Musim Baru Bermula Dengan Kemenangan

Musim 2014/2015 telahpun bermula! Liverpool bertemu Southampton di Anfield untuk perlawanan pertama liga musim ini. Sama seperti musim lepas, Liverpool menempah kemenangan melalui perlawanan yang agak sukar...

Nota Penulis: Liverpool, Malaysia, Imej Baharu

Sedikit catatan buat pembaca dari meja penulis.

Apologis untuk Brendan

Beri masa kepada Brendan Rodgers.

Apologis untuk Brendan

Beri masa kepada Brendan Rodgers.

Apologis untuk Brendan

Apa dah jadi dengan Liverpool musim ini? Semua serba tak menjadi. Siapa lagi yang bertanggugjawab dengan prestasi hambar pasukan kita ini selain pengurus sendiri, Brendan Rodgers.

Tetapi, patutkah Rodgers disalahkan 100% dalam hal ini? Mungkin tidak. Sementara hampir semua penyokong dan penulis menyatakan kekecewaan mereka, saya di sini henk menulis dari sudut yang lebih positif. Tidak salah, bukan? Benar, memang Rodgers bersalah dalam kebanyakkan hal. Tetapi, ini tidak bermakna dia tidak cuba untuk melakukan yang terbaik untuk Liverpool. Jadi, ada berberapa perkara yang boleh saya tulis untuk mempertahankan Rodgers.

Saya juga berharap pembaca dapat membaca artikel kali ini dengan hati yang lebih terbuka dan bukan cuba untuk membidas pendapat saya. Seperti anda juga, saya juga turut kecewa dalam banyak perkara. Apa yang saya tulis ini adalah hanya bahagian lain yang kita tidak mahu akui dan ia bukan bermakna saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan kritikan yang dilemparkan kepada Rodgers.

1. Prestasi pasukan
Pertama sekali, kita lihat secara keseluruhan. Benar, prestasi Liverpool sangat hambar setakat ini. Hanya 4 kemenangan daripada 11 perlawanan liga. Musim lepas, kita mendapat 7 kemenangan dengan jumlah perlawanan yang sama. Dan jika kita menang musim lepas, kemenangan tersebut memang betul-betul meyakinkan. Musim ini, hanya satu kemenangan yang meyakinkan kita perolehi iaitu menentang Tottenham Hotspur.

Di Liga Juara-juara pula, kita beraksi teruk dalam hampir semua perlawanan - walaupun usaha pemain patut dipuji melawan Real Madrid di tempat lawan. Dan saingan Piala Liga pula kita boleh ketepikan sebab banyak perubahan dilakukan dalam 2 perlawanan yang kita menang, yang itupun hampir-hampir dimalukan.

Apa yang nak ditekankan di sini, bukan Rodgers sahaja yang patut bertanggungjawab. Pemain-pemain juga bersalah. Mereka di bayar dengan gaji yang tinggi, berlatih hampir setiap hari, dan kebanyakkan mereka adalah pemain utama skuad kebangsaan negara masing-masing, tetapi hanya corak permainan yang hambar ditunjukkan mereka.

Musim lepas, kita bermain sebagai satu pasukan yang sangat kuat, terutama menyerang. Pemain dilihat sangat "lapar". Setiap bola dikejar dan mereka sentiasa berlari untuk membantu rakan atau mengkucar-kacirkan lawan. Setakat ini, kita hanya dapat saksikan pemain-pemain berlari ala kadar, tidak cukup agresif, sering mengelamun, dan berada dalam keadaan statik ketika tidak memegang bola.

Sudah pasti Rodgers menggesa pemain-pemain untuk beraksi dengan lebih bagus. Rodgers dilihat jarang mengkritik pemain sendiri di sidang media dan temuramah. Satu perkara yang patut kita puji. Malah Rodgers sering bercakap tentang keyakinannya terhadap pemainnya. Dan selalu juga dia menyalahkan diri sendiri jika Liverpool tidak beraksi baik. Jelas, dia cuba untuk tidak menjatuhkan lagi moral pasukan yang memang pun berada di tahap yang rendah. Pemain-pemain perlu bangkit dan bantu Rodgers.

