Musim Baru Bermula Dengan Kemenangan

Liga Perdana Inggeris - Perlawanan 1
Anfield. 17 Ogos 2014
Liverpool  2 - 1 Southampton
(Sterling 23', Clyne 56', Sturridge 79')

Musim 2014/2015 telahpun bermula! Liverpool bertemu Southampton di Anfield untuk perlawanan pertama liga musim ini. Sama seperti musim lepas, Liverpool menempah kemenangan melalui perlawanan yang agak sukar. Raheem Sterling menjaringkan gol pertama sebelum Nathaniel Clyne menyamakan kedudukan selepas rehat. Sturridge menjadi wira dengan gol kemenangan 11 minit sebelum wisel penamat.

Sterling menjaringkan gol pembukaan. (liverpoolfc.com)
Selepas mencuba berberapa formasi dan kombinasi pemain ketika pra-musim, Brendan Rodgers memilih unuk menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam perlawanan ini. Formasi ini sama dengan yang digunakan dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Borussia Dortmund 2 minggu lepas yang berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat Liverpool. Hanya satu perubahan berlaku, iaitu Emre Can (yang dilaporkan mengalami sedikit kecederaan) digantikan dengan Lucas Leiva. Ini bermakna, 2 defensive-midfielder, Steven Gerrard dan Lucas, menyokong barisan pertahanan dan pemain tengah yang lain. Walaupun begitu, formasi 4-2-3-1 ini lebih fleksible. Formasi boleh bertukar menjadi 4-1-2-3 atau 4-3-3 mengikut keadaan. Daniel Sturridge menjadi sandaran utama di bahagian hadapan selepas pemergian Luis Suarez ke Barcelona.


Kesebelasan utama. Formasi 4-2-3-1.

Kurang ancaman
Separuh masa pertama Liverpool berjaya mendahului perlawanan 1-0. Corak permainan kedua-dua pasukan tidaklah begitu menarik. Liverpool kurang mengancam di kawasan serangan (attacking third), tetapi tersusun ketika bertahan. Southampton juga tidak berkesan ketika menyerang dan hanya tampak bahaya melalui sepakan sudut. Perkara ini sudah dijangka kerana Liverpool menggunakan 2 defensive-midfielder. Tambahan lagi, Lucas tidaklah begitu selesa bergerak kehadapan dan menyebabkan majoriti serangan Liverpool terbatas dengan menggunakan 4 pemain sahaja (tidak termasuk bek kanan dan kiri yang menyokong). Tekanan ketika tanpa kawalan bola (off-the-ball pressing) kedua-dua pasukan juga cukup baik.

Gol Sterling
Pemain sensasi muda Liverpool, Sterling, memecah kebuntuan pada minit ke-23. Dia tenang meletakkan bola rendah ke kanan gol untuk gol pertama. Gol ini adalah hasil daripada kerja keras Jordan Henderson di bahagian tengah. Henderson merampas bola di kawasan sendiri, membuat bentesan yang baik, dan menghantar bola lambung cantik ke arah larian Sterling. 

Gol tersebut memang cukup baik. Namun, daripada sudut pandangan Southampton, mereka pasti kecewa dengan cara mereka bertahan. Kedua-dua pertahanan terakhir mereka tidak mengawal Sterling dengan cukup ketat. Jika mereka berada di kedudukan yang betul sebelum bola dihantar, sudah pasti mudah sahaja bola tersebut dipintas atau sekurang-kuranya dapat menutup larian Sterling. Pada masa yang sama, penjaga gol Southampton, Fraser Forster, sepatutnya membaca arah tuju bola dan dengan segera meluru ke arah Sterling untuk menutup sebarang ruang.

Sebaliknya pula, Mignolet menjaga gol Liverpool dengan cemerlang. Selain daripada 2 tepisan yang hebat, dia juga sentiasa berada di tempat yang betul di kawasannya. Pada satu ketika di separuh masa pertama, dia cepat keluar untuk mengutip bola hasil lorongan pemain Southampton yang dilihat boleh menghasilkan gol. Ini berbeza dengan situasi Forster ketika gol Sterling.


