Anchorman, Lucas, & M'Vila

Defensive midfielderholding midfielderanchormanenforcerregista (deep-lying playmaker), atau apa sahaja nama yang diberi, posisi ini mempunyai satu tugas yang sama; bermain dengan lebih bertahan berbanding pemain tengah yang lain. Posisi ini sangat terkenal dan digunakan oleh banyak jurulatih bola sepak dalam sistem mereka. Tetapi posisi ini juga boleh disalah tafsir oleh sesetengah penonton bola sepak kerana fungsi pemain yang bermain di posisi ini sukar difahami - dikritik kerana tiada sumbangan assist atau gol.

Tidak dapat dipastikan sejak bila posisi ini mula digunakan, tetapi ia mula mendapat perhatian apabila Claude Makelele bermain untuk Chelsea di bawah kendalian Jose Mournho. Tugas Makelele sebagai defensive-midfielder ialah mematahkan serangan, membuat pressing dan interception di kawasan sendiri, membuat hantaran-hantaran mudah untuk memastikan kelancaran permainan, dan juga memberi bantuan kepada barisan pertahanan. Tugas Makelele sememangnya penting kepada pasukan sehinggakan Real Madrid terasa kehilangannya apabila dia berpindah ke Chelsea pada tahun 2003. Kehebatannya mendapat banyak pujian sehinggakan gelaran 'Makelele role' tercipta untuk posisi ini. Antar defensive-midfielder yang terkenal ketika ini ialah seperti Sergio Busquet (Barcelona), Michael Carrick (Man Utd), Javi Martinez (Bayern Munich), dan Sami Khedira (Real Madrid).

Makelele menjadi tunjang utama kejayaan
Chelsea untuk 5 musim. (Reuters)


Di Liverpool, Lucas Leiva bertindak sebagai defensive-midfielder. Dia dididik oleh Rafa Benitez walaupun pada asalnya dia bermain lebih kepada box-to-box midfielder. Dia mula bermain di posisi ni pada musim 2008/2009. Tetapi dia dikritik hebat oleh penyokong Liverpool kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik. Tambah lagi, tidak semua faham fungsi defensive-midfielder ketika itu sehinggalah Barcelona yang diurus oleh Pep Guardiola menempah nama dengan mendominasi bola sepak Eropah. Taktikal dan peranan pemain-pemain mula mendapat perhatian, terutama Sergio Busquet yang menjadi tonggak utama Barcelona dan juga Sepanyol - menjuarai Piala Duina 2010. Peranan defensive-midfielder dalam pasukan mula mendapat perhatian, begitu juga dengan Lucas di Liverpool. Musim-musim seterusnya, Lucas mula mempamerkan persembahan yang baik selepas perpindahan Alonso ke Real Madrid dan Mascherano ke Barcelona (Ogos 2010). Kini, Lucas dianggap sebagai pemain yang penting dalam kesebelasan utama. Tanpanya, barisan pertahanan lebih terdedah kepada serangan. Lebih-lebih lagi jika pemain lawan mempunyai playmaker yang kreatif dan berkebolehan bermain di kawasan antara pertahanan dan pemain tengah lawan (the hole). Lucas juga kini terkenal sebagai salah seorang pemain terbaik membuat bentesan di Liga Perdana Inggeris.

Lucas tidak gentar membuat bentesan dan asakan agresif.
(Niall Carson/PA Image)

Selain Lucas, Liverpool hanya mempunyai Joe Allen di posisi ini. Allen bukanlah defensive-midfielder yang natural. Walaupun dia gemar menerima bola di kawasan sendiri sebelum membuat hantaran, membuat bentesan-bentesan keras dan mematahkan serangan bukanlah kehebatannya. Ini kerana dia tidak mempunyai kekuatan fizikal seperti pemain lain. Tetapi, dia masih boleh beroperasi di posisi ini. Dia mempunyai kebolehan membaca permainan, mengawal bola, dan menghantar hantaran-hantaran kemas menggunakan kedua-dua belah kaki.

Steven Gerrard mungkin boleh bermain di posisi defensive-midfielder. Tetapi tugasnya mungkin sedikit berlainan berbanding Lucas. Gerrard boleh diberikan sedikit kebebasan untuk membuat hantaran-hantaran yang lebih pelbagai kerana dia mempunyai kelebihan itu. Pemain seperti ini digelar deep-lying playmaker dan juga berperanan untuk mengawal tempo permainan. Contoh pemain; Andrea Pirlo (Juventus) dan Xabi Alonso (Real Madrid).

Liverpool pernah memiliki Gerrard, Alonso,
Mascherano, Lucas, dan Sissoko sebagai
pemain tengah pasukan.*
Liverpool kekurangan pemain di bahagian tengah. Seperti yang difokuskan dalam artikel lepas, Liverpool perlu menandatangani seorang lagi pemain tengah untuk 'melengkapkan' enjin pasukan. Khabar angin mengatakan Yann M'Vila bakal dibeli oleh Rodgers . Defensive-midfielder Perancis ini yang bermain untuk FC Rubin Kazan pernah menjadi sasaran Arsenal pada pertengahan tahun lepas. Tetapi, ini hanyalah khabar angin. Jika ia menjadi kenyataan, barisan tengah Liverpool menjadi lebih kental dan mungkin menjadi pasukan pilihan untuk layak ke Liga Juara-juara Eropah musim depan.

Yann M'Vila boleh menambah kekuatan Liverpool.
(Mike Hewitt/Getty Image)

*Sumber gambar tidak diketahui