Dan mana pula perginya Prof. Steve Peters? Musim lepas dia banyak bantu dalam aspek psikologi pasukan kita. Mungkin musim ini dia dah tak terlibat lagi. Nampak gaya Liverpool kena minta tolong pakar motivasi lain - Anthony Robbins, mungkin? Kalau tak pun, Dr. Fadzilah Kamsah mungkin available. Ok, yang itu gurauan sahaja.

Musim yang mengecewakan Rodgers. [Express.co.uk/GETTY]

2. Pembelian pemain
"Rodgers membazir £100 juta!". Secara jujur, saya merasakan kritikan tersebut tidak begitu tepat. Ia lebih kepada reaksi berdasarkan emosi. Betul ke Rodgers membazir? Tidak. Ini kerana setiap pemain yang dibeli adalah berdasarkan sistem bola sepak kita, kebolehan mereka, dan potensi yang ada. Kalau nak analisis setiap seorang memang panjang. Saya cuba ringkaskan di sini.

Kita kena ingat, skuad kita masih kekurangan daripada segi bilangan pemain. Lebih-lebih lagi memandangkan kita beraksi dalam di Eropah yang sememangnya memaksa berberapa pemain utama rehat dalam perlawanan tertentu. Rodgers perlu mengisi setiap posisi dengan berberapa orang pemain. Jika Rodgers memilih untuk membeli pemain bertaraf dunia yang mahal, hanya 2 atau 3 orang sahaja yang mampu dibeli. Dan skuad kita masih belum cukup pemain. Bayangkan jika kita tidak mempunyai pemain yang ramai sekarang ini. Itu belum dicampur masalah kecederaan.

Benar. Rodgers membayar mahal untuk Adam Lallana dan Dejan Lovren, yang sebelum ini hanya bermain untuk Southampton. Tetapi mereka membuktikan mereka pemain yang bagus musim lepas dan mampu bermain untuk pasukan kebangsaan di Piala Dunia. Lallana dapat menunjukkan sekali sekala kebolehannya, cuma masih belum ditahap terbaik. Hanya Lovren sahaja yang sangat mengecewakan. Ada yang kata Lovren tak layak untuk Liverpool. Tetapi, sebelum musim bermula, ramai yang yakin Lovren boleh membaiki masalah pertahanan Liverpool, termasuklah saya. Saya pun memang sangat kecewa dengan Lovren. Dan apatah lagi Rodgers yang sanggup membayar £20 juta untuk membelinya. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan tahap keyakinan Lovren. Hanya dia sendiri yang dapat "summon" balik keyakinannya. Dan mereka dibayar mahal kerana itulah yang sering berlaku jika membeli pemain yang ada reputasi baik di Liga Perdana Inggeris. Sama macam kes pembelian Andy Carroll, Stewart Downing, Jordan Henderson, Daniel Sturridge, dan lain-lain. Lagi-lagi Southampton tahu Liverpool ada banyak duit dalam akaun selepas menjual Luis Suarez.

Untuk pemain lain, mereka juga mempunyai potensi baik. Pembelian Lazar Markovic memang terlalu mahal. Tetapi ingat, dia hanya masih berumur 20 tahun. Masih banyak lagi masa untuk dia. Sama juga dengan Emre Can, yang berjaya menambat hati penyokong. Alberto Moreno mungkin ialah pembelian yang paling berbaloi. Berkualiti, harga yang agak murah, dan masih berumur 22 tahun. Juga, pemain pinjaman Javier Manquillo pun nampak ada masa depan yang cerah.

