This entry is written in Malay. English version will be posted soon.
Saingan Pesta Bola Merdeka 2013 telah pun bermula pada Sabtu lepas. Kejohanan kali ini desertai 4 pasukan negara bawah 23 tahun; Malaysia, Thailand, Singapura, & Myanmar. Pesta Bola Merdeka (Merdeka Tournament) ini pada mulanya dianjurkan di Kuala Lumpur setiap tahun bermula dari tahun 1957 sempena kemerdekaan negara kita. Pelbagai pasukan dari serata dunia pernah dijemput untuk menyertai kejohanan ini. Namun, hanya 4 pasukan tersebut yang dapat menyertai edisi kali ini. Ini pun sudah dikira baik memandangkan Pesta Bola Merdeka tidak dianjurkan pada 2009 sehingga 2012. Berbeza dengan sebelum ini, kejohanan kali ini diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, dan bukannya di Kuala Lumpur mahupun Selangor. Ini sudah tentu berikutan masalah kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil dan pihak penganjur mahu memberi peluang untuk peminat bola sepak Malaysia di Pantai Timur terutama Pahang, untuk turun ke stadium dengan lebih mudah. Tambahan lagi, kualiti padang di Stadium Darul Makmur ditahap terbaik dan dijaga dengan rapi. Mungkin kejohanan akan datang boleh diadakan di Larkin, Johor pula untuk peminat di Selatan tanah air meyokong pasukan Malaysia dengan lebih dekat.
Skuad Malaysia diwakili oleh skuad bawah 23 tahun (diberi gelaran Harimau Muda) yang dibimbing Ong Kim Swee. Seperti yang kita tahu, skuad ini memang mendapat perhatian oleh penyokong kerana mempunyai ramai bakat-bakat muda yang bakal mewakili skuad senior pada masa hadapan. Antara pemain yang sering disebut-sebut; Nazmi Faiz, Wan Zack, Irfan, Syahrul Azwari, & Thamil Arasu. Di bahagian pertahanan, Fadhli Saas dianggap paling berpengalaman kerana dia adalah regular starter untuk skuad senior Malaysia kendalian Datuk K. Rajagopal. Kemasukkan Junior Eldstal dari pasukan Sarawak menambah kekuatan skuad OKS, Junior atau nama sebenarnya Putera Nadher Amarhan, adalah seorang pemain kacukan Sweden & Sabah. Dia pernah bermain untuk berberapa pasukan di liga divisyen bawahan di England pada zaman remajanya. Boleh bermain sebagai center-midfielder atau center-back, mempunyai kawalan bola yang tenang, bermain hantaran-hantaran pendek mudah, & menggunakan fizikalnya yang besar merebut & menyimpan bola. Saya cukup kagum dan meminati pemain ini. Diharap dia dapat membentuk gandingan mantap dengan Nazmi Faiz (yang lebih kepada permainnan lincah tetapi tenang) untuk skuad Harimau Muda ini.
Untuk perlawanan pertama, Malaysia berdepan dengan Singapura. Saya tidak pasti samada Singapura menghantar pasukan yang sama bermain di Liga Malaysia atau tidak. Walaubagaimanapun, Malaysia tampil dengan lebih bersemangat dan memenangi perlawanan pertama 1-0 hasil jaringan Thamil Arasu. Permainan dimainkan ketika hujan lebat dan padang yang sangat basah. Tak banyak yang boleh dianalisis dari segi taktikal memandangkan pergerakan pemain dan bola tidak begitu lancar. Apa yang jelas pada perlawanan ini ialah bagaimana Junior sudahpun tampak serasi dengan rakan sepasukan walaupun baru menyertai skuad Harimau Muda ini.
Perlawanan kedua Malaysia menentang Myanmar berkesudahan dengan Malaysia mengumpul 3 mata penuh. Malaysia menang 2-1 hasil jaringan ketua pasukan, Irfan, & Wan Zack. Ini bermakna Malaysia sudahpun layak untuk bermain di final (pemenang tempat pertama & kedua dalam kumpulan). OKS menggunakan formasi 4-2-3-1 dengan Thamil Arasu sebagai top striker. Namun, sepanjang perlawanan kita dapat lihat formasi berubah seakan-akan kepada 4-3-3 apabila mengawal perlawanan dengan Wan Zack & Sarvindran membuat larian masuk ke belakang full-backs Myanmar. Taktikal ini memang jelas sejak dari perlwanan menentang Singapura dan hampir-hampir membuahkan hasil kali ini. Hasil daripada larian-larian tersebut, Wan Zack mendapat 2 peluang tetapi disia-siakan apabila kawalan bolanya yang tidak kemas. Kawalan bahagian tengah Malaysia agak baik pada awalnya. Tetapi, pada 20 minit terakhir separuh masa pertama, Malaysia mula menghantar bola jauh ke arah 3 pemain yang berada di barisan hadapan - Sarvindran, Thamil, & Wan Zack. Ini menyebabkan Malaysia tidak mengawal permainan dan lebih banyak mengejar bola. Myanmar berjaya mencuri 1 gol dari sepakan sudut apabila Malaysia tampak lalai. Sudah pasti OKS tidak gemar dengan persembahan pemain kerana banyak peluang disia-siakan & bolos gol mudah.
