Salam sejahtera semua!
Tinggal satu bulan setengah sahaja lagi sebelum kita nak masuk tahun baru. Sedar tak sedar, dah suku musim kita menonton liga Eropah. Di Malaysia, saingan liga dan Piala Malaysia dah pun tamat. Sekarang ni, tumpuan kita semua pada Piala Suzuki AFF 2014 yang akan bermula dalam berberapa hari lagi. Blog ni pun dah lama tak mengeluarkan artikel baru oleh kerana saya agak sibuk dengan tugas peribadi.
Jadi, macam mana perasaan anda semua sekarang ni, terutama rakan-rakan penyokong Liverpool kat luar sana tu? Kecewa betul kita dengan Liverpool musim ni kan. Prestasi musim lepas dengan musim ni jauh berbeza. Semua tak mengena. Habis semua individu kita tudingkan jari, siapa yang salah. Yang paling teruk kena ialah Brendan Rodgers. Steven Gerrard dan berberapa pemain utama lain pun tak lari daripada tomahan. Penyokong dah mula muak. Ramai juga yang nak Rodgers dipecat, walaupun tu bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Pada masa yang sama, mulalah kita nak pemain itu ini dan jurulatih baru dibawa masuk seolah-olah mereka boleh mengubah nasib pasukan serta merta. Tapi ini perkara biasa yang berlaku bila prestasi pasukan tak bagus. Kita perlu bersabar. Masih ada perkara positif yang dapat kita ambil daripada keadaan sekarang ni. Teruskan sokongan. Saya secara peribadi mempercayai sepenuhnya Rodgers. Kita perlu beri dia peluang untuk memperbaiki keadaan. Situasi masih belum parah. Kita jangan cepat lompat keluar dari kapal yang hanya mengalami sedikit kerosakan. Kapal kita masih elok terapung, cuma tidak bergerak dengan baik (tudia metafora).
| Dejected Liverpool. (thisisanfield.com) |
Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia kita pulak masih terumbang ambing. Tak banyak perubahan sejak kali terakhir kita memenangi Piala Suzuki AFF 4 tahun yang lepas. Dato' K.Rajagobal gagal bawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Kali ni, Dollah Salleh diberi kepercayaan untuk mengemudi Malaysia di saingan AFF yang akan datang. Setakat ni, dia belum dapat memenangi hati penyokong Harimau Malaya. Kalah demi kekalahan dialami pasukan. Pemilihan pemain untuk skuad yang bakal di bawa ke Singapura juga kurang meyakinkan. Susah untuk kita menunjukkan sikap positif kepada Dollah Salleh buat masa ini. Tapi, seperti Rajagobal sebelum ini, lagi rendah harapan kita kepada mereka, lebih baik. Mungkin Malaysia mampu buat kejutan. Siapa tahu? Walaupun saya meragui akan kemampuan mereka, saya tetap mengharapkan mereka dapat membuktikan saya dan pengkritik yang lain salah. Selamat berjaya Harimau Malaya!
| "Jika anda gembira tepuk tangan." (rakyatnews.my) |
Dalam nota ini, saya juga ingin menyatakan hala tuju blog ini. Seperti yang anda dapat lihat, nama blog ni sudahpun ditukar daripada The Kop Football kepada Kop Football. Tak banyak perubahan pun. Dan majoriti artikel masih juga tentang Liverpool, artikel lain berkaitan Liga Malaysia dan bola sepak secara umum juga akan turut dimuatkan. Saya juga bercadang untuk menulis artikel yang berkaitan seperti cara memilih kasut bola, latihan dan exercises untuk tingkatkan tahap kesihatan, tip-tip pemakanan, produk sukan, ulasan buku, dan lain-lain yang bersesuaian. Pada masa yang sama, "nada" blog ini juga akan lebih mesra dan tidak menyerupai penulisan di akhbar atau majalah. Jadi, penggunaan "bahasa pasar" akan bertambah dalam artikel-artikel. Seperti sebelum ini, blog ini masih diuruskan oleh seorang penulis, iaitu saya seorang. Kekerapan artikel bergantung kepada kemampuan saya menulis mengikut jadual saya sendiri - ada masa banyak, ada masa sedikit artikel dapat ditulis dalam satu minggu.
Diharap semua pembaca dapat terus kembali untuk membaca artikel-artikel. Jangan segan silu untuk memberi pendapat, dan membincangkan topi berkaitan di ruang komen. Saya pasti akan membalas komen-komen anda semua. Dengan cara ini, kita boleh menjadi penyokong & penonton bola sepak yang lebih bagus. Seperti yang kita sering dengar, "football is more than just a game".
Selamat membaca dan have a good day!