Banyak kritikan kepada Rodgers kononnya dia tidak pandai membeli pemain. Tetapi pada masa yang sama, mereka memuji Can dan Moreno, termasuk mengharapkan sentuhan Sturridge dan Phil Coutinho. Bukankah mereka turut dibeli oleh Rodgers? Sukar nak faham kedudukan pendapat mereka. Ada yang turut mengatakan Rafa Benitez tidak akan membazir wang sebanyak itu. Oh ya. Jangan cuba untuk membuka topik itu. Ramai dah lupa kesalahan dan zaman kejatuhan Benitez di Liverpool. Sekarang ini, ketika Rodgers mengalami masalah, semuanya tentang Benitez hebat-hebat belaka. Saya simpan dahulu pendapat saya tentang 'Rodgers vs Benitez' untuk artikel lain. Cuma apa yang anda boleh tahu, walaupun saya menghargai sumbangan Benitez, saya tetap pro-Rodgers dalam isu ini.

3. Pembelian Balotelli
Ada 3 pemain baru yang belum saya ulas; Mario Balotelli, Rickie Lambert, dan Divock Origi. Origi kita tahu, masih muda, mempunyai potensi besar, dan dipinjamkan kembali ke Lillie. Kita tolak ketepi dahulu. Lambert pula hanya dibeli sebagai pemain simpanan dan sebagai pelan B dalam perlawanan. Saya sendiri secara peribadi pernah menyatakan hanya menjangkakan Lambert akan dapat 7 gol sahaja musim ini kerana tahu status dia dalam pasukan.

Kita lihat pula pembelian "sensasi", Balotelli. Sumbangan Balotelli setakat ini sangatlah mengecewakan. 2 gol sahaja yang berjaya dia jaringkan. Dalam liga, 0 gol. Rodgers dipersalahkan sebab dia yang bawa masuk Balotelli ke Liverpool. Tetapi, awal-awal lagi dia dah cakap bahawa pembelian Balotelli adalah "calculated risk". Jadi, risikonya untuk tidak beraksi baik itu sentiasa ada. 

Cuba kita ingat balik. Rodgers sebenarnya mahu membawa masuk penyerang seperti Radamel Falcao, Diego Costa, dan Edinson Cavani. Malangnya bukan mudah nak bawa masuk mereka. Harga dan gaji mereka sangatlah tinggi. Itu belum termasuk lagi pemain-pemain bertaraf dunia yang lain di posisi-posisi lain. Dan ini sangat bertentangan dengan polisi pemilik kelab (FSG) yang mahukan penggunaan dana yang lebih baik. Terutama dengan peraturan Financial Fair Play, yang (entah bila) UEFA nak kenakan. Tinggalah berberapa calon penyerang yang boleh dibeli Rodgers. Seorang pemain yang hampir masuk ialah Loic Remy. Malang juga lagi apabila dia pula gagal ujian perubatan. Tak tahulah apa cerita sebenar. Jadi, pilihan yang ada minit-minit akhir, ialah Balotelli.

Jangan tipulah kalau kata anda tidak teruja, walaupun kita sedar rekod jaringan dia tidak begitu hebat. Tambah lagi dengan ragam dia dalam dan luar padang. Tetapi kita semua yakin dia mampu menyinar di Liverpool. Sudah berberapa perlawanan, barulah kita nampak Balotelli ini tidaklah bagus mana. Kurang bijak di atas padang. Naluri penjaring macam Robbie Fowler dan Michael Owen itu jauh sekali dalam diri Balotelli. Kebanyakkan masa nampak sikap malas dan tak ambil endahnya. Alasan tidak mampu bermain sebagai penyerang solo digunakan - sedangkan penyerang-penyerang biasa di kelab-kelab bawahan boleh menyesuaikan diri. Malang sekali lagi untuk Rodgers. Sudahlah Sturridge cedera dan sampai hari ini masih lagi tak boleh bermain. Balotelli pun tak menjadi. 