Separuh masa kedua Malaysia kekal dengan formasi dan cara permainan yang sama. Walaupun Malaysia mengawal permainan dengan baik, gol penyamaan hanya dapat dihasilkan melalui set-piece. Junior membuat tindakan bijak untuk menanduk kembali bola melalui hadapan gol untuk Irfan membuat tap-in mudah. Gol kedua juga melalui set-piece. Kali ini Wan Zack menyumbangkan gol berharga dengan jaringan melalui sepakan percuma terus. 2-1 dengan 15 minit lagi sebelum masa tamat. Pasukan kita bernasib baik kerana penjaga gol Myanmar tidaklah penjaga gol yang begitu bagus. Gol yang dilepaskan mungkin mudah untuk diselamatkan oleh penjaga gol yang lebih baik. Saya sedikit kecewa apabila Nazmi dikeluarkan pada minit ke 63. Bagi saya Nazmi bermain baik, tetapi kekurangan pergerakan di bahagian hadapan menyukarkan untuk dia membuat hantaran & through-ball yang lebih berkesan.
Bercakap mengenai kekurangan pergerakan, bagi saya persembahan yang tidak memuaskan dipamerkan oleh Sarvindran & Thamil Arasu. Kedua-dua pemain ini gemar membuat larian-larian tanpa melihat kedudukan mereka & defensive line Myanmar. Banyak kali mereka berada dalam kedudukan offside. Thamil Arasu secara terperincinya ialah seorang penyerang yang 1-dimensi. Jarang sekali kita melihat dia membantu bahagian tengah untuk membina serangan. Oleh kerana larian-lariannya hanya kehadapan dan hanya dia seorang penyerang tunggal, mudah untuk dua center-back Myanmar mengawalnya. Walaupun Thamil ialah top striker dalam formasi ini, dia seharusnya lebih kerap drop deep untuk membantu rakan-rakan lain selain membuka ruang untuk Wan Zack & Sarvindran membuat larian ke dalam. Penyerang zaman moden, walaupun 'natural number 9 striker', mereka tetap membantu dalam build-up play. Contoh terbaik ialah seperti dua penyerang Sepanyol; Roberto Soldado (Tottenham Hotspur) & Alberto Negredo (Man City). Banyak lagi aspek permainan Thamil Arasu yang boleh ditambah baik. Lebih-lebih lagi dia bukan penyerang yang boleh digelar sebagai natural finisher.
Seorang lagi pemain yang ingin saya ketengahkan ialah Wan Zack. Wan Zack adalah seorang pemain yang sangat digemari rata-rata penyokong bola sepak Malaysia. Terutamanya kerana dia kini bermain untuk FC Ryukyu (kelab divisyen 3) di Jepun bersama Nazirul Nizam. Bagi saya, Wan Zack ialah pemain yang berbakat & athletic. Itu menjadi aset utama dalam permainanya. Namun begitu, ada berberapa aspek yang masih perlu digilap. Sentuhan & kawalan bolanya kadang kala mengecewakan. Juga saya dapat perhatikan sepakannya ketika berlari tidak sehebat sepakannya ketika dead ball situation & set-piece. Persembahannya kadang kala tidak konsisten. Seperti dalam perlawanan menentang Myanmar ini, ada masa pergerakannya bagus dan ada masa sentuhan-sentuhannya tidak menjadi. Tetapi, saya berpuas hati dengan usaha yang diberikannya terutama membantu barisan pertahanan.
Secara kesuluruhannya, Malaysia bermain baik. Pertahanan Malaysia juga boleh dikatakan tidak begitu sukar untuk mengawal serangan Myanmar. Permainan Azrif yang bermain sebagai right-back menggantikan Ruben pada perlawanan ini nampak kemas. Cuma saya lebih gemar jika Malaysia bermain lebih banyak hantaran-hantaran pendek dan sabar ketika menjana serangan.
Perlawanan Malaysia seterusnya ialah menentang Thailand. Pasti menarik untuk dilihat bagaimana OKS approach perlawanan ini. Malaysia boleh bermain untuk mendapatkan keputusan seri dan bermain sekali lagi melawan Thailand pada perlawanan akhir Sabtu nanti. Pilihan lain, Malaysia boleh bermain untuk menang dan Myanmar mungkin menang menentang Singapura untuk tempat kedua dalam kumpulan - Malaysia bertemu Myanmar di perlawanan akhir. Pada pendapat saya, lebih baik perlawanan akan datang ini digunakan untuk memberi peluang kepada pemain yang belum dapat bermain dalam kejohanan ini. Pada masa yang sama, mengekalkan pemain-pemain utama; Fadhli Saas, Irfan, & Wan Zack supaya ketidakserasian antara pemain tidak terlalu memberi kesan. Tambahan lagi, tidak banyak beza daripada segi kualiti pemain simpanan dan kesebelasan utama menentang Myanmar. Sebagai contoh, Syahrul Azwari & Rozaimi sudah dikira cukup bagus untuk berada dalam kesebelasan utama. Yang penting dalam perlawanan menentang Thailand, komitmen & kesungguhan pemain mesti diteruskan. Kalah bukan pilihan demi maruah Malaysia.
Written by A.H in
Malaysia National Football Team
Harimau Muda Garang di Kuantan
Jumlah Pelawat
Artikel Popular
Topik
FA Cup
(4)
General
(2)
Liverpool
(37)
Malaysia National Football Team
(3)
Match Preview
(1)
Match Schedule
(2)
News
(2)
Nota Penulis
(4)
Pengenalan
(1)
Player Focus
(3)
Post-match Analysis
(22)
Post-season
(1)
Premier League
(25)
Tactical
(4)
Transfers
(4)
Arkib
Laman Web Berkenaan
Followers
Powered by Blogger.

