10 Perlawanan Terbaik 2013/2014 - Bahagian 1

Musim 2013/2014 yang telah melabuhkan tirainya Ahad lepas penuh dengan pengalaman pahit manis buat Liverpool. Musim yang sangat membanggakan di samping kekecewaan di saat-saat akhir. Banyak perlawanan-perlawanan hebat yang pasti akan diingati penyokong. Mari kita lihat kembali 10 perlawanan terbaik musim 2013/2014 ini.

Bahagian 1 

10. Liverpool 1-0 Stoke City (Anfield, 17 Ogos 2013, *BPL P1)
Perlawanan pertama musim 2013/2014 yang memulakan segala-galanya. Liverpool terpaksa bermain tanpa kelibat Luis Suarez yang masih menjalani hukuman penggantungan perlawanan ketika itu. Daniel Sturridge menjadi harapan utama di barisan serangan. Dia tidak mengecewakan dan berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan. Detik penting perlawanan ialah ketika Simon Mignolet menyelamatkan penalti Stoke City di minit-minit akhir permainan. Ia seolah-olah menjadi titik tolak perjuangan hebat Liverpool musim ini.

Mignolet menjadi hero menyelamatkan penalti minit akhir Stoke.
(ibtimes.com/Reuters)

9. Liverpool 5-1 Norwich City (Anfield, 4 Disember 2013, BPL P14)
Di atas kertas, memang ia adalah satu perlawanan yang mudah buat Liverpool. Dan ia turut dibuktikan Liverpool di atas padang. Memang kalau dibandingkan dengan perlawanan seperti menentang Fulham, West Ham, Cardiff City, dan Norwich City sendiri di tempat-tempat lawan, perlawanan ini tidaklah begitu mendebarkan berbanding yand disebut. Tetapi, ada satu sebab mengapa perlawanan ini dipilih - 4 gol oleh Suarez. Penyerang Uruguay ini sudah menjadi seperti "nemesis" kepada Norwich dengan bilangan gol yang banyak menentang mereka sebelum ini. Dan dalam perlawanan ini, dia sekali lagi merobek pertahanan mereka. Kesemua 4 gol yang dijaringkannya cukup hebat; terutama gol pertama iaitu half-volley dari jarak lebih kurang 35 ela, dan gol ketiga yang mempamerkan skill individunya yang memukau. Suarez meneruskan prestasi hebatnya musim ini dengan 31 gol liga keseluruhan.

Half-volley memukau dari jarak 35 ela. (independent.co.uk)
8. Liverpool 4-0 Tottenham Hotspur (Anfield, 30 Mac 2014, BPL P32)
Tottenham tiba untuk perlawanan ini dengan rekod di tempat lawan yang bagus dan berada di bawah bimbingan Tim Sheerwood yang tampak berjaya mengembalikan prestasi baik mereka. Namun, Liverpool mempunyai misi untuk menerajui takhta liga selepas Man City dan Chelsea gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan mereka sebelum itu. Pada masa yang sama, Liverpool mahu meniru aksi mereka di White Hart Lane pada bulan Disember. Ternyata misi Liverpool berjaya. 4 gol tanpa balas di hadapan penyokong sendiri. Tottenham jelas gementar berhadapan barisan serangan Liverpool. Awal-awal lagi mereka melakukan berberapa kesalahan yang berjaya dihukum penyerang Liverpool yang diketuai Suarez. Ternyata Liverpool berada di satu tahap yang lebih tinggi berbanding Tottenham musim ini. Menarik jika difikirkan, kerana Tottenham dikatakan pencabar utama untuk slot ke Liga Juara-juara Eropah. Pada masa yang sama, mereka telah "merampas" Dempsey, Sigurdsson, dan Eriksen dari Liverpool.

Barisan pertahanan Tottenham tidak mampu menandingi Suarez.
(David Rawcliffe/Propaganda Photo)

7. Stoke City 3-5 Liverpool (Britannia Stadium, 12 Januari 2014, BPL P21)
Perlawanan ini ialah di antara perlawanan-perlawanan di tempat lawan yang sukar tetapi berjaya dimenangi Liverpool. Dan sememangnya semua orang tahu bagaimana sulitnya untuk mendapat sebarang mata di Britannia Stadium. Tambahan lagi, corak permainan Stoke City sering menjadi punca kekalahan Liverpool kepada mereka. Namun, Liverpool telah berjaya menamatkan kemarau kemenangan di tempat lawan ini. Kemenangan terletak kepada gandingan Suarez dan Sturridge yang cukup mantap. 2 gol terakhir perlawanan ialah hasil daripada persefahaman baik dan ketajaman mereka di hadapan gol. Bukan itu sahaja, Stoke City memang sukar dibolosi bermain di tempat sendiri. Dalam satu perlawanan sahaja, Liverpool berjaya mendapatkan 5 gol menentang mereka. Satu halangan yang sangat sukar berjaya dilepasi Liverpool menandakan prestasi hebat pasukan ketika itu. Tiada siapa menyangka kedua-dua perlawanan liga menentang Stoke City akan menjadi perlawanan yang seronok untuk ditonton. Tiada siapa juga yang menyangka Aly Cissokho berjaya menjaringkan gol untuk Liverpool!

Unstoppable SAS! (sportskeeda.com)
6. Liverpool 1-0 Manchester United (Anfield, 1 September 2013, BPL P3)
Kemenangan menentang musuh ketat ini ialah salah satu daripada dua kemenangan membanggakan yang diperolehi Liverpool musim ini. Saingan liga ketika perlawanan ini berlangsung baru sahaja bermula dan memasukki minggu ke-3. Man Utd ketika itu masih lagi dikira sebagai pencabar utama kejuaraan. Mereka belum lagi mempamerkan prestasi hambar dan menjadi bahan ketawa penonton Liga Inggeris. Jadi, ia telah menjadi satu perlawanan yang penting buat kedua-dua pasukan. Perlawanan seperti biasa menjadi sengit. Steven Gerrard mempamerkan ketegasannya ketika berbalah dengan Robin Van Persie. Liverpool mendapat gol awal hasil jaringan Sturridge. Selepas gol itu, Liverpool bertahan dengan baik dan membuat berberapa serangan balas. Martin Skrtel dan Daniel Agger menajadi tunjang utama kekebalan pertahanan Liverpool. Seperti dalam dua perlawanan sebelum itu, Liverpool berjaya melepasi minit-minit akhir yang mendebarkan dan telah mempertahankan 1 gol tersebut. Kemenangan ini memberi gambaran perbezaan kekuatan kedua-dua pasukan sepanjang musim. Perlu diingatkan juga, Liverpool telah bermain tanpa Suarez dalam perlawanan ini dan 4 perlawanan yang lain. Dendam kekalahan "tidak adil" musim lepas di Anfield berjaya dibalas.

Sturridge menanduk gol tunggal perlawanan. (BBC Sport/PA)

Nantikan bahagian kedua artikel ini. Dapatkah anda mengagak perlawanan manakah yang akan mengisi senarai 5 perlawanan terbaik musim 2013/2014? Nyatakan perlawanan-perlawanan tersebut di ruang komen di bawah.

*BPL=Barclays Premier League. P=Perlawanan

Leave a Reply