Prestasi hambar di pentas Liga Juara-juara. [Express.co.uk/GETTY]

4. Taktikal Rodgers
Selain pembelian pemain, satu lagi aspek pengurusan Rodgers yang diragui ialah ilmu taktikalnya. Saya tidak langsung meragui kebolehannya dalam aspek ini. Ini kerana dia adalah seorang pengurus yang mementingkan pengetahuan, mempercayai analisis melalui statistik dan fakta, dan pada masa yang sama menghargai tradisi sesebuah pasukan.

Pujian melambung diberikan kepada Rodgers musim lepas apabila Liverpool tamatkan saingan liga di tempat ke-2. Katanya, Rodgers bakal menjadi pengurus lagenda di Liverpool. Dia mampu membawa Liverpool kembali menjuarai liga. Apabila penyokong kelab lawan mengatakan Liverpool hanya bergantung kepada Suarez, ramai dikalangan kita cepat menepis tomahan tersebut. Kita setuju selain Suarez, kepandaian Rodgers lah yang membawa kita kembali di tahap terbaik. Tetapi, masuk sahaja bulan 11 musim baru, prestasi kurang baik selepas ketiadaan Suarez, cepat juga penyokong yang sama mengatakan Rodgers hanya bernasib baik mempunyai Suarez musim lepas. 

Kalau Rodgers tidak hebat dalam taktikal, masakan dia mampu mengubah sistem bola sepak Liverpool yang pada asalnya kurang mantap. Daripada formasi asal 4-5-1 dan 4-3-3, Rodgers menerapkan 4-1-2-1-2 (4-4-2 diamond) apabila Suarez dan Sturridge berada dalam prestasi terbaik. Tambah lagi, memang susah sangat kita nak tengok mana-mana pasukan menggunakan formasi diamond tersebut sehinggalah Rodgers kembali mempopularkannya kembali. Corak permainan Liverpool yang asalnya bermain secara pegangan bola dan hantaran-hantarn pendek diubah kepada serangan balas pantas apabila diperlukan. Banyak juga situasi di mana Rodgers memasukkan pemaian gantian dan seterusnya mengubah permainan. Namun, tidak banyak pujian yang diberikan dalam hal-hal ini. Bukankah semua itu menunjukkan potensi dan kebolehan Rodgers? Kita perlu sedar yang Rodgers masih "muda" dalam hal ini. Dia tidak mempunyai reputasi sehebat Jose Mourinho, Louis Van Gaal, Arsene Wenger, dan Manuel Pelligrini. Masih banyak ruang lagi untuk Rodgers mengasah taktikalnya. 

Mungkin kritikan yang saya tidak boleh endah ialah kebolehannya melatih pertahanan. Memang jelas Rodgers ialah seorang pengurus yang mempunyai mentaliti "menyerang". Dan, setakat ini dia masih lagi terkial-kial mengurus barisan pertahanannya. Mungkin jurulatih baharu yang bagus dalam aspek bertahan diperlukan. 

5. Formasi 4-2-3-1
Ok. Dalam banyak-banyak kritikna, ini adalah kritikan yang paling sukar untuk dibidas. Saya sendiri pun tidak faham mengapa Rodgers mahu menggunakan formasi 4-2-3-1 yang setakat ini tidak membantu Liverpool. Jelas formasi diamond adalah yang terbaik. Dan formasi 4-3-3 sekali sekala sahaja betul-betul menjadi. Tapi kenapa Rodgers tetap nak guna 4-2-3-1?

Di sini saya hanya nyatakan anggapan sahaja dan bukan berdasarkan fakta kukuh. Rodgers seperti yang kita tahu gemar akan falsafah bola sepak seperti yang diterapkan Barcelona. Dan memang jelas Rodgers ialah seorang peminat bola sepak liga Sepanyol. Dan dia mempunyai idea bola sepak sendiri yang dipengaruhi perkara tersebut. Jadi, kita boleh faham mengapa dia terus mahu menggunakan formasi tersebut. Dia mahu meletakkan identitinya di Liverpool. Mungkin benar ini adalah satu perkara yang agak ego. Tetapi kita perlu faham Rodgers tidak mahu pendiriannya dijatuhkan oleh penyokong dan pengkritik. Dia yakin falsafahnya mampu membawa kejayaan kepada Liverpool. Setakat ini ia kurang menjadi. Tetapi, andai kata entah macam Liverpool berjaya kembali ke prestasi terbaik dengan menggunakan idea Rodgers, kita mungkin boleh tumpang bangga dengan kejayaan tersebut. Jadi, kita perlu terus percaya kepada Rodgers.

