers meminjam Moses dari Chelsea. Salah satu kelebihan Moses ialah menggelecek dan membuat larian ke dalam kotak penalti. Tetapi, seperti Cissokho, Moses tidak memberikan impak yang besar kepada pasukan. Dia hanya mampu menjaringkan satu gol setakat ini dan memanaskan bangku simpanan. Persembahan baik Coutinho dan Sterling tidak dapat ditandingi Moses yang mengecawakan rata-rata penyokong Liverpool. 

Selain tiga pemain ini, Liverpool hanya ada Luis Alberto sebagai pemain simpanan. Henderson yang juga boleh beroperasi sebagai wide-player kini berada mendapat rentak sebagai pemain tengah dan menjadi pemain utama di posisi tersebut. Jordan Ibe pula terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk dimasukkan dalam skuad senior. Sturridge dan Aspas pula lebih cenderung untuk bermain sebagai penyerang. Manakala kedudukan Suarez juga sebagai penyerang sudah tentu tidak akan disentuh oleh sesiapa setelah menjaringkan 20 gol setakat ini. 

Ternyata posisi ini memerlukan sekurang-kurangnya seorang lagi pemain yang bagus dan berpengalaman untuk mengukuhkan barisan serangan. Posisi ini juga mungkin menjadi keutamaan bagi Rodgers untuk ditambah baik dengan pemain baru. Menurut laporan banyak media di England, pemain Mesir, Mohamed Salah bakal menjadi pemain yang akan dibeli Liverpool. FC Basel dikatakan meminta sekurang-kurangnya £13 juta. Liverpool masih lagi berkira-kira untuk membayar sebanyak itu dan tidak mahu membayar lebih daripada nilai yang sebenar. Namun, Rodgers sudah pasti akan memastikan wang yang akan dikeluarkan setimpal dengan kemampuan yang boleh ditunjukkan oleh Salah atau pemain lain. 

Mohamed Salah bermain untuk FC Basel
(@MichaelRegan - Getty Image)

Apa yang penting ialah Liverpool perlu segera supaya tidak terlepas membeli pemain-pemain yang boleh membantu pasukan menduduki sekurang-kurangnya tempat ke-4 musim ini. Pada musim perpindahan pertengahan tahun yang lepas, Livepool terlepas berberapa pemain berbakat, terutamanya Christian Eriksen (Tottenham), Willian (Chelsea), dan Henrikh Mrhitaryan (Borussia Dortmund) kerana lambat untuk meyakinkan pemain tersebut untuk berpindah ke Liverpool disamping ragu-ragu untuk melaburkan wang yang banyak. Khabar angin terbaru mengatakan Salah bakal dipancing Zenit St. Petersburg. Liverpool perlu bertindak pantas agar pisang tidak berbuah dua kali. Pembelian pemain seperti Mohamed Salah ini berkemungkinan besar boleh membezakan samada Liverpool layak ke Liga Juara-juara UEFA musim hadapan atau tidak.