Bercakap tentang pertahanan, bek kanan yang dipinjamkan dari Altletico Bilbao, Javi Manquillo bermain dengan sangat bagus. Dia pantas, agresif, dan cepat menutup ruang, walaupun diberi tekanan oleh Ryan Bertrand dan Dusan Tadic sepanjang perlawanan. Seorang lagi pemain baru, Dejan Lovren, juga beraksi baik bergandingan dengan Martin Skrtel. Walaupun dibolosi 1 gol, secara keseluruhan gandingan mereka nampak kental dan berpotensi menjadi lebih bagus. Hanya persembahan Glen Johnson sahaja yang masih tidak memuaskan hati penyokong. Lebih-lebih lagi kali ini dia bermain di bek kiri yang menyebabkan kebolehannya terbatas dan pergerakkannya nampak janggal.

Hilang fokus selepas rehat
Southampton berjaya menyamakan kedudukan 11 minit memasuki separuh masa kedua. Gol dijaringkan oleh Clyne yang bijak membuat larian melepasi barisan pertahanan. Ada 2 pemain Liverpool sepatutnya melakukan lebih baik untuk menghalang gol ini. Lucas terutamanya bertanggungjawab memastikan pemain-pemain tengah Southampton tidak bebas memasukki kotak penalti. Begitu juga dengan Gerrard, kerana itulah fungsi mereka sebagai defensive-midfielder. Lucas dilihat kaku melihat bola di kawal pemain Southampton dan tidak menyedari Clyne yang membuat larian di belakangnya. Gerrard mungkin berada sedikit jauh daripada bola dan tidak boleh dipersalahkan. Skrtel juga sepatutnya melakukan covering untuk Lovren. Kedudukannya terlalu jauh dengan pasangan pertahanannya mengakibatkan dia tidak sempat untuk menghalang Clyne. Jika Skrtel bergerak 2 langkah ke arah Lovren sebelum lorongan dibuat, pasti sukar untuk Clyne membuat percubaan terus. Perkara yang hampir sama berlaku berberapa minit selepas itu. Tetapi Skrtel dan Johnson berjaya menghidu ancaman dan menghalang percubaan pemain lawan.

Gol ini juga berlaku ketika Southampton mendominasi perlawanan dengan baik selama 15 minit selepas rehat. Liverpol hilang tumpuan dan diasak berberapa kali. Southampton hampir mendahului tetapi percubaan Steven Davis tepat ke arah Mignolet. Masa untuk Liverpool bangkit. Penyokong di Anfield juga kedengaran sangat bising, mahukan pasukan lebih bertenaga dan menyerang kubu lawan. Joe Allen dimasukkan menggantikan Lucas pada minit ke-63 dan Liverpool kembali mengatur rentak.

Lucas tidak mempamerkan permainan yang baik. Pada awal perlawanan, dia kelihatan tenang dan rajin membuat tekanan kepada setiap pemain lawan di hadapannya. Selepas sahaja rehat, aksinya kurang cemerlang. Dia membuang kawalan bola 2 kali dengan hantaran yang tidak tepat, sebelum gol penyamaan Southampton. Tetapi memang jelas, sejak musim lepas lagi, gandingan Gerrard dan Lucas kurang menjadi. Ini kerana Gerrard sudahpun menyesuaikan diri dengan bermain sebagai anchorman, manakala Lucas pula tidak cukup pantas dan yakin untuk membantu serangan. Lucas lebih selesa berada di posisi di mana Gerrard berada. Mungkin ada baiknya jika Liverpool kembali bermain dengan seorang defensive midfielder, samada Gerrard atau Lucas, tetapi tidak secara bersama. Lebih-lebih lagi, penggunaan 2 defensive-midfielder tidak pun membantu dengan efektif dalam perlawanan ini. Mungkin berberapa bulan yang akan datang barulah taktikal ini menjadi selepas menjalani lebih banyak latihan.