Teori lain yang saya boleh katakan di sini ialah mungkin Rodgers tidak mahu corak permainan Liverpool mudah di baca. Oleh itu, dia nakkan Liverpool terbiasa dengan banyak formasi; 4-2-3-1, 4-3-3. 4-1-2-1-2, 3-5-2, dan 5-3-2. Juga, mungkin Rodgers mahu Liverpool yakin kepada sistem yang hanya menggunakan seorang penyerang sahaja memandangkan ia lebih fleksibel. Dengan menggunakan seorang penyerang, Rodgers mempunyai banyak ruang untuk mengubah bahagian tengah dan juga pertahanan jika perlu. Perkara tersebut sukar dilakukan jika formasi mempunyai 2 penyerang digunakan.

Kombinasi yang hanya kita dapat lihat sekali setakat ini. [Mirror]

Kesimpulan
Rodgers perlu diberi masa lagi untuk menunjukkan kebolehannya. Menggantikannya dengan pengurus baharu tidak semestinya akan menyelesaikan masalah. Pemain-pemain (majoriti) dan sistem yang ada sekarang ini adalah hasil daripada pemikiran Rodgers. Kita perlu yakin dia mampu memantapkan skuad yang sedia ada. Saya secara peribadi memberi peluang untuk Rodgers sehingga tamat musim. Lagipun mengikut 2 musim lepas, Liverpool menunjukkan prestasi terbaik apabila memasukki tahun baharu. Sehingga itu, kita mesti bertahan. Berberapa tahun lepas kita mampu lakukannya dan terpaksa melihat Benitez, Roy Hodgson (memang patut), dan Kenny Dalglish dipecat. 5 musim tanpa Liga Juara-juara. Ingat siapa yang bawa kita kembali ke saingan elit itu? Brendan Rodgers. Kalau dah sama-sama naik, takkan nak biarkan Rodgers jatuh keseorangan? In Brendan, we trust.

Nota Penulis: Liverpool, Malaysia, Imej Baharu

Salam sejahtera semua!

Tinggal satu bulan setengah sahaja lagi sebelum kita nak masuk tahun baru. Sedar tak sedar, dah suku musim kita menonton liga Eropah. Di Malaysia, saingan liga dan Piala Malaysia dah pun tamat. Sekarang ni, tumpuan kita semua pada Piala Suzuki AFF 2014 yang akan bermula dalam berberapa hari lagi. Blog ni pun dah lama tak mengeluarkan artikel baru oleh kerana saya agak sibuk dengan tugas peribadi.

Jadi, macam mana perasaan anda semua sekarang ni, terutama rakan-rakan penyokong Liverpool kat luar sana tu? Kecewa betul kita dengan Liverpool musim ni kan. Prestasi musim lepas dengan musim ni jauh berbeza. Semua tak mengena. Habis semua individu kita tudingkan jari, siapa yang salah. Yang paling teruk kena ialah Brendan Rodgers. Steven Gerrard dan berberapa pemain utama lain pun tak lari daripada tomahan. Penyokong dah mula muak. Ramai juga yang nak Rodgers dipecat, walaupun tu bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik. Pada masa yang sama, mulalah kita nak pemain itu ini dan jurulatih baru dibawa masuk seolah-olah mereka boleh mengubah nasib pasukan serta merta. Tapi ini perkara biasa yang berlaku bila prestasi pasukan tak bagus. Kita perlu bersabar. Masih ada perkara positif yang dapat kita ambil daripada keadaan sekarang ni. Teruskan sokongan. Saya secara peribadi mempercayai sepenuhnya Rodgers. Kita perlu beri dia peluang untuk memperbaiki keadaan. Situasi masih belum parah. Kita jangan cepat lompat keluar dari kapal yang hanya mengalami sedikit kerosakan. Kapal kita masih elok terapung, cuma tidak bergerak dengan baik (tudia metafora).

Dejected Liverpool. (thisisanfield.com)

Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia kita pulak masih terumbang ambing. Tak banyak perubahan sejak kali terakhir kita memenangi Piala Suzuki AFF 4 tahun yang lepas. Dato' K.Rajagobal gagal bawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Kali ni, Dollah Salleh diberi kepercayaan untuk mengemudi Malaysia di saingan AFF yang akan datang. Setakat ni, dia belum dapat memenangi hati penyokong Harimau Malaya. Kalah demi kekalahan dialami pasukan. Pemilihan pemain untuk skuad yang bakal di bawa ke Singapura juga kurang meyakinkan. Susah untuk kita menunjukkan sikap positif kepada Dollah Salleh buat masa ini. Tapi, seperti Rajagobal sebelum ini, lagi rendah harapan kita kepada mereka, lebih baik. Mungkin Malaysia mampu buat kejutan. Siapa tahu? Walaupun saya meragui akan kemampuan mereka, saya tetap mengharapkan mereka dapat membuktikan saya dan pengkritik yang lain salah. Selamat berjaya Harimau Malaya!

"Jika anda gembira tepuk tangan." (rakyatnews.my)

Dalam nota ini, saya juga ingin menyatakan hala tuju blog ini. Seperti yang anda dapat lihat, nama blog ni sudahpun ditukar daripada The Kop Football kepada Kop Football. Tak banyak perubahan pun. Dan majoriti artikel masih juga tentang Liverpool, artikel lain berkaitan Liga Malaysia dan bola sepak secara umum juga akan turut dimuatkan. Saya juga bercadang untuk menulis artikel yang berkaitan seperti cara memilih kasut bola, latihan dan exercises untuk tingkatkan tahap kesihatan, tip-tip pemakanan, produk sukan, ulasan buku, dan lain-lain yang bersesuaian. Pada masa yang sama, "nada" blog ini juga akan lebih mesra dan tidak menyerupai penulisan di akhbar atau majalah. Jadi, penggunaan "bahasa pasar" akan bertambah dalam artikel-artikel. Seperti sebelum ini, blog ini masih diuruskan oleh seorang penulis, iaitu saya seorang. Kekerapan artikel bergantung kepada kemampuan saya menulis mengikut jadual saya sendiri - ada masa banyak, ada masa sedikit artikel dapat ditulis dalam satu minggu.

Diharap semua pembaca dapat terus kembali untuk membaca artikel-artikel. Jangan segan silu untuk memberi pendapat, dan membincangkan topi berkaitan di ruang komen. Saya pasti akan membalas komen-komen anda semua. Dengan cara ini, kita boleh menjadi penyokong & penonton bola sepak yang lebih bagus. Seperti yang kita sering dengar, "football is more than just a game".

Selamat membaca dan have a good day!

Musim Baru Bermula Dengan Kemenangan

Liga Perdana Inggeris - Perlawanan 1
Anfield. 17 Ogos 2014
Liverpool  2 - 1 Southampton
(Sterling 23', Clyne 56', Sturridge 79')

Musim 2014/2015 telahpun bermula! Liverpool bertemu Southampton di Anfield untuk perlawanan pertama liga musim ini. Sama seperti musim lepas, Liverpool menempah kemenangan melalui perlawanan yang agak sukar. Raheem Sterling menjaringkan gol pertama sebelum Nathaniel Clyne menyamakan kedudukan selepas rehat. Sturridge menjadi wira dengan gol kemenangan 11 minit sebelum wisel penamat.