Pemain gantian menjadi
Rodgers memasukkan Allen dan Rickie Lambert ketika kedudukan masih 1-1. Allen terutamanya telah mengubah tempo permainan Liverpool. Kebolehannya mengisi ruang-ruang kosong dan pantas bergerak kehadapan membolehkan Liverpool mengawal kembali bahagian tengah. Dia juga sangat bersemangat untuk membantu pasukan mendapatkan gol kemenangan. 

Kemasukkan Lambert menambah bilangan pemain di bahagian serangan. Perkara ini turut dijelaskan Rodgers dalam temuramah selepas perlawanan. Lambert kemas mengawal bola dan kental merebut bola tinggi. Southampton terpaksa mengawal dua penyerang setelah Lambert dimasukkan. Ini membolehkan Henderson, Allen, Manquillo, dan Johnson bergerak lebih kehadapan. Malah, Gerrard juga pada satu ketika berjaya membuat larian ke dalam kotak penalti jauh meninggalkan posisi asalnya. 

Hasilnya, gol kemenangan berjaya diperoleh pada minit ke-79. Bola tinggi melalui clearance yang kurang kemas pertahanan Southampton berjaya disambar Sterling. Reaksi Sterling cukup pantas untuk melonjak dan menanduk bola tersebut ke hadapan berbanding pemain lawan. Sturridge berjaya menghidu peluang menerpa ke arah bola untuk gol pertamanya musim ini. Southampton turut memunyai peluang keemasan untuk 1 mata. Percubaan mereka ditepis hujung jari Mignolet dan terkena palang. Perbezaan kecil seperti inilah yang selalunya membezakan dua pasukan yang beraksi sama bagus.

Reaksi pantas Sturridge menjaringkan gol kemenangan. (liverpoolfc.com)

Berjaya bertahan
Seperti menentang Stoke City dalam perlawanan pertama liga musim lepas, Liverpool terpaksa menempuhi minit-minit akhir perlawanan dengan penuh debaran. Asakkan Southampton berjaya dikekang dan 3 mata menjadi milik Liverpool selepas tamat perlawanan.

Persembahan Liverpool tidaklah begitu hebat, tetapi cukup untuk mendapatkan kemenangan penting. Muka baru, Manquillo dan Lovren beraksi dengan baik. Sterling, Henderson, dan Mignolet adalah pemain-pemain utama yang cemerlang dalam perlawanan ini, termasuk Gerrard. Selepas melalui Piala Dunia yang mengecewakan, Gerrard membuktikan dia masih lagi mampu untuk menampilkan aksi terbaik di peringkat tertinggi. Dia banyak membuat pelbagai jenis hantaran dan nampak cergas sepanjang permainan. Diharap Gerrard dapat mengekalkan prestasi sebegini di masa akan datang. Walaupun begitu, pemain berpengalaman, Johnson dan Lucas dilihat tidak mempunyai hari yang begitu baik.

Pemain terbaik perlawanan, Sterling, melakukan 7 take-ons (5 menjadi).
(Squawka)

Perlawanan seterusnya ialah cabaran getir menentang penyandang juara, Man City di tempat mereka. Diharap penyokong dapat melihat kelibat pemain-pemain baru, iaitu Alberto Moreno, bek kiri yang dibeli dari Seville. Mungkin juga seorang penyerang baharu? Siapakah dia, sama-sama kita nantikan.

Markah pemain (maksimum=10)
Mignolet = 8
Manquillo = 7
Skrtel = 6
Lovren = 7
Johnson = 5
Gerrard = 7
Lucas = 5
Henderson = 8
Coutinho = 6
Sterling = 8
Sturridge = 7

p.s: Jangan segan untuk memberi pandangan dan bertukar pendapat di ruangan komen. Kongsi artikel dan blog ini dengan rakan-rakan yang lain! YNWA

Leave a Reply