Sterling menjaringkan gol pembukaan. (liverpoolfc.com)
Selepas mencuba berberapa formasi dan kombinasi pemain ketika pra-musim, Brendan Rodgers memilih unuk menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam perlawanan ini. Formasi ini sama dengan yang digunakan dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Borussia Dortmund 2 minggu lepas yang berkesudahan dengan kemenangan 4-0 buat Liverpool. Hanya satu perubahan berlaku, iaitu Emre Can (yang dilaporkan mengalami sedikit kecederaan) digantikan dengan Lucas Leiva. Ini bermakna, 2 defensive-midfielder, Steven Gerrard dan Lucas, menyokong barisan pertahanan dan pemain tengah yang lain. Walaupun begitu, formasi 4-2-3-1 ini lebih fleksible. Formasi boleh bertukar menjadi 4-1-2-3 atau 4-3-3 mengikut keadaan. Daniel Sturridge menjadi sandaran utama di bahagian hadapan selepas pemergian Luis Suarez ke Barcelona.

10 Perlawanan Terbaik 2013/2014 - Bahagian 1

Musim 2013/2014 yang telah melabuhkan tirainya Ahad lepas penuh dengan pengalaman pahit manis buat Liverpool. Musim yang sangat membanggakan di samping kekecewaan di saat-saat akhir. Banyak perlawanan-perlawanan hebat yang pasti akan diingati penyokong. Mari kita lihat kembali 10 perlawanan terbaik musim 2013/2014 ini.

Bahagian 1 

10. Liverpool 1-0 Stoke City (Anfield, 17 Ogos 2013, *BPL P1)
Perlawanan pertama musim 2013/2014 yang memulakan segala-galanya. Liverpool terpaksa bermain tanpa kelibat Luis Suarez yang masih menjalani hukuman penggantungan perlawanan ketika itu. Daniel Sturridge menjadi harapan utama di barisan serangan. Dia tidak mengecewakan dan berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan. Detik penting perlawanan ialah ketika Simon Mignolet menyelamatkan penalti Stoke City di minit-minit akhir permainan. Ia seolah-olah menjadi titik tolak perjuangan hebat Liverpool musim ini.

Mignolet menjadi hero menyelamatkan penalti minit akhir Stoke.
(ibtimes.com/Reuters)

9. Liverpool 5-1 Norwich City (Anfield, 4 Disember 2013, BPL P14)
Di atas kertas, memang ia adalah satu perlawanan yang mudah buat Liverpool. Dan ia turut dibuktikan Liverpool di atas padang. Memang kalau dibandingkan dengan perlawanan seperti menentang Fulham, West Ham, Cardiff City, dan Norwich City sendiri di tempat-tempat lawan, perlawanan ini tidaklah begitu mendebarkan berbanding yand disebut. Tetapi, ada satu sebab mengapa perlawanan ini dipilih - 4 gol oleh Suarez. Penyerang Uruguay ini sudah menjadi seperti "nemesis" kepada Norwich dengan bilangan gol yang banyak menentang mereka sebelum ini. Dan dalam perlawanan ini, dia sekali lagi merobek pertahanan mereka. Kesemua 4 gol yang dijaringkannya cukup hebat; terutama gol pertama iaitu half-volley dari jarak lebih kurang 35 ela, dan gol ketiga yang mempamerkan skill individunya yang memukau. Suarez meneruskan prestasi hebatnya musim ini dengan 31 gol liga keseluruhan.

Half-volley memukau dari jarak 35 ela. (independent.co.uk)

So Close, Yet So Far

Barclays Premier League - Perlawanan ke-38
Liverpool 2-1 Newcastle United

Skrtel (o.g) 20', Agger 63', Sturridge 65'
11 Mei 2014. Anfield

Ahad lepas, tamatlah saingan musim 2013/2014 Liga Perdana Inggeris. Liverpool dengan jayanya menduduki tempat kedua dan sekaligus layak ke Liga Juara-juara Eropah secara automatik musim hadapan.

Perlawanan terakhir Liverpool ialah menentang Newcastle United di Anfield. Kemenangan berjaya diperolehi tetapi tidak kejuaraan liga terlepas yang sekali lagi buat Liverpool musim ini. Mengharapkan kemenangan West Ham keatas Man City di Etihad Stadium memanglah satu cita-cita tinggi yang hampir mustahil.

Champions League nights will be back at Anfield! (liverpoolfc.com)

Tidak banyak ulasan taktikal yang boleh dibuat. Perlawanan ini boleh dikatakan hanyalah sekadar perlawanan penutup tirai. Liverpool mendominasi permainan tetapi dikejutkan dengan gol sendiri, siapa lagi kalau bukan Martin Skrtel. Newcastle menyusun formasi mereka dengan baik dan menyukarkan Liverpool untuk membuat serangan. Liverpool juga dilihat buntu dan tumpul dalam usaha memecahkan benteng Newcastle. Mungkin ketajaman dan kesungguhan pemain tidak lagi berada di tahap tertinggi dalam perlawanan akhir ini - terutama mengetahui peluang yang pudar untuk menjuarai liga. Gol penyamaan dan kemenangan hadir melalui situasi set-piece yang hampir serupa. Daniel Agger dan Daniel Sturridge menyambar hantaran Steven Gerrard yang sememangnya tidak pernah mengecewakan. Gol ke-21 Sturridge dan assist ke-13 Gerrard musim ini. Musim yang sangat cemerlang untuk kedua-dua pemain ini. Tamat perlawanan, Liverpool meneruskan tradisi membuat lap of honor bersama ahli keluarga untuk memberi penghargaan kepada para penyokong yang hadir di Anfield.

Gol ke 101! (liverpoolfc.com)

Kesalahan tidak boleh diletakkan kepada sesiapa selain Liverpool sendiri yang mensia-siakan peluang untuk terus menerajui liga yang berbaki 3 perlawanan sebelum ini. Pun begitu, musim ini ialah satu musim yang patut di anggap sebagai musim yang cemerlang. Liverpool berjaya mencapai sasaran layak ke Liga Juara-juara musim depan. Luis Suarez memenangi anugerah pemain terbaik liga dan penjaring terbanyak liga. Gerrard mendahului carta assist. Mereka juga bersama-sama Sturridge, tersenarai dalam kesebelasan terbaik liga. 101 gol dijaringkan di samping 11 perlawanan berturut-turut direkodkan tahun ini. Brendan Rodgers pula dinamakan sebagai pengurus terbaik LMA.

Banyak lagi perkara positif yang boleh dinyatakan sebenarnya. Mungkin perkara yang membuatkan kita semua terkilan ialah bagaimana Liverpool terlepas genggaman kejuaraan liga. Bukan mudah untuk Liverpool cukup hampir mencapai impian menjuarai liga. Malah, "kegagalan" Liverpool ini disambut meriah oleh penyokong-penyokong pasukan lain. Jelas kebangkitan Liverpool meresahkan mereka, terutama penyokong Man Utd yang di mana kelab mereka terperosok di tangga ke-7 dan tidak layak ke sebarang pertandingan di peringkat Eropah.

"Mastermind" kebangkitan Liverpool. (liverpoolfc.com)

Apapun, Liverpool tetap gembira dengan pencapaian pasukan musim ini. Banyak perkara yang membanggakan telah berlaku. Secara keseluruhannya juga, Liverpool telah mempertingkatkan prestasi dan kini berada di satu tahap yang lain berbanding berberapa musim sebelum ini. Perancangan dan penambahbaikan akan terus dilakukan oleh Rodgers untuk musim depan. Tidak menjadi kesalahan jika berasa sedikit terkilan atau kecewa. Itulah bola sepak. "Bittersweet" adalah satu perkataan yang paling sesuai menggambarkan musim 2013/2014 Liverpool.